Showing posts with label ZAKAT DAN KEMISKINAN. Show all posts
Showing posts with label ZAKAT DAN KEMISKINAN. Show all posts

Thursday, July 28, 2022

'BANYAK KES TULAR ORANG SUSAH, PUSAT ZAKAT DAH BANTU' - SINAR HARIAN - 27/07/2022

 

NILAI - Kebanyakan kes orang susah yang tular di media sosial merupakan mereka yang telah pun dibantu dan ada juga didapati tidak layak menerima bantuan.

Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hamizul Abdul Hamid berkata, sehubungan itu masyarakat yang mempunyai maklumat berkenaan orang susah diharap dapat menghubungi pihak zakat terlebih dahulu sebelum berkongsinya di media sosial.

Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan dan pada masa sama mengelakkan salah faham yang institusi zakat tidak prihatin atau tidak turun padang.

"Sebenarnya yang paling berkesan membantu pusat zakat menangani isu kemiskinan ialah netizen.

"Tapi apabila netizen tularkan kes orang susah di media sosial, orang marah dengan kita.

"Jika kita sayangkan asnaf, jika mereka datang kepada kita mengadu tak dapat bantuan zakat dan sebagainya, ambil maklumat diri dan nombor kad pengenalan dan serahkan pada pusat zakat," katanya.

Beliau berkata demikian selaku ahli panel pada Wacana al-Quran Tangani Kemiskinan: Sejauh Mana Zakat Mampu?, di sebuah hotel di sini, pada Selasa.

Jelasnya, wang zakat tidak boleh dibagi sewenang-wenangnya dan setiap kes perlu disiasat terlebih dahulu.

Bagaimanapun katanya, untuk kes tertentu ada bantuan kecemasan atau bantuan segera disediakan.

"Tapi jika individu itu betul-betul memerlukan, kita akan buat siasatan lanjut untuk bantuan bersesuaian.

"Wang zakat juga tidak boleh sebarangan digunakan untuk memberi bantuan bagi menyelesaikan pinjaman ah long kerana ia dibimbangi akan menjadi galakan tanpa sedar kepada orang Islam untuk terus meminjam ah long," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, berdasarkan rekod LZS sehingga 31 Disember tahun lalu, terdapat 64,000 keluarga dikategorikan fakir miskin di Selangor.

Selain beliau, wacana itu turut menampilkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan, Qari Mohamad Husaini Mahmur dan Ketua Pegawai Eksekutif ARBA Foundation, Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Nadzim yang lebih dikenali sebagai Toqqi pula ketika ditemui Sinar Harian berkata, dengan kerjasama sebaik mungkin daripada semua pihak terutama yang mempunyai autoriti, banyak masalah dalam kalangan orang susah dapat diselesaikan.

"Contohnya ada ibu tunggal tinggal di Bukit Beruntung, Selangor tak mampu bayar ansuran bulanan rumah selama lapan bulan dan bank nak lelong rumahnya.

"Cara mudahnya mungkin kita boleh jelaskan hutang tertunggak itu. Tapi apa yang PPIM buat ialah kita hanya hubungi pihak bank dan minta mereka bagi tempoh lagi dan ia diterima.

"Maknanya, pihak yang ada autoriti misalnya seperti datuk bandar boleh gunakan peranan dia untuk bantu beri perubahan dalam kes yang berkaitan dengan kuasanya dengan hanya melalui panggilan telefon," katanya.


Artikel oleh: Sinar Harian

'BANYAK KES TULAR ORANG SUSAH, PUSAT ZAKAT DAH BANTU'

https://www.sinarharian.com.my/article/213301/KHAS/#WacanaQuran/Banyak-kes-tular-orang-susah-pusat-zakat-dah-bantu

Wednesday, July 27, 2022

MAIWP BERJAYA AGIH RM297.14 JUTA ZAKAT DALAM TEMPOH 5 BULAN - UMMAH TODAY - 26/07/2022

 

NILAI – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan zakat berjumlah RM297.14 juta menerusi pelbagai skim bantuan yang ditawarkan kepada golongan asnaf berkelayakan dalam tempoh Januari sehingga 31 Mei tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Idris Haji Ahmad menjelaskan, berdasarkan rekod, setiap bulan sebanyak 30,200 ketua keluarga di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah dibantu.

Foto sumber FB Jabatan Perdana Menteri

“Bantuan itu diagihkan MAIWP menerusi 30 jenis Skim Bantuan Baitumal meliputi bantuan kesihatan, saraan bulanan, pendidikan dan perumahan untuk Kesejahteraan asnaf dalam mendepani kemiskinan,” ucap Haji Idris ketika merasmikan Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 Kali Ke-9 bertemakan ‘Zakat dan Kemiskinan’ di Nilai pada Selasa.

Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 anjuran Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Yayasan Basmi Kemiskinan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) & Majlis Belia Malaysia.

Menurut Haji Idris lagi, MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk modal perniagaan dalam usaha melahirkan sekurang-kurangnya 2,000 orang asnaf yang mampu berdikari dan berjaya dalam bidang keusahawanan tahun ini.

Tambahnya lagi, mereka yang dikenal pasti berkelayakan & mempunyai kemahiran akan diberi bantuan modal perniagaan sebanyak RM20,000.

“Hasrat kita supaya mereka ini dapat keluar daripada kepompong kemiskinan sekaligus menjadi penyumbang zakat dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi.”

Foto kredit FB Jabatan Perdana Menteri

Jelasnya lagi, asnaf yang terpilih akan dibimbing serta dilatih oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melalui program latihan keusahawanan untuk berniaga.

Ini termasuk membangunkan projek bertani bandar di Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih buat permulaan ini.

Yayasan Waqaf Malaysia juga telah membangunkan program Waqaf Tani Asnaf di Presint 20, Putrajaya untuk projek tanaman nenas, pisang dan jagung.


Artikel oleh: Ummah Today

MAIWP BERJAYA AGIH RM297.14 JUTA ZAKAT DALAM TEMPOH 5 BULAN

https://ummahtoday.com.my/maiwp-berjaya-agih-rm297-14-juta-zakat-dalam-tempoh-5-bulan/

MAIWP AGIH RM297.14 JUTA BANTU ASNAF [METRO TV] - HARIAN METRO - 27/07/2022

 

Nilai: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan sebanyak RM297.14 juta menerusi pelbagai skim bantuan kepada mereka yang memerlukan sejak Januari hingga 31 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berkata selain itu, program Musa'adah di bawah agensi hal ehwal Islam peringkat Persekutuan juga mengagihkan lebih RM40.84 juta bagi membantu masyarakat yang terjejas khususnya akibat pandemik Covid-19 di seluruh negara, sepanjang Jun lalu.

Idris Ahmad (kiri) ketika sidang media pada Majlis Perasmian Muzakarah Zakat Kebangsaan. FOTO AZRUL EDHAM

Beliau berkata, MAIWP turut membantu lebih 30,200 ketua isi rumah (KIR) di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"MAIWP juga melancarkan Projek Agro-preneur Asnaf di Kompleks Darul Kifayah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur dengan menanam cili sebanyak 21,000 polibeg.

"Ini adalah program pertanian bandar yang kita usahakan untuk membantu asnaf. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah ditugaskan untuk menyediakan latihan, bimbingan kepada asnaf ini.

"Selain itu, Yayasan Waqaf Malaysia sedang dalam proses untuk membangunkan empat hektar tanah di Putrajaya untuk program Waqaf Petani membabitkan asnaf.

"Jadi, inilah pendekatan yang kita ambil dengan lebih berfokus kepada lokaliti dan komuniti untuk memberikan fokus kepada latihan serta bimbingan kepada asnaf," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 kali ke-9 di Nilai Springs Resort Hotel & Golf Country Club di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah dan Penyelaras Institut Fatwa dan Halal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Azman Ab Rahman.

Muzakarah bertemakan 'zakat dan kemiskinan' adalah anjuran USIM bersama Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Idris berkata, pihaknya sentiasa memberikan peringatan kepada ketua agensi untuk sentiasa turun padang mencari orang susah kerana Islam mesti membantu golongan susah dalam rangka kemampuan yang ada.

Beliau berharap apa yang dilakukan oleh agensi hal ehwal Islam peringkat persekutuan turut dilakukan oleh semua agensi zakat di negeri lain.

Menurutnya, institusi kewangan sosial Islam sepatutnya boleh menjadi pemangkin dan penggerak dalam membantu golongan yang terkesan ini untuk bangkit dan maju dalam kehidupan.

Katanya, pengurusan zakat secara efisien dan sistematik mampu melonjakkan potensi zakat sebagai instrumen pembangunan umat Islam.

"Justeru, dana zakat perlu dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan kualiti dan potensi setiap orang Islam.

"Muzakarah Zakat Kebangsaan yang dianjurkan ini amat tepat pada waktunya dan bermanfaat untuk penambahbaikan yang perlu dilakukan bersesuaian dengan keadaan semasa hari ini," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

MAIWP AGIH RM297.14 JUTA BANTU ASNAF [METRO TV]

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/07/865323/waiwp-agih-rm29714-juta-bantu-asnaf-metrotv

ZAKAT DAN KEMISKINAN DIMUZAKARAHKAN - HARAKAH DAILY - 26/07/2022

 

ALHAMDULILLAH dengan izin-Nya amanah buat ummah terus dijalankan hari ini dalam program Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 Kali Ke-9, anjuran Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Yayasan Basmi Kemiskinan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Majlis Belia Malaysia.

‘Zakat Dan Kemiskinan’

Merupakan tema Muzakarah kali ini, telah menghimpunkan para ilmuan, para pensyarah bersama agensi mengurus zakat.

Alhamdulillah, di negara kita mempunyai sistem yang tersusun dan terancang, urusan zakat adalah di bawah bidangkuasa Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN).

Kita dapat melihat contoh-contoh yang baik peranan MAIN yang agresif menyusun program agihan zakat membantu dan menangani isu-isu kemiskinan. 

Sebagai contoh, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sejak 1 Januari 2022 sehingga 31 Mei 2022, telah mengagihkan sebanyak RM297.14 juta menerusi pelbagai skim bantuan yang telah ditawarkan kepada mereka yang berkelayakan.

Dalam rekod kita, sehingga kini, setiap bulan secara tetap, MAIWP telah membantu lebih 30,000 ketua keluarga asnaf di Wilayah-wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan). 

Begitulah juga tahun ini, saya telah meminta MAIWP supaya memberikan program latihan keusahawanan kepada 2,000 orang asnaf termasuk modal teroka RM 20,000 seorang untuk berniaga. Termasuklah kita membangunkan program bertani bandar di PPR terpilih buat permulaan ini.

Yayasan Waqaf Malaysia juga telah membangunkan program Waqaf Tani Asnaf di Presint 20, Putrajaya untuk projek tanaman nenas, pisang dan jagung.

Inilah antara usaha jangka panjang yang kita usahakan. Saya percaya usaha yang sama diambil oleh lain-lain Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Kita saling belajar dan berkongsi pengalaman demi memajukan asnaf kita.

Kita mengambil pendekatan memberi joran bukan hanya sekadar memberi ikan. Kerana impian saya untuk suatu hari nanti penerima zakat ini pula yang akan menjadi pembayar zakat.

Program-program dengan pendekatan sedemikianlah yang sedang digerakkan oleh agensi Islam Persekutuan.

Terima kasih kepada semua pembentang dan peserta Muzakarah Zakat Kebangsaan Kali ke-9 ini. Tahniah kepada penganjur Institut Fatwa dan Halal, USIM (IFFAH) dan seluruh rakan strategik.

Semoga ia menjadi titik kebersamaan kita untuk bekerja sebagai satu pasukan.

YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 26/7/2022


Artikel oleh: Harakah Daily

ZAKAT DAN KEMISKINAN DIMUZAKARAHKAN

https://harakahdaily.net/index.php/2022/07/26/zakat-dan-kemiskinan-dimuzakarahkan/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL