KUALA LUMPUR: Ramai yang tidak tahu bahawa dunia kini amat mengagumi pemanah tradisional dari Malaysia yang memiliki kehandalan luar biasa dalam sukan ini.
Rasa kagum itu hadir apabila melihat penyertaan pemanah Melayu di pentas antarabangsa memecah rekod dimonopoli Hungary yang sekian lama mengungguli kejohanan HDH-IAA World Historical Traditional Archery, itu sejak dua dekad lalu.
Lebih manis lagi, ada pertandingan itu dianjurkan di Turkiye, Hungary, Macau, Thailand, pemanah Melayu lengkap bertanjak mahupun peserta wanita tidak pulang dengan tangan kosong tetapi pasti bersama gangsa, perak ataupun emas kerana diketahui datang untuk menang.
Kekuatan mereka hanya bersandarkan mata hati, bersama akal dan jasad menjadikan pemanah lebih yakin dan tenang memegang busur dan melepaskan anak panah tepat pada sasaran.
Malangnya, meskipun berjaya menempa nama di mata dunia sejak lapan tahun lalu, tetapi pasukan di bawah Pemanah Tradisional Malaysia (TAAM) ini seperti dianaktirikan di mata kerajaan tanpa tahu punca.
Membawa pulang pelbagai pingat dan plak berprestij dunia seolah-olah tidak mampu ‘menambat’ perhatian kerajaan untuk diiktiraf di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pengasas Pusat Latihan Memanah Berkuda Percuma, Darul Jariyah, Jalijah Awang Kenit, berkata, sukan memanah tradisional sudah bertapak lama dalam negara, tetapi anehnya kurang diberi perhatian oleh pihak berkaitan berbanding di luar negara.Katanya, pemanah yang berjaya selama ini bertungkus lumus mencari dana sendiri melalui perniagaan sendiri, yang sudi menghulurkan bantuan, selain membantu satu sama lain malah ada yang sanggup menggadaikan barang peribadi.
“Mereka bukan setakat juara kampung tetapi hebat di mata dunia, ada pelapis baharu tempatan pun boleh mengalahkan juara dunia.“Cuma… kalau ada agensi korporat yang nampak kami (TAAM), bantulah kami dari segi tajaan kewangan dan sukan memanah tradisional kita.
“Apa sahaja agensi yang sudi beri tajaan, boleh menaikkan lagi semangat mereka, mengadakan pertandingan lebih kerap, dan melahirkan pelapis lebih hebat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Pertandingan Cabaran Bukit Uhud bagi merebut Piala PPIM di Pusat Pertubuhan Kebajikan Darul Jariyah, Bukit Beruntung, yang dijadualkan pada 28 Januari ini.
Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; wakil Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan, Mejar Bersekutu (PA) Zamri Mohd Zaman Khan serta barisan pemanah tradisional TAAM.Jalijah turut mendedahkan beberapa senarai pemanah tradisional yang pernah bergelar juara dunia dan meningkat naik di peringkat antarabangsa dan tempatan.
Mohd Saharuddin Hassan, pemegang Juara HDH-IAA World Historical Archery Championship 2022, kelompok pemanah tradisional lapan terbaik dunia, pemegang pingat perak World Nomad Games di Iznik, Bursa di Turkiye.Muhammad Mustaqqim Rosman, pemegang pingat emas Kejohanan Pemilihan ke Islamic Solidarity Game di Konya, Turkiye; pingat emas di Festival Pemanah Dannok Thailand 2023, dan pingat gangsa di Pateh Laga 2, Malang Indonesia 2022.
Muhammad Zarul Shafiq Zahar, pemegang pingat gangsa Festival Pemanah Dannok Thailand 2023, pingat emas Festival Memanah Tradisional Sepang 2022, dan emas Liga Memanah Selangor 2022.
Said Hawa Mohd Salleh, pemegang pingat perak di Macau 2018, pingat perak berkumpulan World Nomad Games Iznik, Bursa di Turkiye 2022, pingat emas Liga Memanah Tradisional Kebangsaan 2022, pingat emas jemputan Bintulu.
Ahmad Zulqarnain Murad, pemegang emas berkumpulan International Traditional Archery Festival 2018, emas berkumpulan ke Islamic Solidarity Game di Konya, Turkiye; perak di Dannok Archery Festival 2023.
Artikel oleh: Media Variasi
DUNIA GERUN KEHEBATAN PEMANAH MELAYU
https://mediavariasi.com/2023/01/dunia-gerun-kehebatan-pemanah-melayu/
No comments:
Post a Comment