Thursday, January 19, 2023

JADIKAN KANAK-KANAK SEBAGAI MODEL IKLAN VAPE SUATU EKSPLOITASI - PAKAR - MAJORITI - 17/01/2023

 

PENGGUNAAN rokok elektronik atau vape dilihat semakin membimbangkan apabila penjualannya tumbuh ibarat cendawan dan semakin laris.

Tambahan pula, penjualannya dalam talian tanpa kawalan memudahkan masyarakat tanpa mengira peringkat umur membeli rokok elektronik.

Lebih merisaukan, budaya menghisap vape atau vaping sudah menjadi kelaziman dan norma baharu kepada perokok dan bekas perokok yang sudah meninggalkan rokok tembakau.

Baru-baru ini, iklan kanak-kanak dan remaja bawah umur giat mempromosikan vape di media sosial menjadi tular dan mendapat kecaman orang ramai.

Lebih teruk, ada di kalangan remaja terbabit dilihat memakai tudung, sekali gus seolah-olah mencemarkan agama Islam.

Antara yang meluahkan rasa kecewa adalah seorang pengamal perubatan tempatan, Dr. Arisman Wenge Abd Rahman menerusi laman Facebook peribadinya, Dr. Arisman, MD.

Beliau berkata, perbuatan itu bukanlah satu jenaka, sebaliknya merupakan satu jenayah.

Lantaran itu, beliau meminta menteri dan pemimpin di negara ini supaya memandang perkara tersebut sebagai serius kerana boleh memudaratkan kesihatan mental dan fizikal.

1885377

Fauziah

Turut tampil mengulas tentang perkara itu adalah adalah Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad.

Dr Fauziah menganggap, tindakan menjadikan kanak-kanak atau remaja bawah umur sebagai model vape merupakan perkara tidak wajar dan suatu eksploitasi.

Beliau berkata, ia bukan sahaja memberi imej tidak baik, malah turut memberi kesan kepada ekosistem hidup kanak-kanak tersebut termasuk ibu bapa, sekolah dan sebagainya.

"Kalau di Malaysia, hisap rokok dan vape dalam kalangan kanak-kanak memang salah.

"Tapi kalau kanak-kanak atau remaja itu boleh uruskan segalanya dan tak beri kesan kepada kesihatan mental maka ia akan menjadi okey.

"Namun, memang salah kalau keluarga yang mengeksploitasi kanak-kanak tersebut untuk memberi kebaikan kepada mereka," katanya kepada Majoriti.

file7ngfwqowx7p1bzh2f7f0

Nadzim

Sementara itu, Datuk Nadzim Johan berkata, siaran iklan yang sepatutnya diurus tadbir oleh pemilik media ketika ini dilihat seolah-olah tiada kawalan.

Lantaran itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Malaysia (PPIM) tersebut berharap agar wujudnya garis panduan yang jelas buat peniaga di mana-mana platform, termasuk di media sosial dan media cetak bagi menyiarkan sebarang iklan.

"Ini penting untuk membantu masyarakat mengurus tadbir apa-apa iklan.

"Kita juga berharap agar Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menguruskan garis panduan yang jelas tentang iklan yang disiarkan," tambahnya. — Majoriti


Artikel oleh: Majoriti

JADIKAN KANAK-KANAK SEBAGAI MODEL IKLAN VAPE SUATU EKSPLOITASI - PAKAR

https://majoriti.com.my/berita/2023/01/17/jadikan-kanak-kanak-sebagai-model-iklan-vape-suatu-eksploitasi---pakar

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL