Wednesday, May 3, 2023

LAKSANA DASAR PINJAMAN ALA-RAHMAH BANTU RAKYAT - PPIM - SINAR HARIAN - 03/05/2023

 

SHAH ALAM - Kerajaan diminta untuk melaksanakan dasar yang mendorong bank untuk 'berlembut' atau bertimbang rasa dalam memberi ruang kepada rakyat membayar pinjaman dan hutang mereka.

Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Izham Nayan berkata, tekanan dari pihak bank yang disifatkan tidak berperikemanusiaan menyebabkan ramai peminjam tersepit hingga ada menggadaikan aset kerana tidak mampu melangsaikan hutang dalam tempoh diberikan.

Ujarnya, kerajaan perlu memandang serius kebajikan rakyat khususnya membabitkan urusan bank.

"Sebagai pengguna apa sahaja barang berkualiti dijual dengan harga berpatutan amat dialu-alukan kerana memberikan kebaikan kepada rakyat, asalkan ia tidak menzalimi peniaga.

"Menu Rahmah ini kalau boleh kita panjangkan kepada servis yang lain seperti pengangkutan, telefon. Ini kerana aduan yang diterima bukan sahaja disebabkan kesusahan kerana mencari pendapatan tetapi ada juga akibat daripada tekanan pihak ketiga iaitu bank.

"Bank tidak mengira Menu Rahmah ke atau dasar lain sekalipun, mereka tidak peduli langsung apa dasar yang kita (kerajaan) buat. Yang paling menggoreskan hati, bank bersifat tidak perikemanusiaan, dapat keuntungan berganda-ganda tetapi mengenakan riba yang tinggi," katanya.

Izham (kanan) bersama Zahir (dua dari kiri) dan Dr Rosni semasa menjadi panelis pada Wacana Sinar bertajuk Sara Hidup: Rakyat Masih Tersepit? yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa. Turut menampilkan Ismail (kiri) sebagai moderator.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar bertajuk ‘Sara Hidup: Rakyat Masih Tersepit? yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Dr Rosni Adam manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Tambah Izham, kerajaan perlu meneliti masalah dihadapi rakyat kerana sebarang bantuan atau Menu Rahmah berkenaan tidak membawa sebarang erti kerana mereka masih dalam keadaan tertekan.

"Kita harap kerajaan sekarang juga dapat memberi arahan yang menjurus kepada penyelesaian kepada masalah rakyat tertekan terutama dasar-dasar tidak dipedulikan ini," ujarnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

LAKSANA DASAR PINJAMAN ALA-RAHMAH BANTU RAKYAT - PPIM

https://www.sinarharian.com.my/article/255803/berita/nasional/laksana-dasar-pinjaman-ala-rahmah-bantu-rakyat---ppim

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL