Kajang: "Di mana kami nak tempatkan 70 penghuni jika pusat kebajikan ini mahu dikosongkan dan diroboh?
Itu persoalan diutarakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia Nurul Atikah Mohd Azmi selepas pihaknya menerima surat supaya mengosongkan pusat kebajikan itu.
Katanya, surat itu diterima pada 13 Oktober 2021 dengan surat terakhir diterima berkaitan perkara sama pada 31 Disember lalu.
"Pusat kebajikan ini dibina dengan hanya empat rumah yang disewa dengan pihak masjid Kampung Sungai Keramat di atas tanah kerajaan negeri sejak 2012.
"Saya dimaklumkan tanah ini kemudian diserahkan kerajaan negeri kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Jagaan Al Fikrah Malaysia, Kampung Sungai Sekamat, di sini, hari ini.
Katanya, dia ada membuat rayuan di pejabat JAIS bagi mengekalkan pusat kebajikan itu dengan kali terakhir berbuat demikian pada bulan lalu.
"Sebolehnya kami mahu kekal berada di sini kerana lokasinya yang strategik iaitu dekat dengan klinik dan hospital.
"Malah, keadaan persekitaran kawasan ini juga kondusif untuk penghuni yang terdiri daripada warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU)," katanya.
Menurutnya, semua penghuni di pusat jagaan berkenaan diterima daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hospital, pihak zakat dan polis yang tinggal secara percuma.
"Justeru itu, saya harap pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah ini supaya kami dapat terus kekal di sini demi kepentingan penghuni," katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan sedaya upaya membantu supaya pusat jagaan itu dapat terus beroperasi dan tidak diganggu gugat.
"Kami akan berbincang dengan beberapa pihak termasuk JAIS dan Menteri Besar bagi membincangkan penyelesaian terbaik dalam isu ini.
"Ini kerana premis ini bukan berbentuk perniagaan untuk meraih keuntungan, namun ia bagi bertujuan menjaga golongan memerlukan," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
'DI MANA KAMI NAK TEMPATKAN PENGHUNI' - PENGURUSAN PUSAT JAGAAN AL FIKRAH MALAYSIA
No comments:
Post a Comment