Wednesday, May 24, 2023

PPIM GESA KERAJAAN TOLAK PINDAAN IHR2005 - SINAR HARIAN - 24/05/2023

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan tidak menandatangani pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005 (IHR2005) yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Kesihatan Dunia Ke-76 di Geneva, Switzerland minggu depan.

Aktivis PPIM, Datuk Asri Yusoff berkata, Malaysia terutama Kementerian Kesihatan (KKM) perlu tegas dan tidak terikat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menguruskan masalah keselamatan kesihatan global seperti Covid-19.

Beliau menjelaskan, sekiranya kerajaan menandatangani pindaan berkenaan, secara tidak langsung telah memberi kuasa kepada pertubuhan itu untuk mengenakan peraturan dan mengikat Malaysia secara sah mengatasi kedaulatan negara.

"Sekiranya Malaysia menandatangani pindaan berkenaan, maka negara ini terikat dengan arahan dan peraturan yang dikenakan WHO dalam menguruskan isu keselamatan kesihatan global.

Oleh itu kami berharap kerajaan terutama KKM dapat memberi penerangan kepada rakyat mengenai implikasi sekiranya Malaysia tidak menandatangani pindaan tersebut demi menjaga kedaulatan negara," katanya kepada Sinar Harian.

Sebagai rekod, IHR2005 merupakan peraturan yang digunapakai WHO untuk mengurus dan mengawal kesihatan global, namun tidak bersifat terikat terhadap negara ahli di bawah pertubuhan berkenaan.

Usul pindaan IHR2005 yang akan dibentangkan pada persidangan itu telah dikemukakan kepada negara ahli termasuk Malaysia untuk menyokong Artikel 1 berkenaan definisi 'cadangan tetap' dan 'cadangan sementara' daripada tidak mengikat (non-binding) kepada terikat (binding).

Justeru, sekiranya pindaan berkenaan ditandatangani dan mendapat sokongan negara ahli, maka secara tidak langsung WHO berhak menetapkan peraturan dan mengenakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang telah bersetuju.

Berdasarkan dokumen yang dikongsikan kepada Sinar Harian, pindaan definisi tersebut memberi kesan kepada IHR2005 melibatkan Artikel 15 dan Artikel 16.

Artikel 15 mengenai cadangan sementara, penambahan frasa 'keadaan yang berpotensi tersenarai dalam Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC)' yang mana Ketua Pengarah WHO perlu mengeluarkan syor sementara mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Perkara 49.

Artikel 16 mengenai cadangan tetap, penambahan frasa 'cadangan akses dan ketersediaan produk kesihatan, teknologi dan cara, termasuk peruntukan mekanisme bagi akses yang adil dan saksama.

Oleh itu, WHO dibenarkan untuk mengubah suai atau menamatkan syor tersebut mengikut kesesuaian berdasarkan Perkara 53.

Dalam pada itu Asri yang juga bekas Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menjelaskan, sekiranya pindaan terhadap artikel-artikel berkenaan diluluskan dan Malaysia menjadi antara negara ahli, IHR2005 akan menjadi undang-undang antarabangsa yang turut mengikat negara ini kepada arahan-arahan serta polisi WHO.

"Demi menyelamatkan kedaulatan negara, Malaysia wajib menolak pindaan IHR2005 dan keluar dari WHO," tegasnya.


Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM GESA KERAJAAN TOLAK PINDAAN IHR2005

https://www.sinarharian.com.my/article/259886/berita/nasional/ppim-gesa-kerajaan-tolak-pindaan-ihr2005

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...