Saturday, January 7, 2023

'TAK MASUK AKAL JAKEL BAKAR GEDUNG DEMI INSURANS' - BERITA HARIAN - 06/01/2022

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan dakwaan Jakel sengaja membakar gedung bagi menuntut pampasan insurans sebagai tidak masuk akal.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata ini kerana Jakel terutama cawangan Shah Alam sering menjadi tumpuan ketika musim perayaan dengan Aidilfitri bakal tiba beberapa bulan lagi.

"Untuk menuntut pampasan insurans bagi perniagaan itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia sangat rumit dan mungkin memakan masa beberapa tahun.

"Sambutan Hari Raya yang bakal tiba beberapa bulan sahaja lagi, tak masuk akal jika mereka mahu membakar gedung dan tanggung kerugian beberapa tahun semata-mata mengejar pampasan yang belum tentu dapat meliputi keseluruhan kos.

"Dengan musim perayaan yang akan datang, lazimnya Jakel antara syarikat yang banyak menyumbang kepada NGO dan rumah anak yatim serta orang persendirian tanpa hebahan kepada media.

"Akhir zaman ini amalan fitnah semakin berleluasa, saya ingin mengajak orang ramai menjauhi perbuatan fitnah dan perbanyakkan beristighfar serta mendoakan kebaikan dalam musibah yang sering melanda negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nadzim berkata pemilik Jakel dan pekerjanya adalah orang Islam dan mengapa orang ramai mahu memburukkan kejadian kebakaran berkenaan.

"Ibarat menendang orang yang sedang jatuh, tidakkah kita mempunyai adab dan semangat bersaudara sesama Islam," katanya.

Jakel menanggung kerugian lebih RM100 juta apabila wismanya di Shah Alam terbakar pada 1 Januari lalu.

Kebakaran dipercayai bermula di tingkat satu, iaitu bahagian pakaian lelaki tapi punca sebenar kebakaran masih belum diketahui.

Artikel oleh: Berita Harian

'TAK MASUK AKAL JAKEL BAKAR GEDUNG DEMI INSURANS' 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1048433/tak-masuk-akal-jakel-bakar-gedung-demi-insurans

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL