Friday, May 12, 2023

PPIM GESA KERAJAAN RANGKA UNDANG-UNDANG MEMBABITKAN PINJAMAN - BERITA HARIAN - 11/05/2023

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan merangka undang-udang membabitkan pinjaman dengan pihak bank dan juga syarikat luar.

Perkara itu perlu dilakukan kerana ada pihak yang melakukan penipuan ke atas pengguna bagi menarik kereta yang mempunyai bayaran tertunggak.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna membabitkan kereta yang akan ditarik daripada syarikat yang menawarkan pinjaman untuk membeli kereta.

"Kita sendiri tidak tahu undang-undang apa yang mereka ikut (syarikat menarik kereta). Apabila kereta mahu ditarik, pengadu terus mendapat surat lelong. Bermakna sekiranya tidak melangsaikan pinjaman, pengadu tidak boleh mengambil semula kereta mereka.

"Ada pengadu menerima surat lelong mengatakan sekiranya baki pinjaman kereta sebanyak RM150,000 tidak diselesaikan, kereta ini akan dilelong pada suatu tarikh.

"Persoalannya, proses undang-undang mana yang mereka ikut sehingga membolehkan tindakan tarik dan lelong ini dilakukan," katanya pada sidang media Majlis Silaturrahim Aidilfitri PPIM di Kompleks Sukan Datuk Keramat, Jalan Datuk Keramat.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali.

Nadzim berkata, kes membabitkan tarik kereta adalah zalim kerana tidak mengikut prosedur biasa.

"Mengikut prosedur yang sebenarnya, notis untuk melelong kereta akan diberi terlebih dahulu sekiranya selepas dua bulan 21 hari tiada tindakan daripada peminjam, baru kereta terbabit akan ditarik dan dilelong.

"Perkara ini sangat zalim kepada peminjam yang susah. Mereka akan tunggu ke saat akhir sebelum membayar pinjaman kerana mereka tidak mempunyai wang.

"Kerajaan hari ini faham kesusahan rakyat. Oleh itu mereka juga perlu teliti bagaimana undang-undang membabitkan pinjaman dengan bank dan juga syarikat luar boleh dilakukan untuk mengelakkan rakyat daripada ditipu," katanya.

Katanya lagi, melalui aduan yang diterima kadar faedah dikenakan oleh syarikat pinjaman luar adalah antara tujuh sehingga lapan peratus sebulan, malah ada yang mengenakan faedah sehingga 10 peratus.

Sementara itu, Nadzim turut mencadangkan pihak kerajaan untuk melakukan kajian sebelum melaksanakan cadangan menaikkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan kepada 20 peratus.

"Kajian perlu dilakukan terlebih dahulu. Kita tidak mahu ada kesan buruk seperti majikan terpaksa membuang pekerja tempatan dan mengambil pekerja asing sebagai alternatif kerana tidak mampu memberikan caruman 20 peratus," katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

PPIM GESA KERAJAAN RANGKA UNDANGUNDANG MEMBABITKAN PINJAMAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1099987/ppim-gesa-kerajaan-rangka-undang-undang-membabitkan-pinjaman

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...