Kuala Lumpur: Terhad, cepat dan yuran guaman saja. Itu antara tiga janji yang kerap digunakan scammer untuk memperdaya pembeli rumah, taktik terbaru yang dikesan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Dengan iklan di pelbagai platform media sosial, ia menjadi trend terkini pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan wang mudah.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai wujud scammer yang menawarkan yuran guaman serendah RM1,500 untuk mendapatkan rumah di Johor.
Katanya, setakat ini, ramai pembeli rumah yang menjadi mangsa selepas melihat iklan di media sosial.
"Satu daripada elemen aduan yang membabitkan scam ini adalah mereka menggunakan pelbagai kaedah untuk menipu orang sehingga mereka membayar sesuatu.
"Hari ini, kita dapat aduan berkaitan dengan satu penipuan mengenai kerajaan negeri Johor menawarkan sesiapa nak beli rumah, bayar RM1,500.
"Kita dapat aduan ramai juga yang dah terkena. Kalau seorang RM1,500, 10 orang, berapa. 100 orang? Ini cukup menakutkan," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran ekspres seperti itu dengan menyemak terlebih dulu dengan pihak berwajib.
Nadzim berkata, sebarang urusan terutamanya membabitkan wang perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati kerana scammer di luar sana sedang menunggu untuk memperdaya mangsa.
"Yang membabitkan tawaran kena hati-hati sangat, terlalu ramai yang kena tipu dan orang dalam keadaan teruk nak beli rumah.
"Contoh yang ini, bayar RM1,500 dah dapat rumah. Kita sudah semak dengan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, memang tak ada," katanya.
Beliau turut mendedahkan, antara taktik lain digunakan scammer termasuklah menggunakan logo palsu, iklan ekspo hartanah dan tawaran segera di media sosial.
"Saya cadangkan, kita semua buatlah kumpulan WhatsApp untuk mengingatkan sesama kita agar tidak tertipu lagi.
"Sudah-sudahlah, banyak sangat yang sudah tertipu," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
'SUDAH-SUDAHLAH, BANYAK SANGAT YANG SUDAH TERTIPU'
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/02/1320895/sudah-sudahlah-banyak-sangat-yang-sudah-tertipu

No comments:
Post a Comment