Showing posts with label MSTAR. Show all posts
Showing posts with label MSTAR. Show all posts

Thursday, September 17, 2026

JANGAN TUNGGU ADA KES MATI! SUDAH TIBA MASA HERET PLATFORM MEDIA SOSIAL JADI MEDIUM JUAL DADAH 'PIU PIU' - MSTAR - 15/09/2026

 

JUALAN cecair vape yang dicampur bahan terlarang kini semakin meruncing apabila ia direka sedemikian rupa untuk mudah 'menyelinap' ke tangan golongan muda menerusi platform dalam talian.

Lebih membimbangkan, bahan terlarang yang dikenali sebagai 'piu piu' ini didakwa sangat mudah diakses oleh pelajar sekolah dan remaja, sekali gus mencetuskan ancaman serius terhadap keselamatan serta masa depan generasi muda.

Justeru, penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice, serta Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, menggesa tindakan lebih tegas diambil terhadap platform media sosial yang didakwa menjadi saluran kepada penjualan produk berkenaan.

Menurut Caprice, platform media sosial perlu dipertanggungjawabkan kerana mempunyai teknologi dan keupayaan untuk mengesan serta menyekat kandungan tertentu yang melanggar garis panduan.

"Kita kena tegas mendesak platform-platform ini agar lebih bertanggungjawab. Platform media sosial ini makin lama makin canggih, pengesanan wajah (face detection) dan sebagainya.

"Bagi sesetengah platform, jika guna perkataan tertentu, ia mudah sahaja untuk diturunkan atau disekat atas faktor hate speech.

"Tetapi bagaimana produk haram jadah boleh diniagakan secara dalam talian? Kita perlu beri tekanan kepada kerana mereka perlu bertanggungjawab," katanya.

Caprice menggesa ibu bapa tampil ke depan untuk memberi tekanan kepada platform media sosial.

Caprice berkata, pendekatan sama seperti yang pernah digunakan dalam kes di Amerika Syarikat mungkin boleh dipertimbangkan bagi memastikan syarikat pengendali platform tidak terlepas daripada tanggungjawab.

Penyanyi rap itu merujuk kepada saman yang difailkan oleh 29 negeri di Amerika Syarikat terhadap Meta berhubung ciri-ciri di Facebook dan Instagram yang memudaratkan kanak-kanak, hingga akhirnya membawa kepada syarikat teknologi itu membuat penyelesaian bernilai sehingga AS$16.7 bilion (RM65 bilion).

Mengulas lanjut, Caprice menekankan bahawa usaha membanteras ancaman ini turut memerlukan keberanian daripada pihak ibu bapa, terutamanya mereka yang anaknya pernah terjebak.

"Kadang-kadang ibu bapa malu sebab anak dia ambil 'piu piu'. Susah sebenarnya nak yakinkan mak ayah untuk tampil ke depan.

"Kita perlukan mangsa untuk ke depan supaya kita boleh tekan platform bagi menyelamatkan anak muda.

"Jadi apa yang kita nak lawan ini adalah sekat saluran, sebab saluran iaitu platform itu yang bertanggungjawab," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPIM, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Nadzim berkata, usaha membanteras penjualan dadah secara dalam talian perlu dilakukan secara menyeluruh dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk ahli politik, pihak berkuasa, ibu bapa, sekolah dan masyarakat.

"Kita kena go all out. Dapatkan sokongan ahli politik. Kita ada lebih 200 Ahli Parlimen, apabila sama-sama bekerja, ia akan ada kuasa tambahan yang boleh membantu banteras isu ini," katanya.

Ujar Nadzim, kaedah membanteras penjualan dadah secara dalam talian juga perlu dilihat daripada sudut berbeza berbanding kegiatan pengedaran secara fizikal.

"Kalau dadah, polis serbu rumah atau lokasi. Kalau jual secara dalam talian, macam mana pula nak cari culprit?

"Culprit dia adalah platform. Jadi kena serbu platform," katanya.

Nadzim berpendapat penglibatan ahli politik begitu signifikan bagi membanteras penjualan vape 'piu piu' dalam platform media sosial. 

Nadzim turut mempersoalkan keperluan menunggu sehingga laporan dibuat atau lebih buruk, sehingga berlaku kematian, sebelum tindakan lebih tegas diambil terhadap platform yang menjadi medium penjualan.

"Mereka (platform) kata tiada aduan dan sebagainya. Takkan kita perlu tunggu orang buat laporan, tunggu orang mati? Kita kena heret mereka," tegasnya.

Sementara itu Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar dilaporkan berkata, lebih 6,500 kandungan berkaitan penjualan dadah secara haram dalam talian telah diturunkan daripada platform media sosial sepanjang tahun ini.

Difahamkan, kadar pematuhan pengendali platform untuk menurunkan kandungan berkaitan narkotik ialah 100 peratus bagi Telegram, TikTok mencapai 99 peratus manakala Facebook pula 92 peratus.

Katanya lagi, tanggungjawab pengendali platform kini semakin penting menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang menggariskan sembilan bentuk kemudaratan, termasuk penjualan dadah dalam talian.

Katanya, platform juga perlu memperincikan tindakan yang diambil bagi memastikan kandungan berkaitan tidak dapat diakses pengguna di negara ini menerusi pelan keselamatan dalam talian masing-masing.

Artikel oleh: mStar

JANGAN TUNGGU ADA KES MATI! SUDAH TIBA MASA HERET PLATFORM MEDIA SOSIAL JADI MEDIUM JUAL DADAH 'PIU PIU'

https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2026/09/15/jangan-tunggu-ada-kes-mati-sudah-tiba-masa-heret-platform-media-sosial-jadi-medium-jual-dadah-piu-piu

Monday, January 9, 2023

PEMUDA LEGA TERLEPAS CENGKAMAN HUTANG AH LONG, PUNCA PINJAM SEBAB NAK MOVE ON PUTUS CINTA... KINI BINA HIDUP BAHARU - mSTAR - 05/01/2023

 

PENGALAMAN seorang pemuda yang terpaksa hidup berhutang setelah terjebak dengan ahli sindiket pinjaman wang menjadi inspirasi dan iktibar pengguna di 

Ketika dihubungi mStar, Nurman Hakim, 26, berkata pada 2018, dia mula terjebak dengan Ah Long gara-gara putus cinta ketika umurnya hanya 21 tahun, selain pengaruh rakan-rakan ketika bekerja sebagai polis bantuan sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. 

"Ketika itu saya rasa putus asa dengan cinta. Lebih-lebih lagi apabila bercinta dengan seseorang yang bekerja di dalam satu bangunan yang sama. "Memang sakit apabila tengah bekerja, nampak pula lelaki lain hantar dan bawa dia pulang dari kerja. "Jadi, saya pilih untuk bawa diri jauh-jauh sebentar dan cuti tanpa gaji selama dua minggu," ujarnya. 

Pemuda yang berasal dari Serdang, Selangor itu berkata walaupun cuba untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa, perasaan dendamnya terhadap wanita tersebut tetap ada. 

Justeru dia membeli sebuah motosikal Yamaha YZF-R25 dengan melalui pinjaman penuh, semata-mata mahu membuktikan dirinya jauh lebih baik berbanding teman lelaki bekas kekasihnya.
 
Nurman bagaimanapun perlu membayar kira-kira RM2,000 menggunakan wangnya sendiri untuk mendapatkan motosikal tersebut tetapi duitnya tidak mencukupi akibat cuti tanpa gaji yang diambil pada bulan lalu, sekali gus mendorongnya meminjam wang daripada Ah Long. 

"Disebabkan saya terlalu muda dan masih 'mentah', saya terjebak dengan bukannya satu Ah Long, tapi sampai dua.
 
"Gaji bersih RM2,300, bayar Ah Long sampai RM2,000. Baki tinggal RM300 untuk hidup. Bayar motosikal pun RM480 setiap bulan, jiwa memang serabut," katanya. 

Motosikal yang dibeli menggunakan pinjaman wang Ah Long

Bagi menampung kos perbelanjaan harian, Nurman bertukar-tukar kerja sambilan termasuklah di kedai serbaneka 7Eleven Serdang, syarikat pemasaran berbilang aras (MLM) yang tidak dinamakan dan juga sebagai 'bouncer' kelab malam bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman pengunjung agar tidak timbulkan kekecohan atau pergaduhan. 

Dalam pada itu, walaupun bekerja 20 jam sehari, hutang Ah Long yang terkumpul mencecah lebih RM2,000, mengakibatkan duitnya berbaki kurang dari RM200 sahaja.
 
Nurman juga mendapat tawaran kerja di McDonald's Jalan Silang, Kuala Lumpur tetapi akhirnya berhenti kerana keletihan, dan apa yang berlaku membuatkan ahli keluarganya mula mempersoal keadaan hidupnya. 

"Keluarga saya pun dah pelik, ada sampai dua kerja tapi masih tak ada duit," katanya. 

Apabila dia menceritakan apa yang berlaku, keluarganya sangat sedih dan membantu Nurman menyelesaikan masalah hutang dengan pihak ahli sindiket tersebut. 

Dia juga telah memperoleh bantuan sebanyak RM8,000 daripada Persatuan Penggunaan Islam Malaysia (PPIM) dan ibunya mengeluarkan wang simpanan untuk membantunya membayar semula duit Ah Long berjumlah RM13,000.
 
Nurman bekerja dengan Grab Food sebagai rider ketika PKP

Kemudian, pada akhir 2019, dia memulakan pekerjaan baharu sebagai rider GrabFood dan juga pemandu GrabCar di kawasan Putrajaya dan Nilai kira-kira setahun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Selepas itu, pada 2021, Nurman menjual motosikal miliknya kerana dia tetap perlu membayar secara bulanan walaupun kerap berada di bengkel akibat rosak beberapa kali akibat kemalangan. 

Nurman juga sedar bahawa pilihannya untuk membeli motosikal itu kurang berkat kerana dibeli tanpa restu ahli keluarga dan menggunakan duit pinjam Ah Long. 

Pada masa itu Nurman berada di Johor kerana mendapat tawaran menjadi polis bantuan di Bangunan Sultan Iskandar. 

Dia kemudian memutuskan untuk berpindah semula ke Kuala Lumpur kerana perlu menghadiri temu duga Konstabel Polis Gred YA1 setiap minggu.

Nurman kini bekerja sebagai seorang anggota polis

Perkongsian Nurman tentang kisah ini telah meraih lebih sejuta tontonan di TikTok. 

Setelah lama hidup dalam pelbagai masalah, kini Nurman bebas dari hutang dan berjaya mendapat kerja sebagai anggota polis di Pasukan Simpanan Perseketuan (FRU) Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 2022. 

Apabila Nurman memperoleh kerja hakiki dia lega apabila hutang motosikalnya sebelum ini telah dilangsaikan dan akhirnya berpeluang membeli motosikal terpakai untuk keperluan harian. 

"Umur muda tapi dah terjebak dengan dunia yang hitam. Kawan-kawan semua dah berjaya dalam pelajaran dan kerjaya. 

"Tapi saya umur 21 tahun dah hadap semua ini.
 
"Alhamdulillah, 2022 dapatlah bangun mencari kehidupan yang baru. Hutang pun dah tak ada, rasa sangat lega," katanya. 

Nurman berkata yang dia ingin meninggalkan kisah silamnya sebelum ini dan memulakan kehidupan baharu sebagai azam 2023. 

"Andai kita jatuh, kita takkan selamanya jatuh. Kalau menangis, menangislah sepuasnya dan kemudian bangkit semula. 

"Tuhan sentiasa dengar doa hambaNya," ujarnya.

Antara komen netizen di TikTok

Pemuda itu turut berterima kasih dengan keluarga, sahabat-sahabatnya yang sentiasa memberi sokongan dari segi mental ketika dia dalam kesusahan. 

Video yang tular di TikTok itu meraih lebih 1 juta tontonan, dan 37,000 tanda suka. 

Ramai netizen turut berkongsi pengalaman mereka meminjam wang daripada Ah Long, dan memuji usaha Nurman untuk memperbaiki hidupnya hari demi hari.

Artikel oleh: mStar

PEMUDA LEGA TERLEPAS CENGKAMAN HUTANG AH LONG, PUNCA PINJAM SEBAB NAK MOVE ON PUTUS CINTA... KINI BINA HIDUP BAHARU


Friday, June 24, 2022

TAK PERLU VIRAL DULU, PPIM SEDIA RUANG ADUAN GUNA APLIKASI... TERUS HANTAR BULTI VIDEO DAN FOTO - MSTAR - 17/06/2022

 

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memang cukup terkenal dengan kelantangan mereka dalam membantu pengguna yang teraniaya, namun usaha itu tidak terhenti di situ.

PPIM mengorak langkah apabila membangunkan aplikasi mudah alih diberi nama YAKIN sebagai sebuah one stop centre dengan pelbagai perkhidmatan dan fitur menarik.

Antara perkhidmatan sinonim dengan PPIM adalah aduan hal ehwal pengguna yang membolehkan pengguna membuat aduan terus menerusi aplikasi itu serta memuat naik bahan bukti seperti gambar atau video dalam laporan mereka.

Presiden dan ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, meskipun ia bukan perkara baharu buat PPIM, namun fitur terbaharu dalam aplikasi itu memudahkan pengguna membuat aduan selain tindakan lebih cepat daripada pihaknya.

"Seperti biasa aduan yang paling banyak kita terima adalah seperti menjadi mangsa ahlong atau ceti haram, berkaitan aktiviti scammer, penipuan atau pun disenarai hitam oleh bank dan sebagainya.

ICN07030-4
YAKIN dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Adham Baba.

"Dengan adanya fitur ini, pengguna boleh terus membuat aduan mereka dan kami menjangkakan akan mendapat pelbagai aduan menerusinya," katanya.

Nadzim ditemui pada majlis pelancaran aplikasi itu yang dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba di Petaling Jaya pada Khamis.

YAKIN adalah kolaboraasi PPIM bersama Crescent Digital Sdn Bhd (Crescent Digital) yang membangunkan aplikasi itu.

Selain itu, YAKIN yang boleh dimuat turun secara percuma turut memperkenalkan beberapa fitur lain seperti sumbangan derma kepada saluran sahih dan berdaftar, informasi terkini PPIM serta modul ibadah termasuklah waktu solat, kiblat, doa harian, tasbih dan pelbagai lagi.

Antara yang menarik, pengguna aplikasi YAKIN dapat memilih laungan azan oleh artis terkenal tanahair iaitu Black Hanifah selain tetapan notifikasi waktu solat yang boleh didapati secara eksklusif melalui aplikasi tersebut.

Nadzim Johan berkata, aplikasi ini bukan sahaja mensasarkan pengguna malah ia dibangunkan dengan matlamat untuk membantu perniagaan yang ingin mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka secara khusus dan efisien.

Nadzim berkata, pihaknya yakin aplikasi itu dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia bersesuaian dengan misi PPIM iaitu melaksanakan tuntutan fardu kifayah membabitkan kepentingan pengguna dan perniagaan Islam melalui tindakan proaktif dan berstrategi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Digital, Nina Alyssa pula memberitahu pihaknya juga sedang merancang untuk memperkenalkan lebih banyak fitur di dalam aplikasi YAKIN merangkumi direktori perniagaan Islam, direktori scammers, tinjauan atau survey, e-Dagang dan lain-lain di fasa akan datang.

Kolaborasi ini kata Nina, dapat membina sebuah ekosistem inovasi bagi membangunkan produk tempatan serta pemangkin kepada ekonomi digital Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh rantau Asia Tenggara.


Artikel oleh: MSTAR

TAK PERLU VIRAL DULU, PPIM SEDIA RUANG ADUAN GUNA APLIKASI… TERUS HANTAR BULTI VIDEO DAN FOTO

https://www.mstar.com.my/xpose/i-suke/2022/06/17/tak-perlu-viral-dulu-ppim-sedia-ruang-aduan-guna-aplikasi-terus-hantar-bukti-video-dan-foto

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL