Monday, May 15, 2023

JAKIM PERLU KEMUKA ALASAN TFI DAPAT SEMULA SIJIL HALAL - UTUSAN MALAYSIA - 14/05/2023

 

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu bersikap terbuka dan telus dalam mendedahkan laporan audit melibatkan Thomas Food International (TFI) di Lobethal, Australia selepas rumah sembelihan haiwan itu menerima semula pensijilan halal mereka dan dibenarkan mengeksport daging ke Malaysia.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor berkata, keputusan Jakim itu bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menimbulkan persoalan yang dilihat mudah menarik balik penggantungan walaupun tidak sampai setahun tindakan itu dikenakan selepas menimbulkan kontroversi apabila prosedur penyembelihannya didakwa tidak mengikut syariat Islam.

“Isu ini telah menjadi isu nasional dan kepentingan awam, mengapa ia tidak didedahkan dan dijadikan dokumen awam, bagi memastikan rakyat dapat melihat sendiri melalui pembacaan bagaimana proses audit dijalankan.

“Jakim perlu bersikap terbuka apabila ia melibatkan isu kepentingan awam,” katanya di sini semalam.

JPV kelmarin mengesahkan penarikan balik penggantungan kelulusan eksport TFI selepas selesai melakukan proses pengauditan yang ketat di semua rumah sembelihan di negara itu pada tahun lalu.

TFI sebelum ini dibatalkan kelulusan kebenaran eksport oleh JPV dan Jakim pada14 Mei tahun lalu selepas Utusan Malaysia mendedahkan isu ketidakpatuhan prosedur halal rumah sembelihan itu.

FAIZAN MOHD. NOR

Dalam pada itu, Faizan berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri untuk terus membongkar isu penyembelihan halal diselia badan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.

Katanya, isu penyembelihan tidak mematuhi prosedur halal yang didedahkan Pekemas sebelum ini membuka mata rakyat Malaysia betapa longgarnya pematuhan halal apabila melibatkan pusat penyembelihan luar negara.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Jakim perlu menghebah dan menjelaskan alasan kelulusan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan rakyat lebih yakin dengan status sijil halal yang diberikan kepada syarikat tersebut.

“Jakim perlu menerangkan apa yang berlaku walaupun akan timbul pelbagai reaksi dari rakyat, sama ada yang setuju atau tidak setuju.

"Persoalannya, adakah wujud kaedah baharu? Apakah kaedah yang diperbetul dan apa yang membuat Jakim mempersetujui sijil halal yang diberikan semula kepada syarikat tersebut,” katanya ketika dihubungi.


Nadzim berkata, Jakim juga perlu mengambil inisiatif meletakkan syarat dan kaedah baharu kepada syarikat tersebut bagi memastikan keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap integriti jabatan berkenaan.

“Sebagai contoh, Jakim boleh melantik pihak yang berautoriti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sentiasa ada di rumah penyembelihan dan dengan teknologi kini mungkin boleh memasang kamera yang disambungkan terus kepada Jakim,” katanya. – UTUSAN 


Artikel oleh: Utusan Malaysia

JAKIM PERLU KEMUKA ALASAN TFI DAPAT SEMULA SIJIL HALAL

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/05/jakim-perlu-kemuka-alasan-tfi-dapat-semula-sijil-halal/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...