Putrajaya: Enam tuntutan
badan bukan kerajaan (NGO) berhubung Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi
Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang didakwa memberi kesan negatif kepada
petani, nelayan dan penternak tempatan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Jaminan itu diberikan
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu selepas bertemu,
meneliti dan mengambil kira keperluan dan tuntutan NGO di pejabatnya hari ini.
Ketua Koordinator Forum
Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad berkata, Mohamad
juga memaklumkan akan berhubung lanjut dengan Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mendesak supaya ratifikasi CPTPP ditarik
balik.
"Tapi keputusan ini adalah keputusan
PM dan Kabinet, bukan MITI, jadi PM perlu respons terhadap isu ini.
"Jadi menteri juga nyatakan komitmen
untuk bawa isu tuntutan kami ini ke mesyuarat Kabinet nanti," katanya
kepada media selepas pertemuan hampir sejam bersama Mohamad.
Hadir sama, Ketua Aktivis
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pegawai
Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman.
Terdahulu Nurfitri
mewakili NGO menyerahkan memorandum yang disokong 54 organisasi antara lain
daripada organisasi petani, penternak dan nelayan serta organisasi pengguna,
alam sekitar dan ekonomi serta keusahawanan kepada Mohamad sebaik tiba di lobi
kementerian.
Mohamad kemudian
memaklumkan akan mendengar dan meneliti tuntutan terbabit sebelum beredar ke
pejabatnya.
Pada 5 Oktober lalu, MITI
memaklumkan Kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP sekali gus menyaksikan
Malaysia menjadi negara ke-9 meratifikasikan CPTPP, perjanjian perdagangan
bebas (FTA) yang dimeterai pada 8 Mac 2018.
MITI dalam satu kenyataan
berkata, selaras dengan itu, kerajaan menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR)
kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September lalu.
Selain itu Nurfitri
berkata, tujuan memorandum itu dihantar bagi mendapatkan penjelasan sama ada kementerian
sudah melaksanakan penilaian dan kajian terperinci mengenai ratifikasi CPTPP.
Beliau mendakwa, analisis
kos dan faedah yang dikeluarkan MITI tidak langsung mengkaji kesan CPTPP
terhadap petani, penternak, nelayan, usahawan sektor pertanian serta pengguna,
malah tiada penilaian kesan kepada keterjaminan makanan negara.
"Antara tuntutan kami
adalah negara-negara yang meratifikasi CPTPP wajib menyertai Konvensyen
Kesatuan Antarabangsa Bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV) 1991.
"Konvensyen ini
bertujuan memberikan perlindungan dan hak monopoli yang meluas kepada pembiak
baka tumbuhan bagi tujuan kononnya menggalakkan pelaburan dan inovasi.
"Sistem UPOV berat
sebelah dan menafikan kepentingan dan sumbangan petani. UPOV menghalang petani
melakukan inovasi dan menafikan hak tradisi petani untuk bebas berkongsi dan
menjual benih terlindung yang dituai dari ladang mereka sendiri," katanya.
Dakwanya lagi, menerusi
CPTPP, subsidi untuk nelayan boleh disekat jika seseorang nelayan menangkap
spesis ikan yang dikategorikan sebagai spesis yang berkurangan kerana terlalu
banyak ditangkap.
"Tidak ada
pengecualian berkenaan hal ini untuk nelayan kecil atau nelayan pantai.
Peraturan ini tidak adil kerana ia meletakkan kesalahan kekurangan spesis ikan
kepada nelayan kecil sedangkan punca utama kepupusan ikan adalah daripada
pencemaran dan penggunaan pukat yang diharamkan oleh bot-bot tunda yang besar.
"CPTPP memberikan 10
tahun keistimewaan perlindungan pemasaran eksklusif terhadap agrokimia yang
akan menyebabkan harga racun pertanian meningkat tiga kali ganda.
"Adalah lebih baik
supaya petani beralih kepada kaedah pertanian alami, perubahan mendadak dalam
harga racun kimia boleh menyebabkan petani gulung tikar dengan lebih
awal," katanya.
MOHAMAD SABU JAMIN BAWA ISU CPTPP KE KABINET
https://www.hmetro.com.my/utama/2023/01/921027/23-tahun-tak-rasa-nikmat-gaji
No comments:
Post a Comment