Showing posts with label ONLINE. Show all posts
Showing posts with label ONLINE. Show all posts

Tuesday, September 15, 2026

SAMAN PLATFORM MEDIA SOSIAL JUAL VAPE DADAH, KATA AKTIVIS - FREE MALAYSIA TODAY - 14/09/2026

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan seorang aktivis menggesa supaya saman difailkan terhadap platform media sosial kerana memudahkan penjualan vape yang dicampur dadah secara dalam talian kepada golongan bawah umur.

Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan dan pempengaruh media sosial Ariz Ramli, yang lebih dikenali sebagai Caprice, berkata gergasi teknologi ini mesti dipertanggungjawabkan atas penjualan berleluasa vape dadah, atau dikenali sebagai ‘piu-piu’.

Mereka merujuk kepada saman yang difailkan oleh 29 negeri di Amerika Syarikat terhadap Meta berhubung ciri-ciri di Facebook dan Instagram yang memudaratkan kanak-kanak, yang akhirnya membawa kepada syarikat teknologi itu membuat penyelesaian bernilai USD18 bilion.

Nadzim dan Caprice mendakwa platform media sosial hanya ‘menunggu aduan pengguna’ berhubung penjualan vape tersebut di negara ini dan bukannya mengambil langkah proaktif.

Mereka menambah usaha membanteras perdagangan dadah memerlukan kerjasama seluruh masyarakat dan bukannya bergantung semata-mata kepada agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Kesihatan atau polis.

Sehubungan itu, mereka berkata saman boleh difailkan oleh orang awam, NGO dan juga agensi kerajaan.

Mereka turut menuntut platform media sosial menggunakan algoritma AI mereka yang canggih untuk mengesan dan menyekat penjualan dadah dengan pantas, sama seperti mereka menapis bahan hak cipta atau ucapan sensitif.

Kemunculan ‘piu-piu’ telah mendorong kepada gesaan baharu supaya peranti tersebut diharamkan di Malaysia.

Dalam tempoh empat bulan pertama 2026, polis merekodkan 402 kes vape dadah, dengan dadah sintetik seperti benzodiazepine, nimetazepam, MDMA, kanabinoid, tetrahydrocannabinol dan methamphetamine dikesan.

Artikel oleh: Free Malaysia Today

SAMAN PLATFORM MEDIA SOSIAL JUAL VAPE DADAH, KATA AKTIVIS

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2026/09/14/saman-platform-media-sosial-jual-vape-dadah-kata-aktivis

PENGEDAR GUNA 'LINGO' RAHSIA JUAL DADAH ONLINE - CAPRICE - SINAR HARIAN - 14/09/2026

KUALA LUMPUR - Penggunaan kod khas atau 'lingo' tertentu kini menjadi trend dalam usaha mengelabui pihak berkuasa bagi urusan penjualan dadah secara dalam talian di pelbagai platform media sosial.

Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata, pengedar dadah kini semakin bijak dengan kerap menukar istilah serta kod rahsia bagi mengelak dikesan atau disekat pihak pentadbir platform.

Menurutnya, pada peringkat awal, istilah tertentu seperti 'Pui Pui' digunakan sebagai kod bagi merujuk kepada sejenis 'dadah zombi', namun kod berkenaan sentiasa berubah mengikut peredaran masa sebaik sahaja ia mula dikesan.

"Dulu zaman kelab malam, pengguna tidak akan sebut nama dadah secara terbuka seperti ecstasy, sebaliknya menggunakan ayat atau istilah tertentu. Perkara sama berlaku sekarang dalam talian.

"Penjual dadah ini sangat bijak. Apabila sesuatu ayat atau kod disekat, mereka akan cipta ayat baharu.

"Oleh itu, pentadbir platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook perlu lebih peka dan bertanggungjawab menyekat kod-kod baharu ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) & Caprice bertajuk 'Jual Dadah Online, Perlu Tunggu Aduan Baru Bertindak?' yang berlangsung di Sembang-Sembang Cafe, Villa Puteri Condominium, Jalan Tun Ismail, di sini pada Isnin.

Hadir sama dalam wawancara khas itu ialah Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Sementara itu, Caprice berkata, antara cabaran utama dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja bawah umur ialah sikap sesetengah ibu bapa dan pihak sekolah yang enggan tampil membuat aduan kerana bimbang akan aib serta menjaga reputasi.

Jelasnya, keadaan itu mewujudkan satu kitaran negatif apabila ibu bapa malu untuk mengakui anak mereka terlibat dengan dadah, manakala pihak sekolah pula bimbang nama baik institusi terjejas.

"Kanak-kanak bawah 18 tahun adalah tanggungjawab penuh ibu bapa. Namun, sukar untuk meyakinkan keluarga mangsa tampil ke depan atau membawa anak mereka ke balai polis kerana isu ini dianggap 'taboo'.

"Mereka bimbang anak mereka akan dikenakan tindakan undang-undang atau dihantar ke pusat pemulihan.

"Kebanyakan aduan yang diterima oleh pihak kami bukanlah secara terus daripada ibu bapa, sebaliknya daripada rakan-rakan atau saudara-mara yang melihat mangsa menjadi 'zombi' di sekolah," katanya.

Mengulas penyelesaian utama, Caprice berpendapat, beban dan tanggungjawab tidak harus diletakkan sewenang-wenangnya ke atas bahu ibu bapa atau agensi penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya penyekatan perlu dilakukan terus di peringkat saluran atau platform.

Agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mahupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bergerak sekiranya ada aduan," katanya.

Namun, menurutnya, dengan teknologi yang semakin canggih, platform media sosial itu sendiri yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

"Jika platform boleh mengesan dan menyekat kata kunci berkaitan hal-hal lain, mereka sepatutnya mempunyai keupayaan untuk mengesan pengedar dadah secara dalam talian.

"Sekiranya saluran utama disekat, pengguna akhir tidak akan dapat mengaksesnya," tegas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menganggarkan menerima sekitar 30 hingga 40 aduan secara purata pada setiap bulan berkaitan pelbagai isu masyarakat, termasuk kes di kawasan Perumahan Rakyat (PPR) dan lokasi tertentu.

Bagaimanapun, katanya, aduan berkenaan tidak berfokus khusus kepada penjualan dadah dalam talian sahaja.

Caprice dan PPIM menyeru masyarakat serta keluarga yang terkesan dengan isu dadah supaya bersatu dan menyalurkan maklumat bagi membolehkan tindakan diambil terus terhadap platform terbabit sebagai langkah pencegahan.

Artikel oleh: Sinar Harian

PENGEDAR GUNA 'LINGO' RAHSIA JUAL DADAH ONLINE - CAPRICE

https://www.sinarharian.com.my/article/796285/berita/semasa/pengedar-guna-lingo-rahsia-jual-dadah-online---caprice

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL