Monday, May 15, 2023

PPIM GESA KERAJAAN RANGKA UNDANG-UNDANG MEMBABITKAN PINJAMAN - UMMAH TODAY - 12/05/2023


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru kerajaan untuk merangka undang-undang yang berkaitan dengan pinjaman daripada bank dan syarikat luar.

Tindakan ini diperlukan kerana terdapat penipuan yang dilakukan terhadap pengguna untuk menarik kereta yang memiliki pembayaran tertunggak.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau lebih mesra dengan panggilan Toqqi menyatakan bahawa mereka telah menerima pelbagai aduan daripada pengguna mengenai penarikan kereta oleh syarikat yang menawarkan pinjaman untuk pembelian kereta.

Beliau mengungkapkan kebimbangan tentang kekurangan ketelusan mengenai prosedur undang-undang yang diikuti oleh syarikat-syarikat tersebut ketika menarik semula kenderaan.

“Apabila kenderaan akan ditahan, pengadu menerima notis lelong. Ini bermakna jika pinjaman tidak dilangsaikan, pengadu tidak dapat mengambil semula kenderaan mereka”.

“Ada pengadu yang menerima notis lelong yang menyatakan bahawa jika baki pinjaman kereta sebanyak RM150,000 tidak diselesaikan, kenderaan ini akan dilelong pada tarikh tertentu”.

“Persoalannya, proses undang-undang mana yang mereka ikuti sehingga tindakan penarikan dan lelongan ini dilakukan?“, ujar Toqqi dalam sidang media Majlis Silaturrahim Aidilfitri PPIM di Kompleks Sukan Datuk Keramat, Jalan Datuk Keramat pada Khamis.

Puan Marina Sulaiman, dua dari kiri bersama Datuk Nadzim Johan.


Brother Vince Focarelli bergambar bersama tetamu

Toqqi menyatakan bahawa kes penarikan kereta ini adalah zalim kerana tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Mengikut prosedur yang sebenar, notis lelong akan diberikan terlebih dahulu jika dalam tempoh dua bulan 21 hari tidak ada tindakan daripada peminjam, baru kenderaan tersebut akan ditahan dan dilelong“.

“Ini sangat zalim kepada peminjam yang sedang menghadapi kesukaran. Mereka akan menunggu sehingga saat-saat terakhir sebelum membayar pinjaman kerana mereka tidak mempunyai wang,” katanya.

Beliau menekankan bahawa kerajaan perlu memahami kesukaran yang dihadapi oleh rakyat hari ini.

Oleh itu, mereka perlu memeriksa dengan teliti bagaimana undang-undang mengenai pinjaman daripada bank dan syarikat luar boleh dilaksanakan untuk mengelakkan rakyat dari penipuan.

Selain itu, Toqqi juga mencadangkan agar kerajaan menjalankan kajian sebelum melaksanakan cadangan untuk meningkatkan sumbangan majikan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 20%.

“Kajian perlu dijalankan terlebih dahulu. Kita tidak mahu berlaku kesan buruk seperti majikan terpaksa menghentikan pekerja tempatan dan mengambil pekerja asing sebagai alternatif kerana tidak mampu memberikan sumbangan 20%,” katanya.


Artikel oleh: Ummah Today

PPIM GESA KERAJAAN RANGKA UNDANG-UNDANG MEMBABITKAN PINJAMAN

https://www.ummahtoday.com.my/ppim-gesa-kerajaan-rangka-undang-undang-membabitkan-pinjaman/?fbclid=IwAR0emF8ZrTlmNkOdeP4r1OKMEywk13Dg5kBPHxgqTAE9JYBMTxLeSbZ0MnM

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...