Saturday, January 7, 2023

PPIM CADANG TUBUH LEMBAGA UNGGAS - SINAR HARIAN - 07/01/2023

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan kerajaan menubuhkan Lembaga Unggas supaya dapat menangani segera masalah bekalan telur ketika ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu telah berlanjutan terlalu lama, maka tiada alasan lagi untuk kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memerlukan masa lagi.

“Isu bekalan telur ini dah berlarutan bertahun-tahun. Saya yakin menteri baharu, namun kakitangannya orang lama tahu punca masalah, jadi kita harap perkara ini dapat ditangani secepat mungkin.

“Yang patut dibuat segera adalah menubuhkan Lembaga Unggas kerana dilihat perkara ini dipandang enteng, memang perlukan masa namun perlu disegerakan,” katanya selepas sidang akhbar pada Jumaat.

Pada Khamis, media melaporkan kerajaan memerlukan masa dalam usaha untuk menstabilkan bekalan telur di pasaran agar bahan mentah itu sentiasa mencukupi selain mampu menampung keperluan rakyat di negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya sedang menjalankan pelbagai langkah untuk menangani krisis bekalan telur ketika ini termasuk dengan membawa masuk telur import.

Kerajaan perlu sedia langkah jangka pendek hadapi musim perayaan - Fomca

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meminta kerajaan supaya bersedia dengan langkah jangka pendek bagi memastikan kestabilan bekalan telur di dalam negara terutamanya menjelang tempoh perayaan beberapa bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Saravanan Thambirajah berkata, antaranya termasuk kemasukan telur import mencukupi bagi menstabilkan bekalan bahan termasuk dan seterusnya mengelakkan sebarang kenaikan harga membebankan rakyat.


“Kerajaan perlu aktif dalam mengimport daripada negara lain secepat mungkin. Jangan tunggu sampai dah terlambat kerana kita tahu dalam masa terdekat ini akan ada sambutan Tahun Baharu Cina dan kemudian disusuli dengan Hari Raya Aidilfitri.

“Dalam tempoh terdekat juga negara akan melalui cuti sekolah yang panjang. Jadi pastinya permintaan terhadap telur ini akan meningkat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Saravanan berkata, beliau mengakui usaha menstabilkan bahan makanan tersebut sememangnya memerlukan masa kerana ia melibatkan proses rantaian pengeluaran terdiri daripada pelbagai aspek termasuk tempoh pembesaran ayam dan harga makanan haiwan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, meskipun bekalan telur dalam negara ketika ini dilihat agak terkawal, namun kerajaan perlu bersedia dengan sebarang langkah campur tangan di peringkat pengguna bagi mengelakkan sebarang pembelian panik yang berpotensi meningkatkan harga telur.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM CADANG TUBUH LEMBAGA UNGGAS 

https://www.sinarharian.com.my/article/239389/berita/nasional/ppim-cadang-tubuh-lembaga-unggas

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL