PETALING JAYA – Sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long kini telah menukar taktik mereka dengan menawarkan pinjaman kepada orang ramai menggunakan aplikasi khas yang boleh dimuat naik menerusi telefon pintar.
Modus operandi terbaharu itu kononnya dianggap lebih sistematik dan memudahkan pelanggan untuk berurusan, berbanding taktik lapuk dengan cara menampal nombor telefon tertentu di bahu jalan selain di dinding bangunan.
Difahamkan, sindiket lintah darah dikenali sebagai ‘ah long korporat’ ini menyasarkan golongan muda yang terdesak untuk mendapatkan wang segera selain individu yang berdepan masalah kewangan.
Bagi merancakkan lagi operasi, sindiket turut menggunakan pengiklanan berbayar di YouTube dan Facebook untuk memberi keyakinan kepada pelanggan yang ingin melakukan pinjaman di hujung jari.
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zharif Johor mendedahkan, setakat ini dianggarkan sebanyak 49 aplikasi pinjaman wang haram sudah dibangunkan sejak dua tahun lalu.
Katanya, ah long korporat ini turut bergerak aktif dengan berkongsi pelbagai aplikasi di WhatsApp orang ramai sehingga ada mangsa yang terpedaya dan membuat pinjaman daripada beberapa sindiket haram.
“Pinjaman yang ditawarkan pula adalah serendah RM300 dan peminjam akan memperoleh RM150 daripada jumlah wang itu dan perlu melunaskannya dalam masa satu atau dua minggu,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Setakat ini dianggarkan sebanyak 49 aplikasi pinjaman wang haram sudah dibangunkan sejak dua tahun lalu. |
Beliau berkata, aduan pertama yang diterima berhubung isu berkenaan adalah pada November 2019 dan kes meningkat mendadak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila ramai yang kehilangan kerja.
“Pengguna mula tertarik dengan tawaran aplikasi yang diiklankan di Facebook dan YouTube. Iklan itu pula muncul tiba-tiba, seolah-olah tahu pengguna terdesak memerlukan wang,” katanya.
Bagaimanapun menurut Zharif, aplikasi pinjaman wang ah long ini hanya boleh dimuat naik pelanggan yang menggunakan peranti jenis android.
Tambahnya, ah long akan meletakkan bunga sebanyak 30 peratus daripada jumlah pinjaman, namun selepas mereka memeras ugut mangsa, mereka mula letak harga bunga tidak munasabah mencecah 800 peratus untuk satu hari lewat bayaran.
“Ketika mangsa terdesak untuk membayar bunga yang semakin tinggi, mereka akan terus dihubungi dengan tawaran lain menggunakan aplikasi berbeza.
“Modus operandi ini menyebabkan ada mangsa yang menggunakan konsep ‘nak tutup lubang, gali lagi banyak lubang’ sehingga ada yang sudah meminjam daripada lebih 10 aplikasi dengan hutang mencecah RM20,000 sebulan.
“Apabila mereka tidak dapat membuat pembayaran balik, maka gambar serta nombor telefon ahli keluarga dan rakan yang rapat akan disebarkan oleh sindiket,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam mengawal isu ini bagi mengelak lebih ramai rakyat yang menjadi mangsa.
Katanya, kewujudan lintah darat yang kini beroperasi dalam talian dijangka memberi kesan buruk kepada lebih ramai rakyat jika tidak dibendung lebih awal.
“SKMM perlu ada arah tuju berkaitan aplikasi yang aktif memberi pinjaman melalui dalam talian ini. Jelas sekali tindakan tersebut salah di sisi undang-undang dan perlu dibendung dengan segera.
“Urus niaga berkaitan wang sepatutnya dibuat di dalam pejabat, tetapi dengan kewujudan aplikasi ini, tiada pertemuan bersemuka dan pengguna yang kurang mahir akan terkeliru dengan perjanjian diberikan,” katanya.
Artikel oleh: Kosmo
AH LONG JERUNG KINI GUNA APLIKASI JERAT MANGSA
https://www.kosmo.com.my/2023/01/12/ah-long-jerung-kini-guna-aplikasi-jerat-mangsa/
No comments:
Post a Comment