Showing posts with label PESANAN TIDAK HALAL. Show all posts
Showing posts with label PESANAN TIDAK HALAL. Show all posts

Friday, September 4, 2026

PLATFORM P-HAILING PERLU BERI PILIHAN DALAM SISTEM PENGHANTAR TOLAK PESANAN LIBATKAN BARANGAN TIDAK HALAL - SUARA.TV - 26/08/2026

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa penyedia perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) di negara ini tidak mengenakan tindakan penalti ke atas penghantar yang menolak pesanan penghantaran melibatkan barangan tidak halal.

PPIM dalam satu kenyataan melihat isu itu dengan serius kerana ia bukan semata-mata seperti menerima atau menolak pesanan tetapi ia melibatkan hak penghantar Muslim untuk mencari rezeki tanpa dipaksa memilih antara pendapatan dan pegangan agama.

“Apabila seseorang penghantar menolak sesuatu pesanan, penolakan tersebut mungkin memberi kesan kepada kadar penerimaan pesanan mereka bergantung pada sistem yang digunakan oleh jenama platform.

“Sekiranya pesanan tersebut melibatkan arak, khinzir atau barangan lain yang nyata tidak halal, penghantar Muslim perlu diberi ruang menolak pesanan berkenaan tanpa memberi kesan kepada kadar penerimaan pesanan mereka,” menurut kenyataan itu.

PPIM mahu penolakan atas faktor agama tidak seharusnya menyebabkan penghantar makanan kehilangan insentif, prestasi dikategorikan menurun, kehilangan akses di zon tertentu, diberi amaran atau berdepan sekatan akaun.

Syarikat penyedia platform diyakini ada keupayaan teknologi untuk membezakan antara penolakan pesanan biasa dengan penolakan yang dibuat atas alasan agama yang munasabah, menurut PPIM.

Persatuan itu meminta syarikat penyedia perkhidmatan memperkenalkan satu pilihan pengecualian berasaskan keperluan agama atau “religous exemption” dalam sistem digital masing-masing.

“Melalui mekanisme tersebut, penghantar Muslim boleh memilih untuk tidak
menerima kategori pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak
dan khinzir,” katanya.

PPIM juga menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk masuk campur kerana isu halal dan haram ini sudah pun menerobos masuk ke ekonomi digital.

“Perkembangan pesat ekonomi digital telah menyebabkan persoalan halal dan haram
tidak lagi terhad kepada pengeluaran makanan, premis, ramuan atau pensijilan
produk.

“Ia kini turut menyentuh rantaian perkhidmatan digital termasuk penghantaran
barangan kepada pengguna,” katanya.

Artikel oleh: Suara TV

PLATFORM P-HAILING PERLU BERI PILIHAN DALAM SISTEM PENGHANTAR TOLAK PESANAN LIBATKAN BARANGAN TIDAK HALAL

https://suara.tv/26/08/2026/platform-p-hailing-perlu-beri-pilihan-dalam-sistem-penghantar-tolak-pesanan-libatkan-barangan-tidak-halal/

Thursday, September 3, 2026

TOLAK PESANAN TIDAK HALAL, JANGAN HUKUM PENGHANTAR MUSLIM - PPIM - SINAR HARIAN - 24/08/2026

 

SHAH ALAM - Semua penyedia platform P-Hailing di Malaysia digesa memastikan penghantar beragama Islam tidak dikenakan sebarang bentuk penalti apabila menolak pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, perkara itu perlu dilihat secara serius kerana ia bukan sekadar persoalan penerimaan atau penolakan pesanan, sebaliknya melibatkan hak penghantar Muslim mencari rezeki tanpa perlu memilih antara pendapatan dengan pegangan agama.

“Sekiranya pesanan tersebut jelas melibatkan arak, khinzir atau barangan lain yang nyata tidak halal, penghantar Muslim sewajarnya diberikan ruang untuk menolak pesanan berkenaan tanpa penolakan tersebut menyebabkan kadar penerimaan pesanan mereka jatuh.

“Penolakan atas faktor agama juga tidak seharusnya menyebabkan penghantar kehilangan insentif, bonus atau keistimewaan tertentu, mengalami penurunan tahap prestasi, menerima kurang pesanan, kehilangan akses kepada slot atau zon tertentu, diberi amaran atau berdepan sekatan mahupun penggantungan akaun,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, penolakan pesanan atas faktor agama tidak seharusnya dianggap sebagai kegagalan penghantar melaksanakan pekerjaan.

Katanya, sekiranya penolakan tersebut menyebabkan kadar penerimaan pesanan jatuh sehingga menjejaskan peluang mendapatkan pesanan atau pendapatan, keadaan itu boleh mewujudkan bentuk penalti algoritma yang memberi implikasi ekonomi kepada penghantar.

“PPIM berpandangan bahawa penyedia platform mempunyai keupayaan teknologi untuk membezakan antara penolakan pesanan biasa dengan penolakan yang dibuat atas alasan agama yang munasabah.

“Oleh itu, alasan bahawa sistem secara automatik mengira setiap penolakan sebagai sebahagian daripada kadar penerimaan pesanan tidak lagi memadai sekiranya kesannya menyebabkan penghantar Muslim berada dalam keadaan terpaksa memilih antara agama dengan pendapatan,” katanya.

Mengulas lanjut, PPIM menggesa semua penyedia platform p-hailing memperkenalkan mekanisme pengecualian berasaskan keperluan agama bagi membolehkan penghantar Muslim memilih untuk tidak menerima pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal.

“Pesanan tersebut hendaklah dikecualikan daripada pengiraan kadar penerimaan pesanan tanpa menjejaskan prestasi, insentif, akses kepada pesanan atau kedudukan penghantar dalam sistem.

“Platform juga boleh membangunkan sistem yang mengagihkan pesanan berkenaan kepada penghantar lain yang bersedia menerimanya, sekali gus memastikan hak pengguna bukan Islam untuk mendapatkan perkhidmatan tidak dinafikan,” katanya.

Dalam pada itu, PPIM turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberikan perhatian dan panduan yang jelas terhadap isu berkenaan susulan perkembangan ekonomi digital yang turut melibatkan persoalan halal serta haram dalam rantaian perkhidmatan penghantaran.

“PPIM mencadangkan JAKIM mengadakan libat urus bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), penyedia platform p-hailing, persatuan pekerja gig, wakil pengguna dan pihak berkepentingan bagi merangka satu garis panduan yang jelas serta praktikal.

“KESUMA juga perlu meneliti perkara ini dalam kerangka pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872],” katanya.

PPIM berkata, keputusan sistem dan algoritma berkaitan penugasan perkhidmatan juga boleh memberi kesan langsung terhadap peluang seseorang penghantar memperoleh pendapatan, justeru perkara itu perlu diteliti dalam konteks perlindungan pekerja gig.

Dalam pada itu, PPIM mencadangkan satu standard atau garis panduan nasional berkaitan penghantaran barangan tidak halal berdasarkan standard Halal Logistik MS2400 dibangunkan melalui kerjasama KESUMA, JAKIM, penyedia platform dan pihak berkepentingan.

Menurutnya, garis panduan itu sekurang-kurangnya perlu memastikan penghantar Muslim mempunyai pilihan untuk tidak menerima pesanan yang jelas melibatkan arak dan khinzir tanpa menjejaskan kadar penerimaan, prestasi, insentif, akses kepada pesanan atau peluang pendapatan.

“Platform juga perlu menyediakan mekanisme semakan atau rayuan yang telus sekiranya penghantar percaya mereka telah dikenakan tindakan secara tidak adil.

“Penyelesaiannya bukan dengan menyekat hak pengguna, sebaliknya membangunkan sistem yang lebih pintar, adil dan inklusif,” katanya.

PPIM turut menyeru penyedia platform mengambil tindakan proaktif, manakala JAKIM dan KESUMA perlu memimpin penyelesaian melalui garis panduan serta kerangka perlindungan yang jelas supaya teknologi serta algoritma tidak menyebabkan penghantar Muslim terpaksa mengorbankan pegangan agama dalam mencari rezeki.

Artikel oleh: Sinar Harian

TOLAK PESANAN TIDAK HALAL, JANGAN HUKUM PENGHANTAR MUSLIM - PPIM

https://www.sinarharian.com.my/article/793341/berita/nasional/tolak-pesanan-tidak-halal-jangan-hukum-penghantar-muslim---ppim

JANGAN HUKUM PENGHANTAR MUSLIM KERANA MENOLAK PESANAN TIDAK HALAL, PPIM GESA PLATFORM, JAKIM DAN KESUMA BERTINDAK - KENYATAAN MEDIA PPIM - 24/08/2026

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa semua penyedia platform p-hailing di Malaysia memastikan tiada penghantar beragama Islam dikenakan sebarang bentuk penalti apabila menolak pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir.

PPIM berpandangan isu ini perlu dilihat secara serius kerana ia bukan semata-mata persoalan teknikal mengenai penerimaan atau penolakan pesanan, tetapi melibatkan hak penghantar Muslim untuk mencari rezeki tanpa dipaksa memilih antara pendapatan dengan pegangan agama.

KADAR PENERIMAAN PESANAN TIDAK WAJAR JATUH

PPIM menerima dengan serius kebimbangan bahawa apabila seseorang penghantar menolak sesuatu pesanan, penolakan tersebut berpotensi memberi kesan kepada kadar penerimaan pesanan atau “acceptance rate” mereka bergantung kepada mekanisme yang digunakan oleh platform.

Sekiranya pesanan tersebut jelas melibatkan arak, khinzir atau barangan lain yang nyata tidak halal, penghantar Muslim sewajarnya diberikan ruang untuk menolak pesanan berkenaan tanpa penolakan tersebut menyebabkan kadar penerimaan pesanan mereka jatuh.

PPIM menegaskan bahawa penolakan atas faktor agama juga tidak seharusnya menyebabkan penghantar kehilangan insentif, bonus atau keistimewaan tertentu, mengalami penurunan tahap prestasi, menerima kurang pesanan, kehilangan akses kepada slot atau zon tertentu, diberi amaran atau berdepan sekatan mahupun penggantungan akaun.

Menolak pesanan kerana mematuhi tuntutan agama tidak seharusnya dianggap sebagai kegagalan penghantar melaksanakan pekerjaan.

Jika penolakan tersebut menyebabkan kadar penerimaan pesanan jatuh dan seterusnya memberi kesan kepada peluang mendapatkan pesanan atau pendapatan, keadaan itu boleh mewujudkan suatu bentuk penalti algoritma yang mempunyai implikasi ekonomi kepada penghantar.

ALGORITMA TIDAK BOLEH MENGHUKUM PEKERJA KERANA PEGANGAN AGAMA

Ekonomi gig hari ini digerakkan oleh teknologi dan sistem automatik. Namun, teknologi mesti dibangunkan untuk memenuhi keperluan manusia, bukan menyebabkan manusia terpaksa mengetepikan pegangan agama semata-mata untuk mempertahankan mata pencarian.

PPIM berpandangan bahawa penyedia platform mempunyai keupayaan teknologi untuk membezakan antara penolakan pesanan biasa dengan penolakan yang dibuat atas alasan agama yang munasabah.

Oleh itu, alasan bahawa sistem secara automatik mengira setiap penolakan sebagai sebahagian daripada kadar penerimaan pesanan tidak lagi memadai sekiranya kesannya menyebabkan penghantar Muslim berada dalam keadaan terpaksa memilih antara agama dengan pendapatan.

PPIM CADANG MEKANISME PENGECUALIAN BERASASKAN AGAMA

PPIM menggesa semua penyedia platform p-hailing memperkenalkan satu mekanisme pengecualian berasaskan keperluan agama atau “religious exemption” dalam sistem masing-masing.

Melalui mekanisme tersebut, penghantar Muslim boleh memilih untuk tidak menerima kategori pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir.

Pesanan tersebut hendaklah dikecualikan daripada pengiraan kadar penerimaan pesanan, tanpa menjejaskan prestasi, insentif, akses kepada pesanan atau kedudukan penghantar dalam sistem.

Platform juga boleh membangunkan sistem yang mengagihkan pesanan berkenaan kepada penghantar lain yang bersedia menerimanya. Ini merupakan pendekatan yang lebih adil dan seimbang.

Hak pengguna bukan Islam untuk mendapatkan perkhidmatan tidak dinafikan, operasi platform tidak perlu dihentikan, manakala pegangan agama penghantar Muslim turut dihormati.

JAKIM PERLU MASUK CAMPUR, ISU HALAL SUDAH MEMASUKI EKONOMI DIGITAL

PPIM turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberikan perhatian dan panduan yang jelas terhadap isu ini.

Perkembangan pesat ekonomi digital telah menyebabkan persoalan halal dan haram tidak lagi terhad kepada pengeluaran makanan, premis, ramuan atau pensijilan produk.

Ia kini turut menyentuh rantaian perkhidmatan digital termasuk penghantaran barangan kepada pengguna.

Justeru, PPIM mencadangkan JAKIM mengadakan libat urus bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), penyedia platform p-hailing, persatuan pekerja gig, wakil pengguna dan pihak berkepentingan bagi merangka satu garis panduan yang jelas dan praktikal.

Malaysia mempunyai ekosistem halal yang dihormati. Prinsip dan integriti tersebut sewajarnya berkembang seiring dengan perubahan teknologi serta bentuk pekerjaan baharu.

KESUMA PERLU TELITI DI BAWAH AKTA PEKERJA GIG 2025 [AKTA 872]

PPIM turut menggesa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meneliti perkara ini dalam kerangka pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872].

Dalam ekonomi gig, kesan kepada seseorang pekerja tidak semestinya berlaku melalui penggantungan atau penamatan akaun sahaja.

Keputusan sistem dan algoritma mengenai penugasan perkhidmatan juga boleh mempunyai kesan langsung terhadap peluang seseorang penghantar memperoleh pendapatan.

Oleh itu, persoalan yang perlu diberikan perhatian ialah:

  • Adakah seorang penghantar mengalami kerugian atau layanan yang merugikan dalam sistem hanya kerana beliau menolak tugasan atas alasan agama yang munasabah?
  • Jika penolakan pesanan tidak halal menyebabkan kadar penerimaan pesanan jatuh, prestasi terjejas, peluang menerima pesanan berkurangan atau pendapatan terkesan, perkara tersebut sewajarnya diteliti oleh KESUMA dalam konteks perlindungan pekerja gig.

PPIM menggesa KESUMA memastikan perkembangan teknologi dan penggunaan sistem keputusan berautomasi oleh platform tidak mewujudkan bentuk diskriminasi atau penalti yang tidak adil kepada pekerja gig.

WUJUDKAN STANDARD NASIONAL

PPIM tidak mahu isu ini diselesaikan secara berasingan oleh setiap platform sehingga wujud standard perlindungan yang berbeza-beza.

PPIM mencadangkan satu standard Halal atau garis panduan nasional berdasarkan standard Halal Logistik MS2400 dibangunkan melalui kerjasama KESUMA, JAKIM, penyedia platform dan pihak berkepentingan.

Standard tersebut sekurang-kurangnya perlu memastikan bahawa:

  • Pertama, penghantar Muslim mempunyai pilihan untuk tidak menerima pesanan yang jelas melibatkan arak dan khinzir.
  • Kedua, penolakan tersebut tidak menurunkan kadar penerimaan pesanan atau menjejaskan prestasi mereka.
  • Ketiga, tiada penalti secara langsung atau melalui algoritma dikenakan.
  • Keempat, penghantar tidak kehilangan insentif, akses kepada pesanan atau peluang pendapatan hanya kerana menggunakan pengecualian tersebut.
  • Kelima, platform menyediakan mekanisme semakan atau rayuan yang telus sekiranya penghantar percaya mereka telah dikenakan tindakan secara tidak adil.

JANGAN PAKSA MEREKA MEMILIH ANTARA REZEKI DAN AGAMA

PPIM menghormati kepelbagaian agama dan cara hidup masyarakat Malaysia serta hak pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan yang sah.

Namun pada masa yang sama, prinsip tersebut perlu diseimbangkan dengan penghormatan terhadap pegangan agama pekerja yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Penyelesaiannya bukan dengan menyekat hak pengguna. Penyelesaiannya ialah membangunkan sistem yang lebih pintar, adil dan inklusif.

Penghantar p-hailing keluar bekerja setiap hari untuk mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarga. Mereka tidak seharusnya kehilangan pendapatan atau dihukum oleh sistem hanya kerana mahu memastikan sumber rezeki mereka selari dengan pegangan agama.

PPIM menyeru penyedia platform supaya mengambil tindakan proaktif tanpa menunggu isu ini menjadi pertikaian yang lebih besar.

Pada masa yang sama, JAKIM dan KESUMA perlu tampil memimpin penyelesaian melalui garis panduan dan kerangka perlindungan yang jelas.

“JANGAN HUKUM PENGHANTAR KERANA MEMPERTAHANKAN PEGANGAN AGAMA.”

Teknologi mesti menghormati manusia.

Algoritma mesti berlaku adil.

Pegangan agama mesti dihormati.

Dan mencari rezeki tidak seharusnya memaksa seseorang mengorbankan prinsip agamanya.

 


PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL