Rawang: Niat asal hanya mahu mendekatkan diri dengan Allah SWT dan mahu mencari ilmu, namun seorang lelaki terperangkap' dalam hutan selama lima tahun, mengusahakan tanaman untuk kelangsungan hidup dan dipaksa mengabdikan diri kepada lelaki yang mengaku dirinya sebagai 'rasul akhir zaman.'
Itu yang dilalui Muhammad Nabil Danial Mohd Zain, 36, hampir tujuh tahun lalu ketika 'mengikut' seorang lelaki yang kononnya mendakwa diri sebagai 'rasul akhir zaman' namun perbuatan lelaki itu didakwa bertentangan dengan agama dan disifatkan takbur, ujub, riak dan sombong.
Mendedahkan pengalaman selama tujuh tahun mengikuti individu itu hingga memberi kesan besar terhadap rumah tangga dan hubungannya dengan keluarga, Nabil Danial berkata, dia mahu mempelajari al-Quran dan mula mengikut ajaran itu pada 2018.
Menurutnya, dia diperkenalkan kepada lelaki terbabit oleh rakannya yang juga pengikut lelaki berusia 60-an itu.
Katanya, pada mulanya semua berjalan lancar namun berubah selepas setahun apabila lelaki berkenaan mula mendakwa dirinya sebagai 'rasul akhir zaman'.
"Turut bersama saya, isteri dan tiga anak serta kakak ipar bersama dua anak dan bapa mentuanya.
"Saya sudah mula berasa tidak betul tetapi saya mahu tengok dahulu (adakah benar seperti didakwa) termasuk akhlak," katanya
Nabil Danial ditemui ketika hadir membuat aduan di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, baru-baru ini.
Dakwanya, pada mulanya lelaki itu mengatakan bercucuk tanam kerana mahu doa dan sokongan daripada tumbuhan yang akhirnya diminta untuk dijadikan pekerjaan dan sumber rezeki perlu datang daripada tumbuhan, manakala lain adalah haram serta kotor.
Katanya, sepanjang dia bersama ajaran lelaki itu, dakwanya semua orang tidak beriman dan bertakwa melainkan yang mengisytiharkan dengan 'rasul akhir zaman' itu saja, malah didakwa lelaki berkenaan semakin merepek terutama mengenai wanita dan suami isteri.
Nabil mendakwa, tenaganya dikerah dan pernah melihat pengikut ajaran itu dipukul jika menentang atau mempertikaikan perbuatan serta ajarannya, malah lelaki itu juga didakwa 'pintar' memanipulasi pengikut lain termasuk keluarganya.
"Dia pandai manipulasi supaya orang membenci saya termasuk keluarga sendiri. Bila kerap jumpa isteri, anak dan keluarga, dia letak saya dalam kondisi mensyirikkan Allah sebab tinggalkan rasul," dakwanya.
Nabil Danial mendakwa ajaran lelaki itu bertentangan dengan al-Quran dan didakwa bercelaru serta menimbulkan kekeliruan terutama berkaitan institusi perkahwinan.
Lebih membimbangkan, Nabil mendakwa perkahwinannya turut dipertikaikan dan dianggap tidak sah di sisi ajaran berkenaan, malah mendakwa tidak dibenarkan menjalankan tanggungjawab sebagai suami hingga menyebabkan hubungan dengan isteri, anak dan keluarga mentua terjejas.
Dia turut mendakwa pernah mengalami kecederaan fizikal selepas dibaling besi oleh individu itu sehingga mengalami pendarahan dan kesan kesihatan berpanjangan termasuk strok dan slip disc.
"Saya mula sedar semua ini tidak betul apabila saya tertidur ketika dakwah lelaki berkenaan dan dibaling besi di kepala sehingga berdarah. Saya juga pernah bertanya penerangan ayat namun dia mengatakan saya menentangnya dan membantah rasul Allah.
"Saya kemudiannya dihalau pada tahun lalu," katanya yang mengakui berdepan tekanan emosi dan kemurungan kerana perkara itu.
Dalam pendedahannya itu, sepanjang tujuh tahun bersama ajaran lelaki berkenaan, banyak pengikut dimalukan, dihina serta dipengaruhi secara psikologi termasuk ahli keluarganya sendiri serta perbuatan lelaki itu juga didakwa melampui batas antara berlainan jantina.
Artikel oleh: Harian Metro
'RASUL AKHIR ZAMAN'
https://www.hmetro.com.my/utama/2026/02/1325631/rasul-akhir-zaman

No comments:
Post a Comment