Saturday, January 7, 2023

MOHAMAD SABU AKAN BAWA ISU CPTPP KE KEBINET - BULETIN TV3 - 29/12/2022

 

PUTRAJAYA: Enam tuntutan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang didakwa memberi kesan negatif kepada petani, nelayan dan penternak tempatan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Jaminan itu diberikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu kepada wakil NGO terdiri daripada organisasi petani, penternak dan nelayan serta organisasi pengguna, alam sekitar dan ekonomi serta keusahawanan selepas sesi perjumpaan di sini hari ini.

Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) berkata, dalam pertemuan kira-kira hampir sejam di pejabat menteri itu, Mohamad turut bersetuju untuk membincangkan lebih lanjut isu berkenaan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

“Komitmen menteri (Mohamad), beliau akan berhubung lebih lanjut dengan MITI tapi keputusan adalah daripada Perdana Menteri dan Kabinet, bukan MITI. Jadi Perdana Menteri perlu respons terhadap isu ini. Beliau (Mohamad) akan bawa (isu ini) ke kabinet,” katanya yang ditemui pemberita di lobi kementerian di sini hari ini.

Terdahulu, sebelum sesi pertemuan, Nurfitri Amir menyerahkan memorandum yang disokong 54 organisasi kepada Mohamad di lobi kementerian, bagi mendapatkan penjelasan sama ada kementerian telah melaksanakan penilaian dan kajian terperinci mengenai ratifikasi CPTPP.

Beliau mendakwa, analisis kos dan faedah yang dikeluarkan MITI tidak langsung mengkaji kesan CPTPP terhadap petani, penternak, nelayan, usahawan sektor pertanian serta pengguna, malah tiada penilaian kesan kepada keterjaminan makanan negara.

“Antara tuntutan dalam memorandum ini adalah negara-negara yang meratifikasi CPTPP wajib menyertai Konvensyen Kesatuan Antarabangsa Bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV) 1991. Konvensyen ini bertujuan untuk memberikan perlindungan dan hak monopoli yang meluas kepada pembiak baka tumbuhan bagi tujuan kononnya menggalakkan pelaburan dan inovasi.

“Sistem UPOV berat sebelah dan menafikan kepentingan dan sumbangan petani. UPOV menghalang petani melakukan inovasi dan menafikan hak tradisi petani untuk bebas berkongsi dan menjual benih terlindung yang dituai dari ladang mereka sendiri,” katanya.

Dakwanya lagi, menerusi CPTPP, subsidi untuk nelayan boleh disekat jika seseorang nelayan menangkap spesis ikan yang dikategorikan sebagai spesis yang berkurangan kerana terlalu banyak ditangkap.

Beliau mendakwa, peraturan itu tidak adil kerana ia meletakkan kesalahan kekurangan spesis ikan kepada nelayan kecil, sedangkan punca utama kepupusan ikan adalah daripada pencemaran dan penggunaan pukat yang diharamkan oleh bot-bot tunda yang besar.

“CPTPP memberikan 10 tahun keistimewaan perlindungan pemasaran eksklusif terhadap agrokimia yang akan menyebabkan harga racun pertanian meningkat tiga kali ganda. Walaupun adalah lebih baik supaya petani beralih kepada kaedah pertanian alami, tapi perubahan mendadak dalam harga racun kimia boleh menyebabkan petani gulung tikar lebih awal.

“Penternak pula akan menanggung kos ubatan veterinar yang lebih mahal akibat daripada undang-undang harta intelek yang lebih ketat berdasarkan bab Harta Intelek dalam teks perjanjian ini,” dakwanya.

Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.

Pada 5 Oktober lalu, MITI berkata, Kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP sekaligus menyaksikan Malaysia menjadi negara ke-9 telah meratifikasikan CPTPP, perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai pada 8 Mac 2018.

MITI dalam satu kenyataan berkata, selaras dengan itu, kerajaan telah menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September lalu.

Mohamad yang ditemui selepas menerima memorandum itu berkata, kementerian akan meneliti setiap tuntutan tersebut.

“Saya akan mendengar secara teliti apa tuntutan mereka dan apa yang diperlukan,” katanya ringkas.

Artikel oleh: Buletin TV3

MOHAMAD SABU AKAN BAWA ISU CPTPP KE KEBINET


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...