Siapa sebenarnya perlu dipersalahkan.Pelanggan mahu sesuatu yang istimewa dalam suasana Ramadan, tetapi hotel menawarkan sesuatu yang lebih luar biasa. Itu harga bufet Ramadan yang harganya meningkat saban tahun dan ada yang menyifatkan harga yang ditawarkan bukan sahaja tidak relevan, tetapi ‘cekik darah’.
Bagi Datuk Nadzim Johan yang juga Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang aktif memperjuangkan hak pengguna, beliau berharap masyarakat Islam lebih mengutamakan aspek pendidikan kerana bulan ini adalah dianggap madrasah mendidik diri.
Beliau berkata, masyarakat Islam perlu membiasakan diri dengan mendidik diri mengurangkan pembaziran, belanja berhemah bukan mengikut hawa nafsu.
“Ramadan adalah bulan ibadah, (tetapi) mana aspek ibadahnya jika kita membazir dan mengikut hawa nafsu. Contohnya jika hendak makan sate ambil lah beberapa cucuk jumlah yang hendak dimakan bukannya ambil 10 cucuk tapi makan hanya tiga cucuk.
“Oleh kerana Ramadan itu datang setahun sekali, maka inilah masanya umat Islam mengambil kesempatan menunaikan ibadah, bukan sebaliknya mengambil peluang kononnya Ramadan yang datang sekali, inilah peluang makan sebanyak-banyaknya?,” soal beliau.
Mengenai program makan bufet Ramadan yang membabitkan syarikat yang mahu meraikan kakitangannya, Nadzim berkata, perkara itu tidak salah, namun mempertikaikan mengapa satu kepala berharga RM200.
“Apa yang mereka makan sampai RM200 seorang?” soalnya.
Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohd. Yusrizal Yusoff mendedahkan pada Ramadan tahun lepas, harga bufet bagi satu kepala adalah antara RM70 hingga RM300 dan menjangka peningkatan akan tetap berlaku tahun ini atas alasan yang sama iaitu kenaikan kos bahan mentah.
Kata beliau, pengusaha bufet menaikkan harga atas alasan berlaku kenaikan kos bahan mentah dan sewa premis.
![]() |
| NADZIM JOHAN dan SRI GANESH |
Tekanan peningkatan harga juga menyebabkan ada yang beralih kepada bazar Ramadan tetapi mereka menghadapi masalah sama, kenaikan harga makanan.
“Saya dapati pada tahun lepas di Kedah dan beberapa tempat di Kuala Lumpur, ada restoran kekurangan pelanggan atau tidak ada langsung pelanggan, yang saya percaya inilah impaknya. (apabila pengguna tidak mampu),” ujar beliau.
Maka beliau berharap pengusaha restoran atau hotel memainkan peranan agar menawarkan kadar harga menarik supaya lebih ramai datang termasuk pelancong asing.
Jika pelanggan tidak mampu, mungkin mereka terpaksa menikmati makanan berbuka puasa ala carte atau sekadar makan di gerai.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel mendakwa harga bufet Ramadan yang ditawarkan sebenarnya masih pada kadar harga munasabah.
“Kami ingin menegaskan bahawa harga yang ditawarkan masih berada pada kadar yang munasabah, selaras dengan peningkatan kos bahan mentah, tenaga kerja serta kos operasi yang ditanggung oleh hotel, resort dan restoran.
“Bufet Ramadan kebiasaannya menawarkan pelbagai pilihan hidangan tradisional dan antarabangsa dalam suasana yang selesa dan meriah, sekali gus memberikan nilai yang berpatutan kepada pelanggan,” ujarnya.
Yang penting kata beliau, pelanggan boleh membuat pilihan mengikut kemampuan masing-masing kerana terdapat pelbagai pakej dan promosi yang ditawarkan, daripada pilihan bajet, pertengahan hingga premium.
Pihaknya juga menggalakkan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk mengambil peluang merasai pengalaman unik Ramadan di Malaysia yang menampilkan kepelbagaian budaya, juadah serta semangat hospitaliti negara ini.
“Secara keseluruhannya, harga bufet Ramadan tahun ini adalah hampir sama seperti tahun lalu. Walaupun terdapat peningkatan kos operasi, pihak hotel, resort dan restoran masih berusaha mengekalkan harga yang berpatutan serta menawarkan pelbagai pilihan mengikut kemampuan pelanggan,” ujar Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Datin Christina Toh.
Iya, tepuk dada tanya selera dan semak isi dompet serta perbelanjaan sebelum menikmati mengikut selera.
Elak pembaziran seperti yang disarankan Nadzim iaitu ambil lah makanan pada kadarnya sahaja bukan ikut nafsu.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) yang menjalankan tinjauan mendapati tabiat membazir orang Malaysia khususnya umat Islam membimbangkan.
Berdasarkan program yang NGO berkenaan jalankan tahun lepas, sebanyak 21,000 kilogram (kg) atau 21 tan makanan dapat diselamatkan daripada dibuang daripada bazar Ramadan.-UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia
RAMADAN BULAN PENYUCIAN BUKAN MAKAN SAKAN HARGA KAYANGAN
https://www.utusan.com.my/nasional/2026/02/ramadan-bulan-penyucian-bukan-makan-sakan-harga-kayangan/


No comments:
Post a Comment