Saturday, January 7, 2023

MAT SABU JAMIN BAWA ISU RATIFIKASI CPTPP KE KABINET, KAJI KESAN TERHADAP PETANI DAN NELAYAN - SUMBERKINI - 29/12/2022

 

PUTRAJAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memberi jaminan akan membawa isu Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) ke Kabinet memandangkan ia memberi kesan kepada sektor pertanian negara.

Ketua Koordinator Forum Kedaultan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad berkata perkara tersebut dinyatakan Mohamad dalam pertemuan ketika penyerahan memorandum FKMM di kementerian pada Khamis.

“Komitmen menteri beliau akan berhubung lebih lanjut dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tapi keputusan ini adalah (dibuat) Perdana Menteri dan Kabinet bukan MITI.

“Jadi Perdana Menteri perlu respons terhadap isu ini, beliau (Mohamad) akan bawa ke Kabinet,” katanya ketika ditemui di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, di sini pada Khamis, lapor ASTRO Awani.

Terdahulu Nurfitri bersama wakil daripada 54 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan pertemuan dengan Mohamad kira-kira pukul 10.30 pagi ini.

Pertemuan hampir satu jam itu antara lain bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan berhubung kesan CPTPP terhadap petani, penternak dan nelayan di negara ini.

Nurfitri bersama wakil NGO menyerahkan memorandum terkandung enam tuntutan agar kerajaan meneliti semula ratifikasi CPTPP yang dibimbangi membawa kesan kepada sektor pertanian.

Dalam pada itu, Nurfitri berkata kerajaan diminta meneliti semula ratifikasi CPTPP kerana dikhuatiri memberikan kesan yang bakal membebankan golongan petani, penternak dan nelayan.

“Perkara paling utama yang saya rasa tidak boleh dicabar ialah berkenaan hak petani untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih.

“Walau apa sekali pun hujahnya, mereka yang bercakap berhubung import eksport tidak berhak menafikan hak tradisi petani untuk berkongsi dan menjual benih secara bebas.

“Ini kerana, CPTPP mewajibkan kita menyertai Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV 1991) iaitu konvensyen yang memberi hak monopoli kepada pembiak baka.

“Ini bermaksud, petani tidak boleh menyimpan, berkongsi benih,” katanya.

Menurutnya, memorandum terbabit mewakili suara 54 badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu kerajaan meneliti semula kesan CPTPP terhadap sektor pertanian tempatan.

Nurfitri berkata CPTPP dikhuatiri menyebabkan lambakan import susulan pemansuhan tarif dan cukai import yang terkandung dalam perjanjian itu sekali gus mengecilkan sektor pertanian tempatan.

“Pemansuhan tarif dan cukai import kepada kosong peratus ini akan menggalakkan lambakan import,” ujarnya.

Selain petani dan penternak, nelayan juga antara golongan yang bakal menerima kesan berikutan perjanjian itu, kata Nurfitri.

“Di dalam CPTPP, nelayan dilarang menangkap spesies ikan yang berkurangan terlalu banyak. Sedangkan punca kepupusan ikan ini adalah disebabkan bot tunda dan pencemaran alam,” katanya.

Artikel oleh: Sumberkini

MAT SABU JAMIN BAWA ISU RATIFIKASI CPTPP KE KABINET, KAJI KESAN TERHADAP PETANI DAN NELAYAN

https://sumberkini.my/mat-sabu-jamin-bawa-isu-ratifikasi-cptpp-ke-kabinet-kaji-kesan-terhadap-petani-dan-nelayan/?fbclid=IwAR1CYtiv-NpLe70j6nv_GRQ9IoRp8_K1XmC3BSgHpy2o_ZHNjXFILnSzfPA

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...