Kuala Lumpur: Tindakan seorang wanita bertudung
memegang tin dipercayai minuman keras boleh menimbulkan fitnah dan buruk sangka
sekali gus mencemarkan imej wanita Muslim dan agama Islam.
Pendakwah Ahmad Dusuki Abdul Rani berkata,
seseorang yang melakukan kemaksiatan seharusnya menyembunyikan dan tidak
bermegah dengan perkara itu.
"Sebenarnya walaupun tidak minum (minuman
keras) tetapi tidak boleh buat (memegang) kerana menimbulkan fitnah yang
menyebabkan berlaku buruk sangka orang apatah lagi meminumnya.
"Kalau minum, itu menunjukkan tindakan
melampau dan ingkar perintah Allah SWT kerana kita dilarang membuat maksiat
(meminum minuman keras).
"Kalau buat maksiat jangan tunjuk, namun ia
tidak bermakna menyokong tetapi maksiat tak boleh dimegahkan dan tunjuk di
khalayak ramai sebab dikhuatiri mempengaruhi orang lain," katanya ketika
dihubungi bagi mengulas video tular yang memaparkan seorang wanita bertudung
dan berpakaian seperti baju kurung memegang tin arak.
Mengulas lanjut, Ahmad Dusuki berkata, seseorang itu
tidak seharusnya ada rasa sombong dan ego dengan maksiat yang dilakukan dengan
mempamerkannya sedangkan Allah SWT sudah menyembunyikan aib mereka.
"Bertudung adalah satu kebaikan (menutup
aurat) tetapi melakukan perkara itu, menunjukkan tin minuman keras, ia
menimbulkan fitnah walaupun kita tidak tahu dia minum atau tidak," katanya
sambil menambah mempengaruhi orang lain melakukan larangan agama juga adalah
berdosa.
Terdahulu, satu rakaman video wanita memakai baju
kurung dan bertudung sambil memegang tin minuman keras dipercayai di sebuah
pusat hiburan tular di media sosial hingga mendapat perhatian warganet.
Video berdurasi 16 saat itu turut memaparkan
beberapa individu lelaki dan perempuan termasuk ada yang turut bertudung menari
mengikut rentak muzik.
Semakan di TikTok mendapati video berkenaan dimuat
naik satu akaun pada 1 Januari lalu dengan keterangan selamat tahun baru 2023.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut
memuat naik hantaran bersama tangkap layar video berkenaan yang mendapat perhatian
warganet di Facebook.
Rata-rata warganet kesal dengan tindakan individu
terbabit dan menyifatkan ia mencemarkan imej wanita bertudung dan
mempersendakan Islam.
Artikel oleh: Harian Metro
JANGAN CEMAR IMEJ ISLAM
https://www.kosmo.com.my/2023/01/12/ah-long-jerung-kini-guna-aplikasi-jerat-mangsa/
No comments:
Post a Comment