Tuesday, May 16, 2023

PPIM NAFI MINTA MOTAC PERTIMBANG TINDAKAN TERHADAP AGENSI UMRAH - KENYATAAN MEDIA PPIM - 16/05/2023

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2023 -- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan kenyataan seorang Pegawai Tugas Khas persatuan itu yang meminta Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC) mempertimbangkan semula tindakan undang-undang terhadap mana-mana agensi umrah dan pelancongan susulan krisis yang berlaku dalam industri pelancongan.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata pihaknya tidak tahu menahu mengenai sidang media atau kenyataan yang dikeluarkan Pegawai Tugas-Tugas Khas PPIM, Harik Fauzi.

"Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara ini kerana PPIM masih meneliti maklumat kes dan mengikuti siasatan yang dilakukan MOTAC," katanya.

Susulan kenyataan Harik itu, PPIM mengambil tindakan menggantung tugas beliau berkuat kuasa serta-merta.

"Di PPIM kami memandang serius tindakan yang boleh menggugat perjalanan kes melibatkan pengguna khususnya apabila pengguna mengalami kerugian dan rasa ditipu oleh pemain industri," katanya.

Tambah Nadzim, jawatankuasa PPIM telah mengambil tindakan menggantung jawatan Pegawai Tugas-Tugas Khas PPIM, Harik Fauzi diatas perbuatan beliau melaksanakan beberapa tindakan yang bercanggah dengan keputusan jawatan kuasa PPIM.

"Harik Fauzi didapati melanggar etika dengan bertindak mewakili PPIM serta memberi kenyataan mewakili PPIM tanpa kebenaran dalam isu agensi umrah yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga mengakibatkan ribuan jemaah umrah terkandas.

"PPIM masih memantau agensi umrah/haji tersebut dan masih belum berpuas hati untuk memberi sokongan kepada mereka sebaliknya masih mendesak agak diselesaikan segala aduan yang dilaporkan," katanya.

Semalam, media melaporkan PPIM meminta jemaah umrah yang terlibat dengan kejadian terkandas akibat kegagalan pihak Emraz Travel menguruskan visa dan tiket penerbangan mereka.

Harik dilaporkan meminta jemaah umrah terlibat memikirkan pelbagai sudut sebelum mereka membuat aduan kepada pihak berwajib.

Malah menurut Pegawai Khas Ketua Aktivisnya, Harik Fauzi, banyak faktor terlibat dan menjejaskan teruk operasi agensi pengembaraan tempatan termasuk kes dialami Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. ekoran isu penjadualan semula tarikh penerbangan ke tanah suci.

PPIM menegaskan kenyataan Harik itu tidak mewakili persatuan pengguna itu dan PPIM tidak memihak kepada mana-mana pihak yang menganiaya pengguna.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...