Monday, January 9, 2023

PEMUDA LEGA TERLEPAS CENGKAMAN HUTANG AH LONG, PUNCA PINJAM SEBAB NAK MOVE ON PUTUS CINTA... KINI BINA HIDUP BAHARU - mSTAR - 05/01/2023

 

PENGALAMAN seorang pemuda yang terpaksa hidup berhutang setelah terjebak dengan ahli sindiket pinjaman wang menjadi inspirasi dan iktibar pengguna di 

Ketika dihubungi mStar, Nurman Hakim, 26, berkata pada 2018, dia mula terjebak dengan Ah Long gara-gara putus cinta ketika umurnya hanya 21 tahun, selain pengaruh rakan-rakan ketika bekerja sebagai polis bantuan sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. 

"Ketika itu saya rasa putus asa dengan cinta. Lebih-lebih lagi apabila bercinta dengan seseorang yang bekerja di dalam satu bangunan yang sama. "Memang sakit apabila tengah bekerja, nampak pula lelaki lain hantar dan bawa dia pulang dari kerja. "Jadi, saya pilih untuk bawa diri jauh-jauh sebentar dan cuti tanpa gaji selama dua minggu," ujarnya. 

Pemuda yang berasal dari Serdang, Selangor itu berkata walaupun cuba untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa, perasaan dendamnya terhadap wanita tersebut tetap ada. 

Justeru dia membeli sebuah motosikal Yamaha YZF-R25 dengan melalui pinjaman penuh, semata-mata mahu membuktikan dirinya jauh lebih baik berbanding teman lelaki bekas kekasihnya.
 
Nurman bagaimanapun perlu membayar kira-kira RM2,000 menggunakan wangnya sendiri untuk mendapatkan motosikal tersebut tetapi duitnya tidak mencukupi akibat cuti tanpa gaji yang diambil pada bulan lalu, sekali gus mendorongnya meminjam wang daripada Ah Long. 

"Disebabkan saya terlalu muda dan masih 'mentah', saya terjebak dengan bukannya satu Ah Long, tapi sampai dua.
 
"Gaji bersih RM2,300, bayar Ah Long sampai RM2,000. Baki tinggal RM300 untuk hidup. Bayar motosikal pun RM480 setiap bulan, jiwa memang serabut," katanya. 

Motosikal yang dibeli menggunakan pinjaman wang Ah Long

Bagi menampung kos perbelanjaan harian, Nurman bertukar-tukar kerja sambilan termasuklah di kedai serbaneka 7Eleven Serdang, syarikat pemasaran berbilang aras (MLM) yang tidak dinamakan dan juga sebagai 'bouncer' kelab malam bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman pengunjung agar tidak timbulkan kekecohan atau pergaduhan. 

Dalam pada itu, walaupun bekerja 20 jam sehari, hutang Ah Long yang terkumpul mencecah lebih RM2,000, mengakibatkan duitnya berbaki kurang dari RM200 sahaja.
 
Nurman juga mendapat tawaran kerja di McDonald's Jalan Silang, Kuala Lumpur tetapi akhirnya berhenti kerana keletihan, dan apa yang berlaku membuatkan ahli keluarganya mula mempersoal keadaan hidupnya. 

"Keluarga saya pun dah pelik, ada sampai dua kerja tapi masih tak ada duit," katanya. 

Apabila dia menceritakan apa yang berlaku, keluarganya sangat sedih dan membantu Nurman menyelesaikan masalah hutang dengan pihak ahli sindiket tersebut. 

Dia juga telah memperoleh bantuan sebanyak RM8,000 daripada Persatuan Penggunaan Islam Malaysia (PPIM) dan ibunya mengeluarkan wang simpanan untuk membantunya membayar semula duit Ah Long berjumlah RM13,000.
 
Nurman bekerja dengan Grab Food sebagai rider ketika PKP

Kemudian, pada akhir 2019, dia memulakan pekerjaan baharu sebagai rider GrabFood dan juga pemandu GrabCar di kawasan Putrajaya dan Nilai kira-kira setahun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Selepas itu, pada 2021, Nurman menjual motosikal miliknya kerana dia tetap perlu membayar secara bulanan walaupun kerap berada di bengkel akibat rosak beberapa kali akibat kemalangan. 

Nurman juga sedar bahawa pilihannya untuk membeli motosikal itu kurang berkat kerana dibeli tanpa restu ahli keluarga dan menggunakan duit pinjam Ah Long. 

Pada masa itu Nurman berada di Johor kerana mendapat tawaran menjadi polis bantuan di Bangunan Sultan Iskandar. 

Dia kemudian memutuskan untuk berpindah semula ke Kuala Lumpur kerana perlu menghadiri temu duga Konstabel Polis Gred YA1 setiap minggu.

Nurman kini bekerja sebagai seorang anggota polis

Perkongsian Nurman tentang kisah ini telah meraih lebih sejuta tontonan di TikTok. 

Setelah lama hidup dalam pelbagai masalah, kini Nurman bebas dari hutang dan berjaya mendapat kerja sebagai anggota polis di Pasukan Simpanan Perseketuan (FRU) Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 2022. 

Apabila Nurman memperoleh kerja hakiki dia lega apabila hutang motosikalnya sebelum ini telah dilangsaikan dan akhirnya berpeluang membeli motosikal terpakai untuk keperluan harian. 

"Umur muda tapi dah terjebak dengan dunia yang hitam. Kawan-kawan semua dah berjaya dalam pelajaran dan kerjaya. 

"Tapi saya umur 21 tahun dah hadap semua ini.
 
"Alhamdulillah, 2022 dapatlah bangun mencari kehidupan yang baru. Hutang pun dah tak ada, rasa sangat lega," katanya. 

Nurman berkata yang dia ingin meninggalkan kisah silamnya sebelum ini dan memulakan kehidupan baharu sebagai azam 2023. 

"Andai kita jatuh, kita takkan selamanya jatuh. Kalau menangis, menangislah sepuasnya dan kemudian bangkit semula. 

"Tuhan sentiasa dengar doa hambaNya," ujarnya.

Antara komen netizen di TikTok

Pemuda itu turut berterima kasih dengan keluarga, sahabat-sahabatnya yang sentiasa memberi sokongan dari segi mental ketika dia dalam kesusahan. 

Video yang tular di TikTok itu meraih lebih 1 juta tontonan, dan 37,000 tanda suka. 

Ramai netizen turut berkongsi pengalaman mereka meminjam wang daripada Ah Long, dan memuji usaha Nurman untuk memperbaiki hidupnya hari demi hari.

Artikel oleh: mStar

PEMUDA LEGA TERLEPAS CENGKAMAN HUTANG AH LONG, PUNCA PINJAM SEBAB NAK MOVE ON PUTUS CINTA... KINI BINA HIDUP BAHARU


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL