Wednesday, January 11, 2023

ADA PEMINJAM AH LONG TERTEKAN SAMPAI MENINGGAL DUNIA, DEDAH PPIM - MAJORITI - 10/01/2023

 

KEPERLUAN asas bagi meneruskan kehidupan adakalanya mendesak seseorang melakukan sesuatu di luar jangkaan, termasuk meminjam wang daripada pihak tertentu.

Wang hasil pinjaman itu semestinya bersifat sementara kerana lambat laun, si peminjam itu harus melangsaikan hutang tersebut.

Sekiranya wang itu dipinjam daripada ahli keluarga atau teman rapat yang boleh dipercayai, mungkin mereka boleh bertolak ansur tentang tempoh bayaran semula hutang itu selain tiada sebarang riba dikenakan.

Namun, bagaimana pula nasib si peminjam jika wang yang dipinjam itu melalui sumber daripada pihak tidak boleh dipercayai, khususnya sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long?

Untuk sesiapa yang masih belum mengetahui, ah long merupakan pihak yang meminjamkan wang kepada orang ramai dengan cara kotor, yang mana mereka akan mengenakan riba yang tinggi jika si peminjam membayar hutang secara lewat.

Jika hutang tidak dapat diselesaikan dengan kadar segera, sindiket haram itu akan memberi tekanan kepada peminjam termasuk mengugut, membelasah, membakar rumah dan melacurkan individu terbabit.

Toqqi

Perkara itu seperti dikongsikan Persatuan Pengguna Islam (PPIM), yang mendapat aduan daripada orang ramai tentang sisi gelap ah long.

Salah seorang daripada mangsa adalah kenalan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang meninggal dunia akibat tertekan dengan permainan kotor ah long ketika memaksanya membayar hutang.

Nadzim berkata, kenalannya yang dikenali sebagai Zahid (bukan nama sebenar) memulakan perniagaan sejak dari kecil hingga besar.

Meskipun tidak memperolehi pendidikan tinggi, usaha keras Zahid dalam perniagaan membuahkan hasil apabila dia dikenali sebagai individu berpengaruh, manakala kediamannya juga dirasmikan oleh salah seorang Sultan Perak.

Zahid terkena serangan jantung akibat tertekan diburu ah long. — Gambar hiasan

Namun, katanya, ahli perniagaan tidak lari daripada menanggung risiko untung rugi sehingga memaksa Zahid meminjam wang daripada ah long.

"Saya ada bantu dia lunaskan hutang sebanyak RM20,000 hingga RM30,000, tapi masalah dia membabitkan ratusan ribu ringgit.

"Dia orang hebat tapi tertekan sebab dikejar dek ah long," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di ibu pejabat PPIM dekat ibu negara pada Khamis.

Nadzim berkata, keadaan hidup Zahid semakin huru-hara apabila sindiket haram itu menampal salinan kad pengenalan miliknya di dinding pejabatnya.

Beliau berkata, keadaan itu berterusan sekiranya mangsa gagal melunaskan ansuran hutang tepat pada masanya.

"Tekanan perasaannya sampai ke tahap sakit jantung dan meninggal dunia.

"Walaupun sudah meninggal dunia dan hutang sudah habis bayar, ah long masih menuntut kereta Mercedes miliknya," katanya sambil menambah bahawa perkara itu berlaku lebih 20 tahun lepas.

Dihalau penduduk setempat

Dalam kes lain, seorang wanita dan suaminya pada mulanya menetap di sebuah rumah hasil pemberian ibu mereka di ibu negara.

Nadzim berkata, lelaki berkenaan merupakan seorang peniaga dan bertindak meminjam wang daripada ah long bagi meneruskan hidup.

Katanya, ahli sindiket itu akan membuat rondaan dan membuat kacau di kawasan kediamannya jika hutang ansuran gagal dilunaskan.

"Ini menyebabkan penduduk di situ marah dan meminta suami isteri tersebut berpindah kerana risau diganggu ah long.

"Ia menunjukkan masyarakat kita tiada ketahanan untuk melawan mahupun menentang penindasan," katanya.

Solusi tanggungjawab semua

Masjid antara institusi yang boleh membantu seseorang ketika mengalami kewangan.— Gambar hiasan

Ketika ditanya tentang solusi permasalahan ini, Nadzim berkata, pihak berwajib perlu lebih tegas manakala ia juga merupakan tanggungjawab semua pihak.

Sebagai contoh, katanya, masjid dan surau juga antara institusi kecil yang boleh menyelesaikan masalah kewangan seseorang.

Katanya, ini bagi mengelakkan riba lebih besar dikenakan kepada si penghutang.

"Kalau tak tolong nanti dikhuathiri individu terbabit pada mulanya hanya hutang ah long sebanyak RM300 sahaja, tapi jumlahnya digandakan hampir mencecah ratusan ribu ringgit. Yang penting jangan banyak birokrasi.

"Jangan lupa tanggungjawab masyarakat bukan dari satu sudut sahaja. Ini bagi mengelakkan masalah lebih besar berlaku kepada si peminjam.

"Perubahan mindset perlu dibuat semua agensi, organisasi dan rakyat dalam menangani masalah ini. Anggap masalah (ah long) ini sebagai wabak," katanya. 


Artikel oleh: Majoriti

ADA PEMINJAM AH LONG TERTEKAN SAMPAI MENINGGAL DUNIA, DEDAH PPIM

https://majoriti.com.my/berita/2023/01/10/ada-peminjam-ah-long-tertekan-sampai-meninggal-dunia-dedah-ppim

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL