PETALING JAYA: Harga barangan dijangka terus meningkat melebihi 10 peratus dan ini bukan saja hanya terjadi pada musim Tahun Baharu Cina tetapi sepanjang tahun jika tiada tindakan segera oleh kerajaan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kenaikan tersebut terjadi disebabkan segelintir peniaga tidak berasa takut kepada rakyat dan pihak berkuasa apabila terus menaikkan harga jualan.
“Kenaikan harga barang yang terus meningkat kini diibaratkan seperti matahari naik, ia sentiasa berlaku di sepanjang tahun secara sedar atau tanpa disedari rakyat.
“Harga sayur, ayam, telur dan minyak masak semua naik sedikit demi sedikit, tidak masuk akal betul bila dilihat semula harga sesetengah barangan.
“Perkara ini sudah berlaku bertahun-tahun, diharapkan kerajaan baharu ini mampu mengatasi perkara ini dan tidak berkompromi dengan isu yang melibatkan rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kenaikan harga barang adalah disebabkan kuasa membeli pengguna yang dijangka semakin berkurangan terutama daripada golongan B40 dan individu pendapatan kurang RM2,000 sebulan.
Sehubungan itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, menggesa pihak kerajaan melakukan pemantauan pada masa pra sambutan tahun perayaan yang bakal disambut pada 22 Februari ini.
“Lebih ramai pengguna akan mula barangan untuk menyambut perayaan tersebut akan pada minggu ini, jadi penguatkuasaan ketat dan serius ke atas peniaga-peniaga supaya tidak menekan pengguna,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisma harga siling selari dengan purata pendapatan rakyat dan bukan pada barangan terpilih atau pada musim perayaan sahaja.
“Isu ini timbul apabila ada pihak mengambil kesempatan iaitu sama ada peniaga mahupun manipulasi daripada kartel. Oleh kerana tindakan tersebut akan menyebabkan harga barangan meningkat dan kuasa beli pembeli menurun.
Kenaikan harga ini sangat berkait dengan segala keperluan isi rumah sesetengah, di mana harga barangan tersebut berada di paras yang melampau dan tidak masuk akal. Jadi wajar kerajaan mewujudkan harga siling mengikut pendapatan rakyat,” ujarnya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
HARGA BARANG DIJANGKA MENINGKAT SEPANJANG TAHUN
https://www.utusan.com.my/berita/2023/01/harga-barang-dijangka-meningkat-sepanjang-tahun-nadzim/
No comments:
Post a Comment