Wednesday, May 17, 2023

NEGERI PERLU WARTA KEBENARAN GUNA PEMBESAR SUARA LUAR SURAU, MASJID - SINAR HARIAN - 16/05/2023

 

SHAH ALAM - Semua negeri disaran mewartakan penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid hanya untuk azan dan iqamah sahaja.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, daripada sudut undang-undang tindakan tersebut adalah perlu dalam usaha memelihara keharmonian antara kaum di negara ini.

Bagaimanapun tegas beliau, ia juga perlu selari dengan usaha memastikan semua pihak saling memahami dan menghormati Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Penganut agama lain tidak faham, tapi kita juga salah sebab tak fahamkan mereka. Bagi mereka yang faham, tiada masalah. Ada kenalan saya Cina lebih suka tinggal berdekatan dengan masjid atau surau ambil berkat, ada 'ong', kekuatan pada dia.

"Jadi, kalau kita tidak wujudkan suasana untuk mereka faham memahami, hormat menghormati. Dia sebenarnya tidak perlu usaha yang lain.

"Perlu wartakan penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid hanya untuk azan dan iqamah sahaja... ia perlu daripada sudut undang-undang. Tapi sebenarnya saya melihat perkara ini daripada sudut memahami dan menghormati itu lebih penting.

"Dengan undang-undang mungkin lebih mudah untuk kawal tapi, andai diwarta pun tapi jika orang lain tidak faham, lama kelamaan akan mencetuskan pergaduhan juga," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sinar Harian melaporkan penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid di Pulau Pinang hanya dibenarkan untuk azan dan iqamah sahaja seperti mana diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bertarikh 1 hingga 2 Julai 2015 dan disahkan pada 23 hingga 24 Ogos 2015.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bagaimanapun keputusan itu tidak diwartakan sebaliknya diserahkan kepada budi bicara jawatankuasa kariah untuk mempertimbangkan sama ada keputusan itu sesuai dilaksanakan di masjid, surau masing-masing atau sebaliknya.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, masyarakat perlu kembali kepada perlembagaan negara bahawa Islam adalah agama persekutuan dan harus dilihat pada sudut penting seterusnya membawa semua rakyat kepada kerjasama penting antara kaum.

Justeru, satu kaedah terbaik perlu difikirkan dengan melibatkan usaha bersama.

"Jadi saya harap semua masyarakat menjaga keharmonian Malaysia. Jika tidak, kita akan menghadapi perkara yang tidak selesai contohnya seperti berlaku di India yang melibatkan ekstremis pelbagai pihak yang ada pembunuhan, runtuhkan masjid, robohkan segala benda," katanya.


Artikel oleh: Sinar Harian

NEGERI PERLU WARTA KEBENARAN GUNA PEMBESAR SUARA LUAR SURAU, MASJID

https://www.sinarharian.com.my/article/258785/berita/nasional/negeri-perlu-warta-kebenaran-guna-pembesar-suara-luar-surau-masjid

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL