Showing posts with label PENGUBAHAN WANG HARAM. Show all posts
Showing posts with label PENGUBAHAN WANG HARAM. Show all posts

Thursday, February 5, 2026

GESA AUDIT NASIONAL - HARIAN METRO - 05/02/2026

 

Artikel oleh: Harian Metro

GESA AUDIT NASIONAL

PPIM GESA KERAJAAN SIASAT KELAB PERSENDIRIAN BERLESEN - HARIAN METRO - 04/02/2026

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan menjalankan audit nasional dan siasatan menyeluruh terhadap kelab persendirian berlesen di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), susulan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Dalam kenyataan bersama Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), organisasi itu mendakwa terdapat lebih 300 premis mesin slot berlesen di seluruh negara, masing-masing dengan 20 hingga 30 mesin slot.

Katanya, kartel terbabit menggunakan modus operandi berpura-pura menggaji kakitangan seolah-olah di bawah kelab dan mengawal bilik mesin slot.

"Ahli kelab yang membangkitkan soalan semasa dan luar AGM (Mesyuarah Agung Tahunan) berkaitan dakwaan rasuah, salah guna kuasa, jurang dan percanggahan kewangan termasuk perakaunan dua lapis akan disasarkan melalui 'laporan insiden yang direka'.

"Jawatan keahlian dan disiplin diarahkan menubuhkan pasukan siasatan yang dipilih oleh pengerusi dan jawatankuasa disiplin atau individu yang didakwa kroni bagi membuat keputusan menjadikan mereka persona non-grata atau dipecat dari kelab.

"CCTV (kamera litar tertutup) dalaman digunakan untuk memantau pergerakan ahli yang disasarkan yang didakwa disambung ke telefon peribadi pengendali kelab dan pengerusi untuk pemantauan dari rumah," kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu, sekurang-kurangnya tujuh laporan polis dibuat oleh pihak terjejas.

"Satu dossier (dokumen) terperinci dan menyeluruh dihantar kepada ROS Kuala Lumpur pada 15 Disember tahun lalu dan ditandatangani lebih 19 ahli sebuah kelab.

"Ia mengandungi dakwaan berikut berserta bukti berkaitan transaksi kewangan tidak sah, perakaunan dua lapis, kebimbangan pengubahan wang haram termasuk salah guna kuasa oleh pengerusi dan ahli majlis," katanya.

Katanya, pendedahan dokumen berkaitan turut mendakwa kecurian lebih RM14,000 oleh seorang kakitangan tidak dilaporkan dalam AGM walaupun diketahui dan pelaku terus bekerja.

"Laporan akaun menunjukkan kelab (tuan tanah) berhutang RM1 juta kepada Bilik Mesin Slot (penyewa).

"Pada AGM kelab 2024–2025, peletakan jawatan juruaudit yang dilantik berlaku secara mengejut tanpa notis.

"Pada AGM Ogos 2025, walaupun dibantah ahli, pihak berkuasa meluluskan akaun kontroversi, dibantu ahli tajaan bilik mesin slot yang duduk sebagai ahli majlis," katanya.

Dalam pada itu, PPIM dan CASSA merayu supaya kelulusan baharu dihentikan serta lesen premis mesin slot ditarik balik bagi kelab yang terlibat dengan rasuah, pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan manipulasi akaun kewangan.

"Kerajaan digesa menyekat dan melarang orang Islam daripada memasuki bar kelab dan bilik mesin slot.

"Perlu ada rekod bebas keluar masuk ke bilik itu untuk pemeriksaan berkala pihak berkuasa," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM GESA KERAJAAN SIASAT KELAB PERSENDIRIAN BERLESEN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/02/1318746/ppim-gesa-kerajaan-siasat-kelab-persendirian-berlesen

Saturday, August 25, 2018

4603) SYARAT PELIK DUIT MUDAH – HARIAN METRO – 25/8/18




Syarat pelik apabila diminta membuka 14 akaun bank di Beijing, China sebelum menerima imbuhan antara RM1,500 hingga RM5,000 menyelamatkan lapan sahabat daripada menjadi mangsa sindiket penggubahan wang haram Ahad lalu.
Mereka yang hanya menunggu masa untuk berlepas ke negara itu bernasib baik apabila dihalang Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan yang menyedari ada sesuatu tidak kena dengan tawaran berkenaan.
Semuanya bermula selepas seorang daripada mereka, Muhd Khairillah Mohd Jefri, 21, merujuk kes berkenaan kepada PPIM kerana berasa tidak sedap hati dan pelik selepas diminta membuka banyak akaun bank di negara itu atas nama sendiri sebaik tiba di sana.
“Awal bulan ini, saya diperkenalkan dengan seorang lelaki oleh kenalan yang menawarkan peluang pekerjaan. Bagaimanapun, tidak dinyatakan kerja apa sebaliknya saya dan beberapa rakan akan dibayar komisyen dengan hanya perlu membuka akaun, tinggal di sana (Beijing) sepuluh hari dan balik ke Malaysia.
“Dia minta saya dan beberapa lagi rakan buat pasport, manakala kos yang lain semua akan ditanggung termasuk hotel, visa dan perbelanjaan di sana.
“Apabila saya tanya untuk perniagaan apa, dia tidak memberikan jawapan tepat sebaliknya hanya meminta saya bersiap sedia untuk berlepas pada hari ditetapkan,” katanya kepada Harian Metro.
Mohd Khairillah berkata, dia turut dimaklumkan bahawa dia dan rakan dilarang memasuki negara terbabit dalam tempoh tiga bulan selepas ‘keuntungan’ perniagaan dipindahkan ke semua akaun itu.
Dia yang bekerja sebagai juruterapi di sebuah pusat rawatan swasta berkata, mereka sepatutnya berjumpa lelaki berkenaan di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 6 petang Ahad lalu, tetapi mengambil keputusan sebaliknya selepas mendapat nasihat daripada Nadzim.
“Sebelum itu, saya juga ada tanya beberapa orang, mereka sarankan supaya saya batalkan saja niat itu kerana terlalu berisiko.
“Saya juga tiada maklumat langsung mengenai jenis perniagaan, bila ditanya, lelaki itu mendakwa semuanya sudah diaturkan. Kami hanya perlu sampai di Beijing, buka akaun, tunggu sepuluh hari dan balik,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya sudah mengambil keterangan mangsa untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Nadzim berkata, semakan pihaknya mendapati wujud unsur penggubahan didalangi sindiket tertentu dipercayai mahu mempergunakan pemuda terbabit.
Katanya, ia adalah modus operandi baru kerana sebelum ini sindiket akan berada di negara terbabit dan menunggu ketibaan mangsa yang kononnya pergi ke sana untuk melancong.
“Sebaik dimaklumkan pengadu, kita rujuk terus kepada polis kerana jika terlambat, mereka ini sudah tentu akan menaiki penerbangan tanpa diketahui apa nasib akan menimpa.
“Jadi dengan pendedahan ini, kita nasihatkan orang ramai berhati-hati dengan perangkap sindiket seperti ini yang menawarkan duit mudah kononnya tanpa risiko.
“Apa yang berlaku selepas itu tiada siapa yang tahu dan tentunya mereka akan dipersalahkan kerana akaun yang digunakan didaftarkan di atas nama mereka,” katanya yang turut akan merujuk kes berkenaan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam waktu terdekat.
Artikel Oleh : Harian Metro
SYARAT PELIK DUIT MUDAH

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL