Monday, November 2, 2026

PETROL BERCAMPUR AIR: PENGGUNA 'GIGIT JARI' - HARIAN METRO - 01/11/2026

 

Kuala Lumpur: Kesukaran membuktikan punca teknikal serta ketiadaan garis panduan jelas menyebabkan pemilik kenderaan terpaksa 'gigit jari' apabila menjadi mangsa insiden bahan api bercampur air di stesen minyak.

​Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zharif Johor, berkata dianggarkan lebih 20 aduan berhubung isu berkenaan diterima pihaknya dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, merangkumi kes di stesen minyak lama atau premis moden.

Katanya, sebilangan besar pengguna mendapati sukar untuk mendapatkan sebarang pampasan berikutan pihak pengurusan stesen minyak atau syarikat pemilik jenama sering menolak untuk bertanggungjawab.

​"Setakat ini, hak pengguna sering dinafikan kerana mereka dibebankan dengan tanggungjawab untuk membuktikan kerosakan kenderaan berpunca daripada stesen minyak berkenaan.

​"Kebanyakan bengkel luar ada memberikan maklum balas teknikal, namun untuk membuktikan perincian itu mengikut piawaian yang dituntut amat sukar bagi seorang individu perseorangan, walaupun kerosakan berlaku sejurus keluar dari stesen," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

​Zharif berkata, kerosakan sistem enjin atau komponen kenderaan akibat petrol bercampur air boleh menelan kos pembaikan sehingga puluhan ribu ringgit.

Katanya, kenderaan model baharu lebih sensitif terhadap pencemaran bahan api berikutan penggunaan sensor dan fungsi keselamatan teras (safe mode).

​"Ada kejadian kereta tiba-tiba terhenti di tengah jalan akibat pengaktifan sistem 'safe mode'.

"Perkara ini bukan sahaja menyusahkan, malah amat membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

​"Proses tuntutan sama ada menerusi perundingan terus atau Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) disifatkan hampir mustahil untuk memihak kepada pengadu.

"Akhirnya, pengguna sampai ke tahap putus asa dan terpaksa menanggung sendiri kos pembaikan," katanya.

​Bagi mengimbangi keadilan buat pengguna, beliau berkata, PPIM mencadangkan beberapa tindakan drastik daripada pihak berkuasa dan pemain industri.

Antaranya termasuk pengusaha stesen minyak dan pengeluar jenama bahan api disaran mewujudkan pusat mediasi khas bagi mengendalikan kes dan tuntutan kerosakan pengguna secara saksama.

​"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga digesa melantik atau menyenaraikan bengkel bertauliah sebagai panel bebas untuk menyiasat kerosakan kenderaan secara teknikal.

"Sekiranya terbukti berpunca daripada stesen minyak, pengusaha perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

"Selain itu kerajaan perlu meneliti mekanisme serta mewujudkan garis panduan perlindungan yang menyeluruh demi membela nasib pembayar cukai dan pengguna, "katanya.

​Mengulas mengenai saluran aduan yang berkesan buat masa ini, Zharif mengakui penularan di media sosial dan liputan media massa menjadi jalan akhir yang paling memberikan impak.

​"Selagi tiada regulasi ketat, kaedah paling berkesan untuk mendapatkan perhatian syarikat terbabit adalah menerusi kesedaran media," katanya.

​Terdahulu, media melaporkan satu hantaran dimuat naik seorang pengguna di Threads mendakwa membeli petrol RON95 di sebuah pam minyak yang bercampur dengan air.

KPDN turut mengesahkan menerima laporan berhubung sebuah stesen minyak yang didakwa menjual petrol bercampur air di Sungai Buloh, pada 19 Oktober lalu.

Artikel oleh: Harian Metro

PETROL BERCAMPUR AIR: PENGGUNA 'GIGIT JARI'

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/11/1430623/petrol-bercampur-air-pengguna-gigit-jari

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL