Wednesday, February 4, 2026

PPIM & CASSA GESA SIASATAN MENYELURUH KELAB BERDAFTAR DENGAN ROS, DAKWA WUJUD KARTEL MESIN SLOT DAN MANIPULASI AKAUN - HARAPAN DAILY - 04/02/2026

 


FOTO BERITA: Sidang Media bersama Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan PPIM dan Prof Datuk Dr. Jacob George CEO CASSA berkaitan dakwaan pengubahan wang haram serta salah laku tabdir urus kelab swasta berdaftar dengan ROS di Our Private Place, Villa Puteri Condominium, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur. 3hb Februari 2026 (Selasa)

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan bersama Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (CASSA) mengadakan sidang media bersama berhubung dakwaan pengubahan wang haram serta salah laku tadbir urus melibatkan beberapa kelab swasta yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) disampaikan oleh Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan CEO CASSA, Prof. Datuk Dr. Jacob George.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua organisasi itu mendakwa hasil penyelidikan strategik mereka menunjukkan terdapat lebih 300 premis mesin slot berlesen di seluruh negara, dengan setiap premis dianggarkan mempunyai antara 20 hingga 30 mesin. Menurut mereka, premis-premis ini didakwa beroperasi dalam pelbagai kategori kelab termasuk kelab sosial, kelab rekreasi, kelab golf serta kelab bertaraf “Di-Raja”, yang turut menempatkan bar minuman keras dan bilik mesin slot dalam premis masing-masing.
CASSA dan PPIM mendakwa wujud modus operandi yang disifatkan sebagai “DNA kartel”, di mana kakitangan bilik mesin slot didakwa digajikan atas nama kelab, namun kawalan operasi sebenar berada di tangan pihak luar yang mengendalikan bilik tersebut. Mereka turut merujuk laporan media antarabangsa pada 29 September 2023 serta laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan pembekuan USD6.4 juta berkaitan dakwaan pengubahan wang haram dan pembiayaan politik tidak sah. Mereka mempersoalkan status terkini kes tersebut dan menggesa SPRM memberikan kemas kini kepada umum.
Menurut kenyataan itu, satu dossier terperinci telah dihantar kepada ROS Kuala Lumpur pada 15 Disember 2025, ditandatangani lebih 19 ahli sebuah kelab. Ia mengandungi dakwaan transaksi kewangan tidak sah, amalan perakaunan dua lapis, kebocoran kewangan, salah guna kuasa oleh pengurusan kelab serta penajaan keahlian bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya dalaman kelab. Mereka turut mendakwa ahli yang membangkitkan isu kewangan semasa mesyuarat agung disasarkan melalui laporan insiden yang didakwa direka, sebelum dikenakan tindakan disiplin tanpa mematuhi prinsip keadilan asasi.
Turut dibangkitkan ialah dakwaan penggunaan sistem CCTV dalaman untuk memantau pergerakan ahli tertentu, termasuk dakwaan sambungan rakaman ke peranti peribadi pengurusan kelab, yang dipersoalkan dari sudut undang-undang privasi. Menurut mereka, sekurang-kurangnya tujuh laporan polis telah dibuat oleh pihak yang terjejas.
Kedua-dua organisasi itu turut mendakwa berlaku manipulasi dalam laporan kewangan tahunan, termasuk kes kecurian lebih RM14,000 oleh seorang kakitangan yang tidak dilaporkan dalam AGM, serta situasi di mana kelab sebagai tuan tanah didakwa berhutang RM1 juta kepada bilik mesin slot sebagai penyewa. Mereka turut mempersoalkan peletakan jawatan mengejut juruaudit yang dilantik pada AGM 2024–2025 serta kelulusan akaun kontroversi pada AGM Ogos 2025 walaupun dibantah oleh ahli.
Kenyataan itu turut membangkitkan persoalan mengenai kemasukan orang Melayu Islam ke bilik mesin slot serta bar arak dalam kelab, yang menurut mereka bercanggah dengan larangan agama. Mereka mendakwa terdapat bukti ahli menandatangani kemasukan orang luar dan bukan ahli ke bar kelab.
Sehubungan itu, CASSA dan PPIM mengemukakan beberapa tuntutan termasuk audit nasional dan siasatan menyeluruh ke atas semua kelab di bawah ROS serta operasi bilik mesin slot dan ROS menyerahkan dapatan segera kepada Perdana Menteri. Pembekuan semua kelulusan baharu mesin slot sementara siasatan kedijalankan dan rekod keluar masuk bebas untuk pemantauan pihak berkuasa serta penarikan balik lesen premis mesin slot bagi kelab yang didapati terlibat salah laku
Setakat ini, belum ada maklum balas rasmi daripada ROS, SPRM atau mana-mana kelab yang dinamakan berhubung dakwaan yang dibangkitkan dalam sidang media tersebut.

Artikel oleh: Harapan Daily

PPIM & CASSA GESA SIASATAN MENYELURUH KELAB BERDAFTAR DENGAN ROS, DAKWA WUJUD KARTEL MESIN SLOT DAN MANIPULASI AKAUN

https://harapandaily.com/2026/02/04/ppim-cassa-gesa-siasatan-menyeluruh-kelab-berdaftar-dengan-ros-dakwa-wujud-kartel-mesin-slot-dan-manipulasi-akaun/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL