Tuesday, January 31, 2023

KENAPA TIDAK DIHAPUSKAN BANKRAP SEBELUM 2017? - KENYATAAN MEDIA PPIM - 31/01/2023

KUALA LUMPUR, 31 Januari, 2023 - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius nasib mereka yang dihukum bankrap sebelum tahun 2017 yang seolah-olah dinafikan hak mereka berikutan langkah penambahbaikan dalam pindaan Akta Insolvensi pada tahun 2017.

PPIM menyambut baik dan mengucapkan terima kasih diatas keprihatinan kerajaan dalam membela nasib mereka yang telah dibankrapkan. Sebelum ini, mereka yang bankrap seolah-olah tidak mempunyai masa depan dan terus akan berada dalam keadaan tidak diberikan pengupayaan untuk bangkit semula.

Mengambil kesempatan di atas pelantikan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) yang baharu iaitu Tuan M. Bakri bin Abd Majid dan pelantikan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato' Sri Azalina Othman Said, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ingin membuat gesaan agar “Isu Kebankrapan” diberi perhatian sewajarnya.

Khususnya golongan belia dan warga emas yang bankrap sehingga ada yang kini masih bankrap walaupun berumur 75 tahun. Berbanding golongan bankrap yang dijatuhi hukuman bankrap selepas Oktober 2017 – mereka ini menerima beberapa penambahbaikan dalam pindaan Akta Insolvensi pada tahun 2017. Sebagai contoh peruntukan Seksyen 33C – Pelepasan Automatik selepas 3 tahun bankrap dan 8 pindaan lain dalam akta pada tahun 2017 tersebut.

Namun golongan yang bankrap sebelum tahun 2017 biasanya perlu menunggu sehingga 15 tahun pentadbiran kes di Jabatan Insolvensi Malaysia – sebelum mereka layak memohon bebas bankrap.

Oleh itu, PPIM menggesa agar KPI dan YB Dato' Sri Azalina Othman Said dapat melakukan sesuatu terhadap golongan bankrap ini.

PPIM berharap pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dapat memberi perhatian serius terhadap segala perkara yang diutarakan di atas.

Kami juga percaya kepada kebijaksaan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato' Sri Azalina Othman Said kerana Yang Berhormat adalah orang yang bertanggungjawab menambahbaik Akta Insolvensi 1967 pada tahun 2017. Saya yakin YB Dato' Sri Azalina Othman Said bersama KPI Tuan M. Bakri bin Abd Majid boleh memperbaiki Akta Insolvensi 1967 menjadi lebih baik.

Seharusnya golongan belia yang bankrap diberi peluang kedua untuk bebas bankrap. Manakala golongan warga emas pula perlu dibebaskan secara automatik kerana faktor umur dan kesihatan mereka.

Dunia dilaporkan akan mengalami kemelesatan ekonomi bermula tahun 2023 ini. Dengan terlaksananya Agenda CPTPP nanti, maka ekonomi Malaysia akan dijajah oleh kuasa gergasi ekonomi luar. Lebih ramai peniaga dan usahawan Malaysia akan gulung tikar.

Kami percaya langkah ini akan dapat membantu hasrat Kerajaan Perpaduan dalam melahirkan gagasan masyarakat Madani yang diimpikan. Oleh itu, sebaiknya Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) ini menjadi pelindung kepada bakal-bakal individu bankrap. Wallahu a'lam.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL