PETALING JAYA: Semua pihak perlu mendesak kerajaan India menghentikan pembunuhan terancang besar-besaran ke atas etnik minoriti Islam yang kini berlaku di negara itu.Malah, pihak berkuasa negara ini turut digesa menyiasat hubung kait kumpulan pelampau agama di India yang ekstremis dengan beberapa individu serta organisasi yang bertapak di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, keganasan yang dilakukan pelampau agama di India ke atas umat Islam negara itu kini semakin parah apabila kerajaan India didakwa turut bersekongkol dalam kempen pembunuhan terhadap umat Islam di sana.
Malah, beliau menyatakan kekhuatiran ideologi pelampau agama di negara itu dipercayai dieskport dan berkembang biak di negara ini melalui individu mahupun organisasi tertentu.
“Kita tidak mahu gerakan ekstrem ini berakar umbi di tanah air. Sebelum ini komuniti antarabangsa sering meletakkan label buruk terhadap Islam sebagai ekstremis dan pengganas. Tapi, di manakah suara yang mengkritik pengganas dan ekstremis agama di India yang kini membunuh umat Islam negara itu,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian dalam program Sidang Tergempar NGO Islam berhubung penindasan umat Islam India, yang turut disertai Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Pertubuhan Sufi Antarabangsa, wakil Dewan Perniagaan Malaysia-Pakistan (MBPC) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) serta Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM).
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, memang terdapat rangkaian pengganas dan ekstremis di India dengan pihak tertentu di Malaysia, dibuktikan melalui kes rampasan beribu-ribu pucuk mesingan dan senjata api yang diseludup ke Pulau Pinang melalui kontena kapal.
Pada 1990, katanya, polis telah memintas dan merampas sebuah kapal dipenuhi ribuan senjata api di negara ini.
“Senjata api ini diseludup oleh pengganas militan Tamil Eelam (LTTE) ke negara, tapi menggunakan rangkaian di Malaysia sebagai transit pengumpulannya. Senjata yang dirampas termasuk dari jenis mesingan berat,” katanya.
Mengulas rampasan itu, Nadzim berkata, ia isyarat bahawa Malaysia berada dalam radar kumpulan pengganas dan ekstremis agama dari India yang menjadikan Malaysia sebagai transit mengedarkan senjata api.
“Justeru, pihak polis perlu benar-benar serius menyiasat dan memintas sebarang rangkaian dari pengganas dan pelampau agama di India ini yang menggunakan wakil tempatan di tanah air,” katanya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
SEMUA PIHAK PERLU DESAK KERAJAAN INDIA HENTI KEGANASAN TERHADAP UMAT ISLAM
https://www.utusan.com.my/nasional/2023/05/desak-kerajaan-india-henti-bunuh-umat-islam/
No comments:
Post a Comment