Friday, May 19, 2023

KENAIKAN OPR: PENTING GOLONGAN PEMINJAM TAHU PENGURUSAN KEWANGAN - HARIAN METRO - 18/05/2023

 

Kuala Lumpur: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menyebabkan orang ramai terpaksa mengambil langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan.

Tinjauan mendapati ramai terpaksa mengurangkan simpanan dan berbelanja mengikut keperluan penting saja.

Kakitangan swasta, Nurul Shania Jamali, 25, berkata, walaupun mempunyai pendapatan tetap namun kenaikan OPR turut menjejaskan pendapatan bulanannya.

"Saya mempunyai dua jenis hutang. Untuk saya yang baru beberapa tahun bekerja sudah tentu kenaikan OPR sedikit sebanyak memberi kesan.

"Hutang tetap perlu dibayar jadi inisiatif lain yang terpaksa saya lakukan ialah berjimat-cermat dalam berbelanja," katanya.

Menurutnya, pemahaman yang kukuh mengenai pengurusan kewangan penting untuk mengelak terjebak dalam masalah kewangan di usia muda.

Seorang lagi kakitangan swasta, Muhammad Syahmi Mat Said, 26, berkata, kenaikan OPR buat kali kelima membuatkan kestabilan kewangannya merosot.

"Saya baru beli rumah dan baru tinggal di situ pada bulan lalu. Pada setiap bulan saya perlu bayar dan jumlah itu semakin meningkat mengikut kadar kenaikan OPR.

"Saya membuat keputusan membeli rumah kerana berfikir harga rumah yang semakin tinggi jika tunggu lebih lama harga akan semakin naik.

"Meskipun kadar OPR naik namun sangat penting untuk golongan muda sentiasa bayar hutang untuk memastikan rekod kewangan cantik," katanya.

Menurutnya, semasa bercadang membeli rumah, dia berusaha untuk mencari bank yang menawarkan kadar paling rendah tetapi tidak boleh elak dengan kenaikan OPR.

"Saya dan pasangan terpaksa mengurangkan simpanan lain dan berbelanja mengikut keperluan saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Nur Hafizah Mohammad Ismail berkata, penting untuk golongan muda mempunyai pengetahuan mengenai OPR.

"Golongan muda perlu punyai ilmu pengetahuan yang cukup mengenai pengurusan kewangan terutama yang membuat pinjaman.

"Apabila OPR dinaikkan kadar faedah bank juga dinaikkan. Bila perkara ini berlaku akan jadi dua situasi. Pertama, tempoh bayaran pinjaman meningkat jika peminjam pilih mengekalkan jumlah ansuran bulanan yang sama.

"Kedua, mereka boleh juga memilih mengekalkan tempoh bayaran tetapi akan berlaku peningkatan kepada ansuran bulanan," katanya.

Menurutnya, golongan muda mempunyai ilmu pengetahuan yang terhad mengenai pengurusan kewangan akan berbelanja kepada perkara bukan keperluan kerana ingin mengikuti gaya hidup terkini.

"Mereka perlu membuat perancangan berhemah untuk memastikan mereka berupaya membayar semula pinjaman itu sekiranya berlaku peningkatan OPR.

"Jenis pinjaman sangat penting sama ada Islamik atau konvesional kerana terdapat perbezaan antara keduanya.

"Terdapat perbezaan dari konsep untung dan faedah iaitu dari sudut rangka kandungan dan konteks.

"Jadi golongan muda yang baru membuat pinjaman sebaiknya mengetahui dan membuat pilihan yang tepat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, agak sukar untuk golongan muda mengelak daripada berhutang.

"Agak susah golongan muda tidak mengambil hutang kerana mereka tidak dilatih dengan pengurusan wang dengan betul.

"Malangnya dalam sistem pendidikan kita, orang muda tidak didik menguruskan dan memahami isu kewangan dengan betul sejak awal.

"Perkara ini perlu diubah dengan segera jika tidak isu ini akan berlarutan dan tidak akan selesai," katanya.

Beliau berkata, keluarga memainkan peranan penting untuk mengubah budaya dan gaya hidup anak-anak.

"Setiap orang perlu berusaha mendidik anak-anak memahami apa yang perlu dilakukan.

"Mereka tidak tahu kerana tidak diajar dan jika gagal dididik mereka tidak akan tahu cara berjimat cermat.

"Jika hendak membuat pinjaman golongan muda perlu membuat semakan atau bertanya rakan-rakan," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

KENAIKAN OPR: PENTING GOLONGAN PEMINJAM TAHU PENGURUSAN KEWANGAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/05/968268/kenaikan-opr-penting-golongan-peminjam-tahu-pengurusan-kewangan

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...