Showing posts with label KENYATAAN MEDIA PPIM. Show all posts
Showing posts with label KENYATAAN MEDIA PPIM. Show all posts

Thursday, September 3, 2026

JANGAN HUKUM PENGHANTAR MUSLIM KERANA MENOLAK PESANAN TIDAK HALAL, PPIM GESA PLATFORM, JAKIM DAN KESUMA BERTINDAK - KENYATAAN MEDIA PPIM - 24/08/2026

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa semua penyedia platform p-hailing di Malaysia memastikan tiada penghantar beragama Islam dikenakan sebarang bentuk penalti apabila menolak pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir.

PPIM berpandangan isu ini perlu dilihat secara serius kerana ia bukan semata-mata persoalan teknikal mengenai penerimaan atau penolakan pesanan, tetapi melibatkan hak penghantar Muslim untuk mencari rezeki tanpa dipaksa memilih antara pendapatan dengan pegangan agama.

KADAR PENERIMAAN PESANAN TIDAK WAJAR JATUH

PPIM menerima dengan serius kebimbangan bahawa apabila seseorang penghantar menolak sesuatu pesanan, penolakan tersebut berpotensi memberi kesan kepada kadar penerimaan pesanan atau “acceptance rate” mereka bergantung kepada mekanisme yang digunakan oleh platform.

Sekiranya pesanan tersebut jelas melibatkan arak, khinzir atau barangan lain yang nyata tidak halal, penghantar Muslim sewajarnya diberikan ruang untuk menolak pesanan berkenaan tanpa penolakan tersebut menyebabkan kadar penerimaan pesanan mereka jatuh.

PPIM menegaskan bahawa penolakan atas faktor agama juga tidak seharusnya menyebabkan penghantar kehilangan insentif, bonus atau keistimewaan tertentu, mengalami penurunan tahap prestasi, menerima kurang pesanan, kehilangan akses kepada slot atau zon tertentu, diberi amaran atau berdepan sekatan mahupun penggantungan akaun.

Menolak pesanan kerana mematuhi tuntutan agama tidak seharusnya dianggap sebagai kegagalan penghantar melaksanakan pekerjaan.

Jika penolakan tersebut menyebabkan kadar penerimaan pesanan jatuh dan seterusnya memberi kesan kepada peluang mendapatkan pesanan atau pendapatan, keadaan itu boleh mewujudkan suatu bentuk penalti algoritma yang mempunyai implikasi ekonomi kepada penghantar.

ALGORITMA TIDAK BOLEH MENGHUKUM PEKERJA KERANA PEGANGAN AGAMA

Ekonomi gig hari ini digerakkan oleh teknologi dan sistem automatik. Namun, teknologi mesti dibangunkan untuk memenuhi keperluan manusia, bukan menyebabkan manusia terpaksa mengetepikan pegangan agama semata-mata untuk mempertahankan mata pencarian.

PPIM berpandangan bahawa penyedia platform mempunyai keupayaan teknologi untuk membezakan antara penolakan pesanan biasa dengan penolakan yang dibuat atas alasan agama yang munasabah.

Oleh itu, alasan bahawa sistem secara automatik mengira setiap penolakan sebagai sebahagian daripada kadar penerimaan pesanan tidak lagi memadai sekiranya kesannya menyebabkan penghantar Muslim berada dalam keadaan terpaksa memilih antara agama dengan pendapatan.

PPIM CADANG MEKANISME PENGECUALIAN BERASASKAN AGAMA

PPIM menggesa semua penyedia platform p-hailing memperkenalkan satu mekanisme pengecualian berasaskan keperluan agama atau “religious exemption” dalam sistem masing-masing.

Melalui mekanisme tersebut, penghantar Muslim boleh memilih untuk tidak menerima kategori pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir.

Pesanan tersebut hendaklah dikecualikan daripada pengiraan kadar penerimaan pesanan, tanpa menjejaskan prestasi, insentif, akses kepada pesanan atau kedudukan penghantar dalam sistem.

Platform juga boleh membangunkan sistem yang mengagihkan pesanan berkenaan kepada penghantar lain yang bersedia menerimanya. Ini merupakan pendekatan yang lebih adil dan seimbang.

Hak pengguna bukan Islam untuk mendapatkan perkhidmatan tidak dinafikan, operasi platform tidak perlu dihentikan, manakala pegangan agama penghantar Muslim turut dihormati.

JAKIM PERLU MASUK CAMPUR, ISU HALAL SUDAH MEMASUKI EKONOMI DIGITAL

PPIM turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberikan perhatian dan panduan yang jelas terhadap isu ini.

Perkembangan pesat ekonomi digital telah menyebabkan persoalan halal dan haram tidak lagi terhad kepada pengeluaran makanan, premis, ramuan atau pensijilan produk.

Ia kini turut menyentuh rantaian perkhidmatan digital termasuk penghantaran barangan kepada pengguna.

Justeru, PPIM mencadangkan JAKIM mengadakan libat urus bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), penyedia platform p-hailing, persatuan pekerja gig, wakil pengguna dan pihak berkepentingan bagi merangka satu garis panduan yang jelas dan praktikal.

Malaysia mempunyai ekosistem halal yang dihormati. Prinsip dan integriti tersebut sewajarnya berkembang seiring dengan perubahan teknologi serta bentuk pekerjaan baharu.

KESUMA PERLU TELITI DI BAWAH AKTA PEKERJA GIG 2025 [AKTA 872]

PPIM turut menggesa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meneliti perkara ini dalam kerangka pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872].

Dalam ekonomi gig, kesan kepada seseorang pekerja tidak semestinya berlaku melalui penggantungan atau penamatan akaun sahaja.

Keputusan sistem dan algoritma mengenai penugasan perkhidmatan juga boleh mempunyai kesan langsung terhadap peluang seseorang penghantar memperoleh pendapatan.

Oleh itu, persoalan yang perlu diberikan perhatian ialah:

  • Adakah seorang penghantar mengalami kerugian atau layanan yang merugikan dalam sistem hanya kerana beliau menolak tugasan atas alasan agama yang munasabah?
  • Jika penolakan pesanan tidak halal menyebabkan kadar penerimaan pesanan jatuh, prestasi terjejas, peluang menerima pesanan berkurangan atau pendapatan terkesan, perkara tersebut sewajarnya diteliti oleh KESUMA dalam konteks perlindungan pekerja gig.

PPIM menggesa KESUMA memastikan perkembangan teknologi dan penggunaan sistem keputusan berautomasi oleh platform tidak mewujudkan bentuk diskriminasi atau penalti yang tidak adil kepada pekerja gig.

WUJUDKAN STANDARD NASIONAL

PPIM tidak mahu isu ini diselesaikan secara berasingan oleh setiap platform sehingga wujud standard perlindungan yang berbeza-beza.

PPIM mencadangkan satu standard Halal atau garis panduan nasional berdasarkan standard Halal Logistik MS2400 dibangunkan melalui kerjasama KESUMA, JAKIM, penyedia platform dan pihak berkepentingan.

Standard tersebut sekurang-kurangnya perlu memastikan bahawa:

  • Pertama, penghantar Muslim mempunyai pilihan untuk tidak menerima pesanan yang jelas melibatkan arak dan khinzir.
  • Kedua, penolakan tersebut tidak menurunkan kadar penerimaan pesanan atau menjejaskan prestasi mereka.
  • Ketiga, tiada penalti secara langsung atau melalui algoritma dikenakan.
  • Keempat, penghantar tidak kehilangan insentif, akses kepada pesanan atau peluang pendapatan hanya kerana menggunakan pengecualian tersebut.
  • Kelima, platform menyediakan mekanisme semakan atau rayuan yang telus sekiranya penghantar percaya mereka telah dikenakan tindakan secara tidak adil.

JANGAN PAKSA MEREKA MEMILIH ANTARA REZEKI DAN AGAMA

PPIM menghormati kepelbagaian agama dan cara hidup masyarakat Malaysia serta hak pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan yang sah.

Namun pada masa yang sama, prinsip tersebut perlu diseimbangkan dengan penghormatan terhadap pegangan agama pekerja yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Penyelesaiannya bukan dengan menyekat hak pengguna. Penyelesaiannya ialah membangunkan sistem yang lebih pintar, adil dan inklusif.

Penghantar p-hailing keluar bekerja setiap hari untuk mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarga. Mereka tidak seharusnya kehilangan pendapatan atau dihukum oleh sistem hanya kerana mahu memastikan sumber rezeki mereka selari dengan pegangan agama.

PPIM menyeru penyedia platform supaya mengambil tindakan proaktif tanpa menunggu isu ini menjadi pertikaian yang lebih besar.

Pada masa yang sama, JAKIM dan KESUMA perlu tampil memimpin penyelesaian melalui garis panduan dan kerangka perlindungan yang jelas.

“JANGAN HUKUM PENGHANTAR KERANA MEMPERTAHANKAN PEGANGAN AGAMA.”

Teknologi mesti menghormati manusia.

Algoritma mesti berlaku adil.

Pegangan agama mesti dihormati.

Dan mencari rezeki tidak seharusnya memaksa seseorang mengorbankan prinsip agamanya.

 


Friday, June 12, 2026

STATUS TANAH DATUK KERAMAT - KENYATAAN MEDIA PPIM - 12/06/2026

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang menegaskan hasrat penduduk Datuk Keramat agar status tanah pajakan (leasehold) di kawasan tersebut ditukar kepada pegangan kekal (freehold).

PPIM berpandangan bahawa isu ini wajar diberi perhatian serius dan ditangani dengan segera oleh pihak berkuasa berkaitan, khususnya Jabatan Perdana Menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Tanah.

Datuk Keramat merupakan antara penempatan tradisi utama masyarakat Melayu di ibu negara, selain Kampung Baru dan Kampung Pandan. Kawasan ini mempunyai nilai sejarah, warisan dan identiti yang amat signifikan kepada masyarakat Melayu bandar.

Sekiranya kawasan seperti Cheras yang sebahagian besarnya menikmati status pegangan kekal boleh diberikan keistimewaan tersebut, maka tidak ada sebab munasabah mengapa pertimbangan yang sama tidak boleh diberikan kepada pemilik tanah tradisi Melayu di Datuk Keramat.

Sehubungan itu, PPIM berharap Datuk Seri Johari Abdul Ghani selaku wakil rakyat kawasan berkenaan dapat menerajui penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji, merancang dan menggerakkan usaha penukaran status tanah ini secara menyeluruh. Langkah tersebut diharapkan dapat dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, ketelusan dan mengambil kira kepentingan jangka panjang penduduk setempat.

PPIM yakin bahawa penyelesaian yang adil dan mampan terhadap isu ini akan dapat memelihara warisan masyarakat Melayu bandar serta menjamin hak dan kepentingan generasi akan datang.


Tuesday, June 2, 2026

PPIM SAMBUT BAIK PENGESAHAN UMUR AKAUN MEDIA SOSIAL,GESA PLATFORM PATUH KOD BAHARU - KENYATAAN MEDIA PPIM - 02/06/2026

KUALA LUMPUR, 2 Jun 2026 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik pelaksanaan syarat pengesahan umur bagi pembukaan akaun media sosial yang mula berkuat kuasa semalam sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh keselamatan pengguna di ruang digital.

PPIM berpandangan bahawa pendekatan mewajibkan pengesahan identiti serta mengehadkan akses kepada pengguna bawah 16 tahun adalah langkah yang wajar dalam usaha mengurangkan risiko seperti penipuan dalam talian, gangguan siber dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

Dalam konteks semasa, di mana kes jenayah siber dan manipulasi digital semakin meningkat, langkah ini dilihat sebagai usaha dasar yang lebih tersusun bagi mengimbangi antara akses teknologi dan perlindungan pengguna, khususnya golongan muda.

PPIM turut melihat pengenalan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) sebagai satu perkembangan positif ke arah meningkatkan kebertanggungjawaban penyedia platform digital, termasuk dari aspek kawalan kandungan dan keselamatan sistem.

PPIM turut menggesa semua penyedia platform media sosial agar mengambil tindakan proaktif untuk memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan di bawah CPC dan RMC, termasuk mempercepatkan pelaksanaan sistem pengesahan umur serta memperkukuh mekanisme keselamatan pengguna.

PPIM turut menekankan kepentingan keterjaminan dan keselamatan data peribadi dalam pelaksanaan ini, dan berharap ia dilaksanakan dengan standard perlindungan yang tinggi. PPIM akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa demi memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara.

PPIM juga menegaskan bahawa perlindungan pengguna memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk pendidikan, pemantauan berterusan dan kerjasama semua pihak.

Sehubungan itu, PPIM berharap pelaksanaan dasar ini dapat dilaksanakan secara telus, praktikal serta benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

Wednesday, March 18, 2026

PPIM BONGKAR TAKTIK KOTOR SYARIKAT TELCO: CAJ TERSEMBUNYI CEKIK DARAH PENGGUNA - KENYATAAN MEDIA PPIM - 18/03/2026

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mendedahkan siri rompakan halus yang dilakukan oleh syarikat telekomunikasi (Telco) terhadap rakyat Malaysia melalui pengenalan caj-caj tersembunyi dan pakej "percuma" yang akhirnya memerangkap pengguna dengan hutang ribuan ringgit.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menegaskan bahawa isu ini bukan lagi perkara kecil, tetapi satu bentuk penindasan sistematik yang mengaut keuntungan puluhan juta ringgit di atas penderitaan rakyat.

"Kita tengok caj insurans sahaja, syarikat telco untung berpuluh juta! Tapi pengguna rugi besar sebab kena caj berganda. Ini bukan perniagaan, ini dah macam skim nak 'sembelih' pelanggan secara diam-diam. Saya nak tanya, di mana integriti syarikat-syarikat besar ini?" tegasnya.

MODUS OPERANDI "HADIAH PERCUMA" YANG MEMERANGKAP

PPIM menerima aduan daripada seorang mangsa, Aina Ramli, 48, yang menjadi mangsa taktik licik sebuah syarikat telco. Mangsa ditawarkan talian telefon "percuma" sebagai penghargaan pelanggan setia dan diberitahu jika tidak berminat, beliau tidak perlu melakukan apa-apa dan tiada caj akan dikenakan.

Namun, selepas setahun, Aina terkejut apabila mendapati namanya telah disenarai hitam (Blacklist). Penyata bil menunjukkan beliau dikenakan caj RM100 setiap bulan untuk talian yang kononnya "percuma" dan tidak pernah diaktifkan olehnya sendiri.

"Ini satu penganiayaan! Bagaimana talian yang tidak pernah disentuh boleh keluar bil RM100 sebulan sampai mangsa disenarai hitam? Kalau mangsa tak semak, sampai ke tua dia kena bayar 'hutang hantu' ini," katanya lagi.

MCMC JANGAN JADI "Pak Turut" TELCO, KENAKAN DENDA MAKSIMUM!

Walaupun kes Aina Ramli berjaya diselesaikan selepas dibawa ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PPIM melihat ini hanyalah "hujung gunung ais" (tip of the iceberg).

Berapa banyak lagi pengguna di luar sana yang sedang membayar bil untuk perkhidmatan yang mereka tidak guna?

PPIM menuntut tindakan segera daripada Kerajaan dan pihak berkuasa:

  1. Denda Mandatori yang Tinggi: Kerajaan mesti mengenakan denda jutaan ringgit kepada mana-mana telco yang terbukti mengenakan caj tersembunyi atau menipu pengguna dengan istilah "percuma". Denda kecil tidak akan memberi kesan kepada syarikat gergasi ini!
  2. Audit Wajib ke atas Sistem Bil: MCMC perlu melakukan audit menyeluruh terhadap setiap sen yang dicaj oleh telco, terutamanya melibatkan produk pihak ketiga seperti insurans dan kandungan premium.
  3. Hapuskan Senarai Hitam Automatik: Jangan sesuka hati menyenarai hitamkan pengguna selagi aduan dan pertikaian bil belum diselesaikan secara telus.

NASIHAT TOQQI KEPADA RAKYAT

Nadzim Johan turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya buka mata dan semak penyata bil setiap bulan.

"Jangan jadi pak turut. Jangan percaya bulat-bulat apa telco kata 'percuma'. Periksa setiap baris dalam bil anda. Kalau ada caj pelik hatta seringgit sekalipun, lawan! Kalau telco tak layan, datang jumpa kami di PPIM. Kita tak boleh biarkan mereka ini terus bermaharajalela mencuri duit rakyat secara halus," katanya.

PPIM memberi amaran kepada syarikat-syarikat telco terlibat supaya menghentikan taktik kotor ini sebelum tindakan lebih drastik diambil bagi membela maruah dan poket rakyat.

Saturday, February 28, 2026

PENJELASAN STATUS HUBUNGAN ANTARA PPIM DAN GABUNGAN EHAILING MALAYSIA (GEM) - KENYATAAN MEDIA PPIM - 28/02/2026

KUALA LUMPUR, 28 Februari 2026 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil maklum bahawa sehingga kini masih terdapat kekeliruan dalam kalangan segelintir pihak yang beranggapan bahawa Gabungan Ehailing Malaysia (GEM) mempunyai kaitan dengan pihak kami.

Bagi mengelakkan sebarang salah faham yang berterusan, PPIM ingin menegaskan semula pendirian kami sebagaimana kenyataan yang telah dikeluarkan pada 26 Ogos 2025:

 * Tiada Kaitan Rasmi: PPIM ingin menjelaskan bahawa kami tiada sebarang kaitan mahupun hubungan rasmi dengan GEM. Pihak GEM bukan merupakan gabungan di bawah naungan PPIM dan tidak pernah mewakili PPIM dalam mana-mana urusan atau aktiviti.

 * Nasihat Kepada Pihak Berkepentingan: Kami menasihatkan mana-mana pihak agar tidak terperdaya sekiranya terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa GEM berada di bawah naungan atau payung PPIM.

Penjelasan ini penting bagi memastikan ketelusan identiti setiap organisasi.

 * Status Pendaftaran: Selain itu, semakan terkini kami mendapati status pendaftaran GEM masih kekal sebagaimana tahun lalu, iaitu sebagai sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar.

Pihak kami sekadar ingin mengingatkan bahawa mengikut Akta Pertubuhan 1966, adalah menjadi satu kesalahan untuk menjalankan aktiviti sebagai sebuah pertubuhan tanpa pendaftaran yang sah.

PPIM sentiasa menghormati usaha mana-mana pihak dalam memperjuangkan nasib komuniti, namun penjelasan ini perlu dibuat demi menjaga kepentingan dan kejelasan peranan masing-masing agar tidak timbul implikasi di masa hadapan.

Diharapkan penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan bagi semua pihak yang terlibat.

Friday, February 27, 2026

TULAR: PRODUK SNEK KOREA MENGANDUNGI BABI, PPIM GESA TINDAKAN TEGAS TERHADAP PIHAK 'SOROK' KEBENARAN - KENYATAAN MEDIA PPIM - 27/02/2026

KUALA LUMPUR – Satu video tular di platform TikTok baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna Muslim selepas mendedahkan penemuan ramuan berasaskan babi dalam snek popular dari Korea Selatan yang dijual di sebuah rangkaian farmasi terkemuka.

Menerusi video oleh pengguna @liafa62, produk 'Olive Young Bagel Chips' yang dibeli di rangkaian kedai kesihatan didakwa mengandungi ramuan tidak halal, meskipun label terjemahan bahasa Inggeris pada bungkusan tersebut tidak menyatakannya secara telus.

Mengulas isu berkenaan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan@toqqi melahirkan rasa marah dan menyifatkan tindakan syarikat yang didakwa sengaja menyembunyikan ramuan haram sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada pengguna Muslim di negara ini.

Pihak persatuan menggesa pihak berkuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengambil tindakan tegas di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 terhadap mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna melalui pelabelan yang tidak tepat.

Dalam pada itu, PPIM menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan bungkusan produk import yang menarik tanpa memastikan adanya sijil halal JAKIM yang sah, walaupun produk tersebut sekadar snek atau makanan ringan.

Pengguna turut diseru untuk tidak hanya bergantung kepada label pelekat tambahan, sebaliknya menggunakan teknologi penterjemah bagi menyemak ramuan asal pada bungkusan serta melaporkan mana-mana premis yang menjual produk meragukan bagi melindungi komuniti daripada termakan barangan haram.

Isu ini menjadi lebih serius apabila hasil semakan mendapati varian 'Pizza' secara jelas menyenaraikan daging babi dalam ramuan asal Korea, manakala varian lain pula didapati diproses di kilang yang sama dengan produk berasaskan babi.

Keadaan ini mendedahkan produk berkenaan kepada risiko pencemaran silang yang tinggi dan tidak sepatutnya diabaikan dalam label terjemahan.

Setakat ini, pihak pengurusan farmasi berkenaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Tuesday, November 4, 2025

PPIM BANTAH TINDAKAN 'MUSLIM FRIENDLY WATCH' KELUARKAN SIJIL 'MUSLIM CHOICE' YANG MENGELIRUKAN - KENYATAAN MEDIA PPIM - 04/11/2025

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan ini membantah sekeras-kerasnya kegiatan yang dilakukan oleh pihak Muslim Friendly Watch yang mengeluarkan perakuan 'Muslim Choice' kepada peniaga, yang seolah-olah bertindak sebagai suatu tanda atau sijil Halal.

Tindakan ini adalah jelas suatu percubaan untuk mengelirukan orang ramai dan dilihat sebagai menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011. Akta tersebut dengan nyatanya memperuntukkan bahawa pihak yang diberi kuasa untuk mengeluarkan pensijilan Halal di Malaysia hanyalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Mana-mana pihak lain yang mengeluarkan sebarang bentuk perakuan, label atau logo yang menyerupai sijil Halal adalah melakukan suatu kesalahan di sisi undang-undang.

PPIM mendapati kegiatan Muslim Friendly Watch ini amat berbahaya dan boleh menghakis kepercayaan serta keyakinan pengguna Islam di negara ini. Kewujudan dua 'autoriti' yang berbeza dalam hal pensijilan Halal hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna, peniaga, malah badan-badan pensijilan luar negara yang selama ini telah mempercayai dan mengiktiraf JAKIM sebagai satu-satunya badan pensijilan Halal yang sah di Malaysia.

Kami ingin menegaskan bahawa isu Halal adalah isu yang sangat sensitif dan melibatkan akidah serta keyakinan umat Islam. Segala bentuk komersialisasi dan main-main dalam urusan ini perlu dibendung segera.

Oleh itu, PPIM menggesa:

  1. Kepada Muslim Friendly Watch: Agar serta-merta menghentikan semua kegiatan mengeluarkan perakuan 'Muslim Choice' yang boleh disalahertikan sebagai sijil Halal.
  2. Kepada Penguatkuasa Akta Perihal Dagangan 2011: Agar mengambil tindakan tegas dan segera terhadap pihak yang melanggar akta ini bagi melindungi kepentingan pengguna Islam dan mengekalkan integriti pensijilan Halal Malaysia.
  3. Kepada Semua Pengguna Islam: Agar sentiasa berwaspada dan hanya merujuk kepada Logo Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM/MAIN sebagai satu-satunya tanda yang sah dan diyakini.

Kita semua perlu bersatu dalam mempertahankan kredibiliti dan integriti pensijilan Halal di negara ini yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Jangan biarkan sebarang pihak mempersenda dan mempermainkan isu yang menjadi teras kehidupan umat Islam.

“Bersama Kembalikan Hak & Maruah Dengan Bijaksana”

nadzimjohan@toqqi
Ketua Aktivis
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

Thursday, July 24, 2025

WANITA TERJEBAK DENGAN PELACURAN AKIBAT HUTANG - KENYATAAN MEDIA PPIM - 24/07/2025

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bimbang dengan budaya berhutang masyarakat sehingga terjebak kepada jenayah dan perbuatan tidak bermoral.

Setiausaha Kerja PPIM, Zharif Johor berkata pihaknya telah menerima aduan dari kalangan mangsa keberhutangan Ahlong dimana mereka terpaksa menggadai maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutang akibat tekanan.

"Bukan sahaja mangsa terjebak dengan pelacuran, hutang kepada Ahlong juga semakin meningkat," katanya.

Akibat dikenakan bunga yang tinggi, mangsa terus terikat dengan hutang Ahlong dan tidak ada penyelesaian.

"Antara kes terbaru yang PPIM kendalikan adalah kes melibatkan seorang wanita berusia 20an," katanya.

Siti (bukan nama sebenar) bekerja sebagai jurujual di pasaraya dan seperti remaja lain dia mengharapkan masa depan yang baik.

Terperdaya dengan janji manis teman lelaki yang menjanjikan masa depan lebih cerah dan cinta sejati, Siti membuat pinjaman sebanyak RM20,000 Ahlong.

Wanita itu berkata teman lelakinya berjanji wang itu digunakan untuk modal perniagaan.

"Janji tinggal janji, lelaki itu menghilangkan diri selepas mendapat wang dan saya

harus menanggung seluruh hutang itu," katanya.

"Siang saya bekerja sebagai jurujual, malam, saya jadi pelayan di pusat hiburan, semuanya untuk bayar Ahlong. Tetapi duit itu masih tak cukup.”

"Akhirnya saya terjebak dalam dunia gelap, bermula dengan mencari ‘penaja’ di sebuah platform atas talian yang katanya hanya menjadi teman makan malam hakikatnya mahu beli tubuh wanita.”

"Saya dibayar antara RM800 hingga RM1000 untuk satu malam bersama. Dan saya, dalam keadaan terdesak, terpaksa benarkan sahaja," katanya.

Zharif Johor mengingatkan orang ramai hutang Ahlong bukan sekadar angka, ia datang bersama ugutan, bahaya, trauma dan kehancuran diri.

"Kami di PPIM sentiasa menasihati orang ramai untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan apa sahaja bentuk hutang terutamanya Ahlong. Jangan menjerat diri dengan hutang kerana amat sukar untuk mencari jalan keluar. Ramai dari kalangan masyarakat telah menjadi hamba duit kerana hutang yang mereka sendiri cipta." katanya.

Tuesday, July 22, 2025

JANGAN SALAHKAN TANAH SEMATA-MATA – ISU SEBENAR ADALAH PERANCANGAN, TRANSPARENSI DAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA - KENYATAAN MEDIA PPIM - 22/07/2025

Pengumuman hasil siasatan rasmi berkenaan insiden letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini amat mengecewakan bagi ramai pihak. Lebih menjengkelkan ialah bagaimana pengumuman tersebut meletakkan punca kejadian kepada pergerakan tanah, seolah-olah masalah ini berlaku secara semula jadi tanpa sebarang kaitan dengan pembangunan manusia. Tiada penerangan lanjut tentang apa yang menyebabkan tanah itu bergerak. Tiada analisis teknikal yang dikongsikan secara mendalam tentang faktor-faktor sekeliling. Kebertanggungjawaban konkrit daripada pihak-pihak yang kompeten juga tiada diberikan.

Penduduk yang terkesan yang telah melalui saat-saat ngeri dan kehilangan tempat berteduh berhak menuntut penjelasan – bukan sahaja mengenai apa yang berlaku, tetapi juga siapa yang akan bertanggungjawab untuk memulihkan semula kehidupan mereka. Namun, di sebalik pelbagai reaksi terhadap cara siasatan itu diumumkan dan soalan-soalan yang tidak dijawab berkenaan kerja-kerja di sekitar kawasan paip gas, beberapa isu penting nampaknya terus disisihkan dari perbincangan umum.

Antara yang paling membimbangkan ialah bagaimana pembangunan boleh diluluskan dengan begitu hampir kepada kawasan infrastruktur kritikal seperti paip gas, pencawang atau menara elektrik, lebuhraya bertingkat atau landasan LRT. Apakah pertimbangan keselamatan telah diambil kira oleh pihak berkuasa tempatan? Apakah pemaju telah membuat analisis impak jangka panjang? Atau adakah semua proses ini hanya bersandarkan kelulusan teknikal tanpa melihat kepada risiko sebenar terhadap komuniti sekeliling?

Lebih mengecewakan, ramai pembeli rumah mendakwa mereka tidak dimaklumkan langsung tentang kewujudan paip gas ini semasa proses jual beli. Ini bukan perkara remeh. Ini adalah soal hak. Pembeli berhak tahu jika hartanah yang mereka beli terletak bersebelahan dengan infrastruktur berisiko tinggi. Jika perkara asas seperti ini pun tidak didedahkan, bagaimana mereka boleh membuat keputusan yang bijak sebagai pengguna?

Selain itu, timbul pula isu pelaksanaan kerja-kerja pemulihan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengumumkan rancangan untuk membina semula rumah-rumah yang musnah dengan dana kerajaan dan sumbangan daripada pemilik infrastruktur berkenaan. Namun, sudah berbulan-bulan berlalu dan kerja-kerja masih belum berjalan lancar, khususnya di Taman Putra Harmoni. Beberapa kenalan saya yang tinggal di kawasan tersebut meluahkan rasa bimbang terhadap keadaan yang masih tidak menentu. Mereka masih tidak tahu apakah langkah seterusnya, dan komunikasi efektif dengan pihak bertanggungjawab hampir tidak wujud.

Apa yang lebih menghairankan, kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pemulihan ini merupakan kontraktor yang dilantik oleh pemaju asal – iaitu pihak yang sama yang didakwa gagal memaklumkan tentang kehadiran paip gas sejak awal lagi. Kini, pihak pemaju berkenaan telah diberi mandat oleh KPKT, untuk membina semula rumah-rumah mangsa dengan dana yang disebutkan tadi. Malah, ada penduduk yang mengalami kerosakan sepenuhnya kepada rumah mereka, juga mendakwa ada di antara mereka yang dimaklumkan bahawa cuma kerja-kerja pembaikan akan dijalankan ke atas rumah mereka berbanding ‘pembinaan semula’ seperti yang dinyatakan sebelum ini – walaupun struktur rumah mereka sudah jelas musnah.

Ada juga mangsa yang dimaklumkan oleh kontraktor bahawa pendawaian elektrik dalam rumah mereka tidak termasuk dalam skop kerja, dan ada yang dimaklumkan bahawa paip air di dalam rumah akan dipasang secara luaran, di atas lantai – bukan di bawah seperti biasa. Jubin lantai tidak akan dipasang, dan lantai hanya akan disimen dan dicat. Bumbung rumah yang rosak hampir separuh pula hanya akan dibaiki secara separa. Semua ini bukan sahaja menjengkelkan, malah menjatuhkan maruah dan hak mangsa. Lebih menyedihkan, mereka diminta menandatangani ‘surat setuju terima’ yang menggugurkan hak mereka untuk mengambil tindakan undang-undang – walhal butiran kerja pun masih belum jelas.

Dan di tengah-tengah semua kekeliruan ini, ‘tanah’ terus dipersalahkan. Tapi tiada siapa menjawab soalan sebenar – mengapa tanah itu bergerak atau mendap sehinggakan paip gas boleh pecah? Bukankah kawasan itu dulunya mempunyai aliran sungai? Ke mana air itu dialihkan semasa pembangunan projek perumahan? Bagaimana pula dengan sistem saliran dan pembetungan pembangunan perumahan? Semua ini memerlukan siasatan terperinci – bukan diketepikan dengan mempersalahkan gerakan tanah.

Di seberang kawasan perumahan pula, kerja-kerja pembangunan oleh pemaju lot kedai juga seharusnya menimbulkan tanda tanya. Ada laporan tentang ketidaktelusan dalam proses kelulusan dan kebenaran merancang. Namun sehingga kini, tiada penjelasan yang diberikan. Yang pasti, apabila semuanya gagal dijawab, ‘tanah’ dipersalahkan. Begitu mudahnya melarikan diri daripada tanggungjawab sebenar.

Adakah kajian impak alam sekitar, EIA, ada dilakukan di kawasan tersebut?

Kita tidak boleh terus membiarkan perkara ini berlaku. Di sebalik semua laporan teknikal dan permainan salah-menyalah ini, penduduk di kawasan berkenaan telah kehilangan segalanya – rumah, keselamatan, dan keyakinan terhadap sistem. Apakah kita mahu berdiam diri dan membiarkan mereka terkapai-kapai tanpa harapan?

Saya menyeru semua pihak yang terlibat – baik kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemaju, mahupun syarikat pemilik infrastruktur – hentikan permainan persepsi dan mula bertindak. Ini bukan semata-mata soal membaiki rumah, tetapi membina semula kepercayaan rakyat. Tanggungjawab ini bukan boleh dipindah atau dipersalahkan antara satu sama lain. Ini adalah tanggungjawab bersama yang mesti ditunaikan, sekarang – bukan esok.

Thursday, May 22, 2025

ANCAMAN UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA: SEKRETARIAT PEGUAM PPIM BENTUK MAHKAMAH RAKYAT - KENYATAAN MEDIA PPIM - 22/05/2025

Pada 19 Mei 2025, Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) di Geneva secara rasmi meluluskan Perjanjian Pandemik dan pindaan kepada International Health Regulations (IHR). Malaysia, melalui Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menyatakan persetujuan terhadap perjanjian tersebut walaupun terdapat kebimbangan serius terhadap implikasi ke atas kedaulatan negara, hak asasi rakyat, dan kebergantungan kepada kuasa luar.

Susulan itu, Sekretariat Peguam PPIM dan Task Force Rakyat telah menjalankan kajian mendalam dan mengambil langkah undang-undang termasuk memfailkan Semakan Kehakiman serta menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Majlis Peguam, dan DYMM Yang di-Pertuan AgongNotis Rayuan Semakan Kehakiman yang berjaya direkodkan menjadi bukti keruntuhan sistem Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman dalam mempertahankan hak rakyat. Ia menjadi asas pembentukan Mahkamah Rakyat – satu inisiatif rakyat sebagai ‘remedi’ terakhir berlandaskan Prinsip Nuremberg, Statut Rome dan Prinsip Princeton.

Mahkamah ini akan:

  • Berperanan sebagai tribunal rakyat untuk menilai pelanggaran hak pasca-COVID-19 & vaksinasi.
  • Terbuka kepada rakyat Malaysia.
  • Menyediakan platform digital rasmi untuk penghantaran bukti sah.
  • Mengaktifkan semula Kuala Lumpur War Crimes Commission (KLWCC) sebagai Mahkamah Rakyat global.
  • Mengurus kes secara modular seperti isu bioterorisme, transhumanisme, dan pelanggaran ciptaan asal manusia (fitrah), selari dengan amaran agama dalam Surah Ar-Rum ayat 30.

PPIM menyeru rakyat, NGO, peguam, doktor dan masyarakat antarabangsa untuk bersatu menolak penjajahan baharu berselindung di sebalik sains dan kesihatan, termasuk agenda global seperti One Health, Immunization Agenda 2030, dan terapi genetik yang mengubah DNA manusia.

Akhirnya, ini bukan sekadar isu undang-undang — tetapi soal maruah, fitrah dan masa depan umat manusia.

Monday, May 12, 2025

LANTIKAN TOKOH BERPENGALAMAN DALAM INDUSTRI BAKAL SEGERAKAN TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AIR - KENYATAAN MEDIA PPIM - 12/05/2025

Walaupun Malaysia antara negara yang dikurniakan Allah dengan taburan hujan yang banyak, dan mempunyai simpanan air lebih 5 kali ganda dengan paras antarabangsa, namun pengurusan airnya juga mempunyai beberapa cabaran tersendiri.

Umum menyedari bahawa air bersih merupakan komoditi yang amat bernilai namun kian hari berhadapan ancaman daripada aspek ketersediaan akibat kecuaian pengurusan dan pencemaran.

Kemajuan industri dan pemodenan negara telah menimbulkan beberapa masalah alam sekitar yang menjejaskan kualiti dan kuantiti air negara.

Negara juga sedang berhadapan masalah air tidak terhasil (NRW) yang tinggi akibat infrastruktur usang dan kos penggantian dan penyelerenggaraan yang kian meningkat.

Untuk mendepani cabaran-cabaran ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memerlukan satu suntikan kepakaran yang mampu menggalas tugas untuk mengurangkan impak dan memperbaiki bekalan dan kualiti air negara.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik dan menyokong penuh pelantikan Datuk Ir. Abdul Kadir Mohd Din, FASc sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang baharu berkuat kuasa 5 Mei 2025 lalu.

Berdasarkan semakan PPIM, Abdul Kadir merupakan tokoh berpengalaman luas dalam industri perkhidmatan air dan pernah memegang beberapa jawatan strategik dalam organisasi berkaitan. Beliau juga aktif mempromosikan kemajuan industri melalui penglibatan sebagai penceramah, panelis dan moderator dalam pelbagai konvensyen, seminar serta persidangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain itu, beliau turut dikenali sebagai pakar rujuk (subject matter expert) dan telah menyumbang ilmu serta kepakaran beliau kepada beberapa institusi pengajian tinggi tempatan melalui pelantikan sebagai pensyarah jemputan (adjunct lecturer). Ini menunjukkan komitmen beliau dalam memperkasa generasi profesional masa hadapan dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan air.

Antara sumbangan besar beliau termasuk penglibatan secara langsung dalam pembangunan dokumen Pelan Transformasi Air 2040, yang kini menjadi panduan utama dalam merealisasikan pembaharuan menyeluruh sektor air negara.

PPIM juga yakin bahawa selaku seorang profesional, beliau akan memanfaatkan segala pengetahuan dan pengalaman beliau di sepanjang karier beliau sebelum ini untuk memperhebat industri dengan penuh berintegriti. Pengalaman dan pengetahuan mendalam yang dimiliki beliau seharusnya dilihat sebagai nilai tambah yang mampu membantu melonjakkan industri air negara ke tahap yang lebih tinggi.

Berdasarkan kredibiliti dan rekod perkhidmatan beliau yang cemerlang, PPIM percaya bahawa pelantikan ini adalah langkah strategik yang dapat mempercepatkan proses reformasi sektor air — sejajar dengan aspirasi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Langkah melantik tokoh berpengalaman seperti Abdul Kadir juga dilihat selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus melalui pelantikan individu berkelayakan profesional bagi mengetuai agensi-agensi penting negara.

SELAMAT MENJALANKAN AMANAH!

Friday, April 11, 2025

TANGANI ISU PENCEROBOHAN TANAH SECARA BIJAK, BUKAN DENGAN MEMUSNAHKAN HASIL - KENYATAAN MEDIA PPIM - 11/04/2025

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius tindakan pemusnahan pokok durian yang dilaporkan baru-baru ini di kawasan seluas 500 ekar di Raub oleh pihak berkuasa tanah dan hutan. Meskipun tindakan ini berpaksikan undang-undang, PPIM berpandangan bahawa kaedah ini tidak semestinya terbaik dalam menangani isu pencerobohan tanah kerajaan.

PPIM tidak menyokong sebarang bentuk pencerobohan atau penerokaan haram, namun kami percaya pendekatan yang lebih berhemah, berimpak ekonomi dan berpaksikan kemanusiaan wajar dipertimbangkan oleh kerajaan.

Sebagai alternatif kepada tindakan pemusnahan, PPIM mencadangkan:

1. Pewartaan dan Pengambilan Semula Tanah dengan Pendekatan Produktif

      Tanah yang telah diceroboh dan ditanam dengan durian boleh diambil semula oleh   kerajaan dan diwartakan sebagai ladang rasmi. Pengusaha boleh diberikan pajakan     secara sah atau diserap ke dalam koperasi yang diiktiraf, dengan syarat patuh kepada        garis panduan alam sekitar dan pembayaran sewa yang munasabah.

      2. Penggunaan Tanah bagi Latihan dan Rehabilitasi

      Tanah ini boleh dijadikan lokasi pemulihan dan latihan pertanian untuk banduan, belia asnaf, atau golongan B40. Dengan pengurusan yang cekap, hasilnya boleh memberi pulangan kepada negara serta manfaat sosial yang besar.

      3. Penubuhan Koperasi Tempatan atau Usahasama Komuniti

      Jika pengusaha kebun adalah penduduk tempatan atau pekebun kecil, kerajaan boleh bantu menstruktur semula aktiviti ini melalui koperasi sah. Ia bukan sahaja mengelakkan kehilangan hasil, malah memupuk semangat jati diri dan tanggungjawab bersama.

      4. Audit Alam Sekitar dan Pematuhan Undang-undang secara Berperingkat

      Sebarang pemutihan atau penstrukturan semula perlu disusuli audit alam sekitar, pelan pemulihan hutan, dan kawalan ketat bagi mengelakkan pencemaran atau kemusnahan sumber semula jadi.

      Sebagai sebuah NGO yang mewakili suara pengguna Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya, PPIM percaya bahawa kerajaan boleh menjadi lebih bijaksana dalam menyelesaikan isu ini secara menyeluruh — dengan pendekatan yang adil, mampan dan berakhlak.

      Rakyat perlu diyakinkan bahawa undang-undang bukan hanya alat menghukum, tetapi satu sistem yang menjamin keadilan dan manfaat untuk semua.

      Wednesday, February 19, 2025

      PPIM SELAR RAYER - KENYATAAN MEDIA PPIM - 19/02/2025

      Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelar tindakan Ahli Parlimen Jelutong kerana tidak henti-henti mencampuri urusan berkaitan umat Islam di negara ini.

      "Rayer dan beberapa pemimpin DAP acapkali telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakiti umat Islam Negara ini," kata Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi.

      Beliau tidak faham mengapa Rayer terlalu obses untuk mencampuri hal ehwal dan program berkaitan Islam sejak akhir-akhir ini.

      "Adakah mungkin kerana mereka menganggap DAP sebuah parti yang punya suara yang ramai di Dewan Rakyat dan boleh mengeluarkan apa saja kenyataan mencanggahi umat Islam, walaupun mereka maklum bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan?" tambah Toqqi lagi.

      Rayer baru-baru ini telah mengkritik Mufti Perlis kerana menjemput pendakwah Islam terkenal Dr Zakir Naik ke suatu program anjuran Mufti itu.

      Toqqi mencadangkan agar Rayer tetap dengan tugasan hakikinya menjaga kemaslahatan rakyat Jelutong sahaja kerana apa saja isu yang dikeluarkan beliau mengenai isu nasional akan memalukan parti yang diwakilinya.

      "Saya ingin tegaskan kepada Rayer, umat Islam tidak pernah pun mempersoalkan apa jua yang berkaitan orang Hindu, walaupun kita sedar dengan jelas nisbah kuil dan warga Hindu di negara ini adalah jauh lebih banyak dari masjid.

      Itu belum lagi kita bangkitkan isu kuil-kuil yang dicacakkan di tanah-tanah milik orang Melayu," ujar Toqqi.

      Setakat ini kerajaan dilihat sebagai amat longgar dalam mengambil tindakan pihakpihak yang melanggar perlembagaan negara apabila mengkritik agama Islam sebagai agama rasmi.

      Umat Islam negara ini tidak punya sebab untuk bertindak menghina agama lain dan tidak pernah ianya dilakukan oleh orang Islam. Adakah akibat sikap berlembut kerajaan ini bakal menghala ke arah pergaduhan kaum dan agama?

      Menurut Toqqi lagi, jangan sampai kami sebagai NGO Islam bertindak menimbulkan isu-isu berkaitan Hindu pula.

      Friday, February 14, 2025

      PPIM MEMANDANG POSITIF PELANTIKAN ROBERT F. KENNEDY JR. SEBAGAI SETIAUSAHA KESIHATAN DAN PERKHIDMATAN MANUSIA AMERIKA SYARIKAT - KENYATAAN MEDIA PPIM - 14/02/2025

      Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang positif diatas pelantikan Robert F. Kennedy Jr. (RFK Jr.) sebagai Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat. Beliau ialah pejuang kesihatan awam, perlindungan alam sekitar dan hak asasi manusia yang tegas dalam memperjuangkan kebenaran, ketelusan dan autonomi perubatan.

      Beliau juga merupakan pengasas Children’s Health Defense (CHD), sebuah organisasi yang bertujuan melindungi kesihatan kanak-kanak dengan memperjuangkan keselamatan vaksin serta ketelusan dasar kesihatan.

      PPIM melihat pelantikan ini sebagai langkah penting untuk memulihkan etika dan keadilan dalam sistem kesihatan global.  RFK Jr dikenali kerana menentang pengaruh korporat dalam sektor farmaseutikal dan institusi kesihatan antarabangsa, selari dengan misi PPIM yang memperjuangkan hak pengguna dan integriti kesihatan.

      RFK Jr mendukung prinsip kebebasan kesihatan, informed consent dan ketelusan dasar kesihatan.  Beliau menolak dasar kesihatan yang memaksa serta mengkritik konflik kepentingan dalam organisasi seperti WHO.  Usahanya menyeru kepada reformasi sistem kesihatan global demi keadilan dan kebajikan masyarakat mengatasi keuntungan korporat.

      PPIM yakin bahawa pelantikan RFK Jr akan membawa perubahan positif, mengukuhkan integriti kesihatan awam dan melindungi hak rakyat.  Langkah ini juga dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada Amerika Syarikat, tetapi kepada komuniti global, dengan memacu kerjasama antarabangsa dalam isu kesihatan yang kritikal.

      PPIM menyeru semua pihak menyokong usaha RFK Jr untuk mewujudkan sistem kesihatan yang adil, telus dan beretika demi kesejahteraan masyarakat dunia.

      PPIM juga menggesa kerajaan Madani untuk mengkaji semula semua dasar kesihatan Malaysia selari dengan polisi kesihatan baharu Amerika Syarikat yang dilihat lebih telus.

      Kerajaan perlu bertanggungjawab atas kegagalan mempertimbangkan pendapat kedua semasa tempoh lockdown dan program vaksinasi yang lalu. Menolak permohonan perjumpaan daripada persatuan doktor pakar dalam negara serta mengabaikan memorandum kajian lengkap mengenai pandemik telah menyebabkan ramai rakyat menjadi mangsa akibat lockdown dan program eksperimen vaksin.  Menafikan akses kepada ubat-ubatan seperti Ivermectin dan lain-lain adalah satu jenayah. Pihak bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan atas pengabaian ini yang telah menjejaskan kesejahteraan rakyat.

      Friday, January 24, 2025

      US TARIK DIRI DARIPADA WHO: MALAYSIA PERLU MENIMBANG LANGKAH SERUPA - KENYATAAN MEDIA PPIM - 24/01/2025

      Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang positif keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, yang telah menandatangani perintah eksekutif untuk menarik Amerika Syarikat keluar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Langkah ini dilihat sebagai satu tindakan berani dalam mengutamakan kedaulatan negara.

      Seperti yang diketahui umum, Amerika Syarikat merupakan penyumbang terbesar kepada WHO, menyumbang kira-kira 18% daripada keseluruhan dana badan itu. Bajet WHO untuk tahun 2024-2025 dilaporkan berjumlah AS$6.8 bilion (RM27.2 bilion).

      Tindakan Trump ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan beliau pernah mengambil langkah serupa pada tahun 2020 ketika penggal pertamanya sebagai Presiden.

      Masa yang tepat untuk mengkaji semula atau mengubah Dasar Kesihatan Awam Negara.

      1.   Penilaian semula terhadap tumpuan kepada rawatan alopatik/Barat: 

      Pendekatan kesihatan yang berasaskan rawatan alopatik atau perubatan Barat (WHO), yang menentukan penyakit dan rawatan berdasarkan tanda-tanda penyakit melalui penggunaan dadah sintetik, antibiotik dan vaksin, perlu dikaji semula.

      2.   Pengalaman pandemik COVID-19 sebagai pengajaran:

      Pandemik COVID-19 yang terbukti melibatkan elemen penipuan, penyelewengan, dan kecuaian perubatan memerlukan:

            2.1.   Penubuhan Jawatankuasa Bertindak dan Siasatan Khas Rakyat yang bebas dan berkecuali untuk menyiasat:

           2.1.1.     Penyalahgunaan kuasa, ketirisan, dan rasuah dalam penggunaan dana rakyat oleh KKM, NPRA, serta semua agensi kesihatan Malaysia dengan kerjasama industri alopatik dan farmasi.

             2.1.2.     Pelanggaran hak asasi rakyat di bawah Akta 342 dan pindaan kepada akta tersebut.

            2.1.3.     Penggunaan vaksin, sama ada melalui kaedah konvensional atau teknologi mRNA, dan lain-lain. 

      3.    Penghentian penggunaan vaksin serta-merta: 

             3.1. Penggunaan vaksin perlu diberhentikan serta-merta.

           3.2. Mandatori vaksin di bawah Skim Perlindungan Sisa Perubatan (SSPA) perlu dibatalkan.

            3.3. Semua kes kematian dan kecederaan akibat suntikan vaksin COVID-19 mesti dinilai, dan pampasan sewajarnya perlu diberikan.

            3.4. Semua rakyat Malaysia yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 perlu menjalani ujian imuniti, dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. 

      4.   Malaysia perlu keluar daripada keanggotaan WHO:

      Seperti yang diputuskan oleh pentadbiran baharu Amerika Syarikat di bawah Donald Trump melalui Perintah Eksekutif, Malaysia juga wajar mempertimbangkan langkah untuk keluar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Selain itu, tindakan undang-undang melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa perlu diambil terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab. 

      Kami menyeru Kerajaan Malaysia menarik keanggotaan dalam WHO demi memastikan kedaulatan negara terjamin, terutama dalam dasar Kesihatan Negara yang lebih telus bebas daripada pengaruh luar.

      Kami percaya Malaysia mampu mengorak langkah untuk membina sistem kesihatan kendiri yang lebih berdaya tahan dan bebas di masa hadapan.

      Thursday, October 31, 2024

      ISU KIBAR BENDERA, PPIM GESA SIASATAN TELUS DAN TINDAKAN TEGAS YANG ADIL - KENYATAAN MEDIA PPIM - 31/10/2024

      Belum reda isu bendera China dikibarkan di Perak, timbul pula kes baharu lagi bendera asing dikibarkan kali ini di Johor pula.

      Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa bertegas dalam isu kibar bendera negara asing di tempat awam yang tular baru-baru ini.

      Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata pihaknya amat kesal perkara itu boleh berlaku di negara ini dan meminta tindakan tegas pihak berkuasa menanganinya sebelum perkara ini di luar kawalan.

      "PPIM sentiasa menghormati dan menyokong tugas pihak berkuasa namun, dalam isu ini (kibar bendera asing) kita tidak boleh berkompromi.

      "Apa yang kami bimbang adalah tindakan di luar jangkaan oleh orang awam yang mungkin menyebabkan ketegangan dalam negara ini" tegasnya.

      Pada 24 Oktober lalu, tular di media sosial satu perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mempamerkan bendera China di tempat awam menimbulkan rasa tidak senang dikalangan rakyat tempatan.

      Perarakan berunsurkan keagamaan itu membabitkan kereta berhias telah berlangsung dari jam 8 malam hingga jam 11.30 malam 24 Oktober lepas dan disertai kira-kira 400 penonton.

      Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata penganjur acara itu melanggar syarat permit yang diluluskan pada 2 Oktober lalu.

      Azizi berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perarakan tanpa permit polis dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

      Terbaru, media melaporkan Pesta Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa Malaysia yang berlangsung di Johor turut disertai delegasi dari China, Vietnam, Thailand, Filipina, Hong Kong, Singapura dan Indonesia.

      Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee merupakan salah seorang peserta yang menghadiri perarakan tersebut.

      PPIM berpendapat mereka sepatutnya turut disiasat dibawah akta hasutan kerana perbuatan penganjur dan peserta itu bukan sahaja menghina negara namun menghasut orang lain untuk melakukan perkara yang sama.

      PPIM juga berharap agar Menteri dan Menteri Besar negeri-negeri terbabit mengeluarkan kenyataan-kenyataan bijak yang berdasarkan fakta dan akta dan bukan yang berbentuk bacul dalam kemelut yang berkaitan dengan kedaulatan Negara ini, tambah Toqqi lagi.

      Sebelum ini, polis Perak turut mengesahkan telah membuka kertas siasatan perhimpunan kibar Jalur Gemilang yang disertai lebih 300 individu di Dataran Menara Condong Teluk Intan, kerana tiada notis dihantar penganjur bagi acara itu.

      PPIM berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencabar kedaulatan Malaysia.

      Saturday, October 12, 2024

      TIDAK ADA KEPERLUAN PINDAAN RUU 342 - PPIM - KENYATAAN MEDIA PPIM - 12/10/2024

      KUALA LUMPUR -- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mewakili pengguna tidak menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024.

      Bantahan ini berasaskan kebimbangan terhadap hak asasi dan potensi penyalahgunaan kuasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

      PPIM berpendapat undang-undang perlu bersifat mendidik, bukan menghukum.

      Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata, ini adalah percubaan kedua untuk meminda undang-undang ini selepas ia ditarik balik pada Mac 2022 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

      "Antara Pindaan Utama yang dilihat sangat tidak relevan ialah berkaitan kuasa pegawai. Menurut Seksyen 14A; klausa itu memberi kuasa kepada pegawai untuk menggunakan kekerasan bagi memastikan perintahnya dipatuhi walaupun hanya dengan syak sahaja," katanya.

      PPIM mendapati seksyen baharu 15A pula memberi kuasa kepada pegawai untuk memerintahkan individu yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti, serta kontak rapat, untuk memakai atau menggunakan peranti pengesanan.

      "Perkara ini jelas melanggar hak asasi seseorang," katanya.

      PPIM melihat ia meningkatkan kuasa dan autoriti serta memberi kuasa penuh (absolute power) kepada Ketua Pengarah Kesihatan.

      Selain itu, denda maksimum untuk individu yang melanggar undang-undang ini meningkat dari RM1,000 kepada RM5,000.

      PPIM berpendapat perubahan pada kompaun dan penalti itu tinggi membebankan rakyat.

      "Langkah punitif mungkin memberi kesan tidak seimbang kepada golongan rentan bawahan, terutama dari latar belakang sosioekonomi rendah.

      "Selain itu RUU ini akan membuka risiko penyalahgunaan kuasa yang luas kepada Ketua Pengarah KKM dan mungkin membuka ruang untuk rasuah," katanya

      Pindaan kepada Akta 342 dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 15-18 Julai 2024 oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkifly Ahmad.

      Sebelum ini, Pindaan RUU ini pernah dibantah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau ketua pembangkang.

      Anwar berpendapat pindaan tersebut berpotensi menyalahgunakan kuasa, terutama dalam aspek penguatkuasaan yang terlalu keras.

      Selain itu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sendiri pernah menzahirkan kebimbangan mengenai kuasa yang terlalu besar diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan pegawai-pegawai penguatkuasa.

      Beliau menegaskan perlunya keseimbangan dalam penguatkuasaan undang-undang dan menolak pendekatan yang terlalu punitif.

      PERJUANGAN KAMI

      PERJUANGAN KAMI

      ARKIB ARTIKEL