Friday, May 19, 2023

GANGGUAN PERKHIDMATAN DI PLAZA TOL HARUS DITANGANI SEGERA - PPIM - KENYATAAN MEDIA PPIM - 19/05/2023

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu pihak kerajaan memandang serius kegagalan sistem bayaran tol lebuhraya utama negara ini.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan @ Toqqi berkata, gangguan perkhidmatan seperti yang berlaku Rabu lepas merugikan pengguna jalan raya.

"Bukan sahaja sistem yang dipaksa pengguna beli tidak stabil dan sering rosak, malah ia merugikan pengguna dari segi wang ringgit dan masa kerana tersangkut dalam kesesakan jalan raya yang teruk," katanya.

Pihak pembekal perkhidmatan ini harus ingat bahawa pengguna terpaksa mengeluarkan wang dahulu sebelum perkhidmatan itu digunapakai dengan kaedah tambah nilai yang tidak langsung menawarkan apa bentuk manfaat pun kepada pengguna.

Nadzim menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penyedia perkhidmatan dan mencari penyelesaian alternatif segera bagi mengurangkan beban kepada pengguna.

"Kita perlu ada perancangan pelbagai lapisan, jangka pendek, jangka panjang perancangan menangani krisis, jangan tunggu dah terhantuk baru nak terngadah," katanya.

Pada Rabu, Touch 'n Go eWallet mengalami gangguan yang telah melumpuhkan semua fungsi, termasuk pembayaran dan tambah nilai kad NFC.

Pengguna melaporkan bahawa mereka akan log keluar secara automatik apabila membuka aplikasi.

Gangguan itu juga telah menjejaskan pengguna lebuh raya.

Lorong RFID di plaza tol di Penchala Link dan Kerinchi Link juga ditutup susulan gangguan rangkaian yang berasingan yang dialami oleh pengendali lebuh raya Litrak.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...