Showing posts with label UMMAH TODAY. Show all posts
Showing posts with label UMMAH TODAY. Show all posts

Monday, May 15, 2023

PPIM GESA KERAJAAN RANGKA UNDANG-UNDANG MEMBABITKAN PINJAMAN - UMMAH TODAY - 12/05/2023


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru kerajaan untuk merangka undang-undang yang berkaitan dengan pinjaman daripada bank dan syarikat luar.

Tindakan ini diperlukan kerana terdapat penipuan yang dilakukan terhadap pengguna untuk menarik kereta yang memiliki pembayaran tertunggak.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau lebih mesra dengan panggilan Toqqi menyatakan bahawa mereka telah menerima pelbagai aduan daripada pengguna mengenai penarikan kereta oleh syarikat yang menawarkan pinjaman untuk pembelian kereta.

Beliau mengungkapkan kebimbangan tentang kekurangan ketelusan mengenai prosedur undang-undang yang diikuti oleh syarikat-syarikat tersebut ketika menarik semula kenderaan.

“Apabila kenderaan akan ditahan, pengadu menerima notis lelong. Ini bermakna jika pinjaman tidak dilangsaikan, pengadu tidak dapat mengambil semula kenderaan mereka”.

“Ada pengadu yang menerima notis lelong yang menyatakan bahawa jika baki pinjaman kereta sebanyak RM150,000 tidak diselesaikan, kenderaan ini akan dilelong pada tarikh tertentu”.

“Persoalannya, proses undang-undang mana yang mereka ikuti sehingga tindakan penarikan dan lelongan ini dilakukan?“, ujar Toqqi dalam sidang media Majlis Silaturrahim Aidilfitri PPIM di Kompleks Sukan Datuk Keramat, Jalan Datuk Keramat pada Khamis.

Puan Marina Sulaiman, dua dari kiri bersama Datuk Nadzim Johan.


Brother Vince Focarelli bergambar bersama tetamu

Toqqi menyatakan bahawa kes penarikan kereta ini adalah zalim kerana tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Mengikut prosedur yang sebenar, notis lelong akan diberikan terlebih dahulu jika dalam tempoh dua bulan 21 hari tidak ada tindakan daripada peminjam, baru kenderaan tersebut akan ditahan dan dilelong“.

“Ini sangat zalim kepada peminjam yang sedang menghadapi kesukaran. Mereka akan menunggu sehingga saat-saat terakhir sebelum membayar pinjaman kerana mereka tidak mempunyai wang,” katanya.

Beliau menekankan bahawa kerajaan perlu memahami kesukaran yang dihadapi oleh rakyat hari ini.

Oleh itu, mereka perlu memeriksa dengan teliti bagaimana undang-undang mengenai pinjaman daripada bank dan syarikat luar boleh dilaksanakan untuk mengelakkan rakyat dari penipuan.

Selain itu, Toqqi juga mencadangkan agar kerajaan menjalankan kajian sebelum melaksanakan cadangan untuk meningkatkan sumbangan majikan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 20%.

“Kajian perlu dijalankan terlebih dahulu. Kita tidak mahu berlaku kesan buruk seperti majikan terpaksa menghentikan pekerja tempatan dan mengambil pekerja asing sebagai alternatif kerana tidak mampu memberikan sumbangan 20%,” katanya.


Artikel oleh: Ummah Today

PPIM GESA KERAJAAN RANGKA UNDANG-UNDANG MEMBABITKAN PINJAMAN

https://www.ummahtoday.com.my/ppim-gesa-kerajaan-rangka-undang-undang-membabitkan-pinjaman/?fbclid=IwAR0emF8ZrTlmNkOdeP4r1OKMEywk13Dg5kBPHxgqTAE9JYBMTxLeSbZ0MnM

Wednesday, July 27, 2022

MAIWP BERJAYA AGIH RM297.14 JUTA ZAKAT DALAM TEMPOH 5 BULAN - UMMAH TODAY - 26/07/2022

 

NILAI – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan zakat berjumlah RM297.14 juta menerusi pelbagai skim bantuan yang ditawarkan kepada golongan asnaf berkelayakan dalam tempoh Januari sehingga 31 Mei tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Idris Haji Ahmad menjelaskan, berdasarkan rekod, setiap bulan sebanyak 30,200 ketua keluarga di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah dibantu.

Foto sumber FB Jabatan Perdana Menteri

“Bantuan itu diagihkan MAIWP menerusi 30 jenis Skim Bantuan Baitumal meliputi bantuan kesihatan, saraan bulanan, pendidikan dan perumahan untuk Kesejahteraan asnaf dalam mendepani kemiskinan,” ucap Haji Idris ketika merasmikan Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 Kali Ke-9 bertemakan ‘Zakat dan Kemiskinan’ di Nilai pada Selasa.

Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 anjuran Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Yayasan Basmi Kemiskinan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) & Majlis Belia Malaysia.

Menurut Haji Idris lagi, MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk modal perniagaan dalam usaha melahirkan sekurang-kurangnya 2,000 orang asnaf yang mampu berdikari dan berjaya dalam bidang keusahawanan tahun ini.

Tambahnya lagi, mereka yang dikenal pasti berkelayakan & mempunyai kemahiran akan diberi bantuan modal perniagaan sebanyak RM20,000.

“Hasrat kita supaya mereka ini dapat keluar daripada kepompong kemiskinan sekaligus menjadi penyumbang zakat dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi.”

Foto kredit FB Jabatan Perdana Menteri

Jelasnya lagi, asnaf yang terpilih akan dibimbing serta dilatih oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melalui program latihan keusahawanan untuk berniaga.

Ini termasuk membangunkan projek bertani bandar di Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih buat permulaan ini.

Yayasan Waqaf Malaysia juga telah membangunkan program Waqaf Tani Asnaf di Presint 20, Putrajaya untuk projek tanaman nenas, pisang dan jagung.


Artikel oleh: Ummah Today

MAIWP BERJAYA AGIH RM297.14 JUTA ZAKAT DALAM TEMPOH 5 BULAN

https://ummahtoday.com.my/maiwp-berjaya-agih-rm297-14-juta-zakat-dalam-tempoh-5-bulan/

Wednesday, July 20, 2022

PEMBENTUKAN IMCA SEBAGAI PLATFORM MEMBELA HAK PENGGUNA SERATA DUNIA - UMMAH TODAY - 18/07/2022


KUALA LUMPUR: Pembentukan Persatuan Pengguna Muslim Antarabangsa (IMCA) sebagai platform kolaboratif untuk umat Islam di seluruh dunia bersatu menentang semua cabaran yang menafikan hak dan kedaulatan pengguna Muslim secara amnya

Pengerusinya, Dato’ Nadzim Johan @ Toqqi berkata ia adalah bagi memperkemaskan semua strategi dan agenda semua entiti Islam di seluruh dunia untuk bercakap dalam satu bahasa ke arah kebaikan global dan keamanan dunia dalam perspektif Islam.

Pengerusi Persatuan Pengguna Muslim Antarabangsa (IMCA) Dato’ Nadzim Johan

“Hari ini kita telah wujudkan satu wadah untuk berkongsi ilmu pengetahuan dalam peringkat antarabangsa demi membela nasib dan hak para pengguna Islam seluruh dunia yang sering dipergunakan oleh kapitalis yang mengambil kesempatan.

“Ia menjadi satu titik yang amat penting untuk memberi impak yang positif bukan sahaja di dalam negara tetapi pengguna dari serata dunia, dan ia hanya boleh dilakukan apabila kita semua bersatu,” katanya dalam Majlis Mini Forum Kebaikan Global dan Keamanan Dunia bersama IMCA hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Lokman Hakim Pfordten dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif IMCA melalui persetujuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama-sama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Pengalaman Datuk Lokman dalam memimpin Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd, sebuah konglomerat yang besar dan berjaya berkembang ke 17 negara akan dapat memenuhi kekosongan yang terdapat dalam rantaian barangan Muslim dari serata dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna Muslim Antarabangsa (IMCA), Datuk Lokman Hakim Pfordten

“Saya diberi amanah untuk membawa satu misi di peringkat global, harapan saya adalah bukan saja memberi manfaat kepada pengguna Islam sahaja, tetapi juga kepada seluruh umat manusia tidak kira agama  di atas muka bumi ini agar dapat kembali hidup aman damai dan bahagia,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) (Dr.) Sani Araby Al-Kahery diiringi Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, PPj Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol.

(Dr.) Sani Araby mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih atas pelantikan bermakna ini dan mendoakan semoga amanah beliau akan memperkasakan lagi ekonomi umat Islam di seluruh dunia.

“Saya mengenali Datuk Lokman bukan sekadar individu yang berjaya mengembangkan empayar Global Ikhwan Sdn Bhd di seluruh dunia tetapi juga sebagai individu yang punyai semangat memajukan ummah dalam kerangka Islam yang syumul. Jadi pelantikan beliau sebagai CEO IMCA sangat tepat sekali” katanya. 

Antara tokoh yang hadir adalah Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan , YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom, Pengurus Besar YBK Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, Pengerusi SUHAKAM, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad, Pengasas rangkaian Restoran Ali Maju, Dato’ Jawahar Ali dan Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan – YBCare, Datin Dr. Hajah Hartini Osman.

Mini Forum ‘Kebaikan Global Dan Keamanan Dunia Bersama IMCA’ turut diadakan dengan Pengasas Iqra For Change, Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin selaku moderator.


Untuk rekod, IMCA adalah sebuah pergerakan pengguna Islam sedunia yang berpusat di Malaysia ditubuhkan untuk menggembleng suara pengguna Islam seluruh dunia dalam memberikan kesedaran kepenggunaan dan menjaga serta mengembalikan hak mereka dengan bijaksana.

Artikel oleh: Ummah Today

PEMBENTUKAN IMCA SEBAGAI PLATFORM MEMBELA HAK PENGGUNA SERATA DUNIA

https://ummahtoday.com.my/pembentukan-imca-sebagai-platform-membela-hak-pengguna-serata-dunia/

Friday, June 24, 2022

PPIM LANCAR APLIKASI YAKIN - UMMAH TODAY - 16/06/2022

 

KUALA LUMPUR : Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah berkolaborasi dengan Crescent Digital Sdn Bhd (Crescent Digital) untuk membangunkan & mengendalikan aplikasi mudah alih rasmi PPIM yang dikenali sebagai YAKIN.

Aplikasi tersebut telah dilancarkan hari ini oleh Datuk Seri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi
dan Inovasi.

Berasal dari perkataan Arab ÛŒÙ‚ین‎ yang antara lain bermaksud pasti, percaya dan tidak ragu-ragu, nama YAKIN dipilih sebagai tanda kesungguhan PPIM bukan sahaja dalam usaha memperkasa pengguna dan usahawan Muslim era digital tetapi juga sebagai pemangkin dan pemacu inovasi tempatan bernilai tinggi justeru menyumbang kepada ekonomi digital Islam di Malaysia.

Menerusi aplikasi YAKIN yang sedia untuk dimuat turun secara percuma, pengguna-pengguna boleh menjadikan aplikasi YAKIN sebagai ‘one stop centre’ untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh PPIM seperti perkhidmatan aduan hal ehwal pengguna, bantuan mangsa ahlong atau ceti haram, sumbangan derma kepada saluran yang sahih dan berdaftar; dan sebagai informasi paling terkini dari PPIM dengan amat mudah secara dalam talian dari telefon pintar mereka.

Selari dengan slogan Aplikasi Digital Gaya Hidup Muslim, aplikasi YAKIN yang dikuasakan oleh Crescent Digital tanpa sebarang kos juga dibina untuk membantu pengguna Islam menerapkan gaya hidup Muslim dalam kehidupan seharian dengan mudah. Diantara fitur atau ciri-ciri yang disediakan di dalam Modul Ibadah aplikasi YAKIN ini adalah waktu solat, kiblat, doa harian, tasbih dan pelbagai lagi. Antara yang menarik, pengguna aplikasi YAKIN dapat memilih laungan azan oleh artis terkenal tanahair, Black Hanifah, untuk tetapan notifikasi waktu solat yang boleh didapati secara eksklusif melalui aplikasi tersebut.

“Saya amat mengalu-alukan inovasi ke arah digital dari PPIM dan Crescent Digital ini. Inisiatif untuk membina aplikasi ini di dalam Bahasa Malaysia adalah langkah yang sangat tepat demi memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. PPIM juga mempunyai jumlah pengikut media sosial yang besar di kalangan masyarakat Muslim di Malaysia iaitu lebih daripada 1.5 juta orangmerentasi 5 platform media sosial. Justeru itu, aplikasi YAKIN berkem ampuan untuk menjadiaplikasi gaya hidup Muslim tempatan yang utama dan paling komprehensif bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ini.” jelas Dr Adham Baba kepada pemberita.

Menurut Presiden &  Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan pula, aplikasi ini bukan sahaja mensasarkan pengguna, malah ia juga dibangunkan dengan matlamat untuk membantu perniagaan-perniagaan yang ingin mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka secara khusus dan efisien kepada kumpulan pengguna Islam dan bukan Islam.

Perlu juga ditegaskan bahawa kempen-kempen derma yang terdapat di dalam aplikasi YAKIN telah disemak dan disahkan terlebih dahulu oleh PPIM. Bagi pihak PPIM, kami yakin bahawa aplikasi ini dapat memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia bersesuaian dengan misi PPIM sendiri iaitu melaksanakan tuntutan fardhu kifayah yang membabitkan kepentingan pengguna dan perniagaan Islam melalui tindakan proaktif dan berstrategi.

Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Digital, Nina Alyssa turut menyatakan rasa bangga di atas kerjasama PPIM dalam inisiatif ini. Selain daripada ciri-ciri yang telah disebutkan, mereka juga sedang merancang untuk memperkenalkan pelbagai lagi fitur di dalam aplikasi YAKIN merangkumi direktori perniagaan Islam, direktori scammers, tinjauan atau survey, e-Dagang dan lain-lain di fasa akan datang.

Aplikasi YAKIN boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store, App Store dan Huawei AppGallery untuk semua telefon pintar Android & iPhone.

Artikel oleh: Ummah Today

PPIM LANCAR APLIKASI YAKIN

https://ummahtoday.com.my/ppim-lancar-aplikasi-yakin/?fbclid=IwAR1GlrYIsro8J5b5MfXyvLnUzScEQAwz3zwy0kmr9bDlNM56cL9mc15q8n4

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL