Kuala Lumpur: Selepas 23 tahun 'menerima' gaji daripada along, seorang
wanita kini dapat merasa hasil titik peluh sendiri apabila berjaya melunaskan
pinjaman kepada ceti haram itu.
Hasil bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), akhirnya mangsa
yang mahu dikenali sebagai Zuraidah, 53, dapat merasa gaji penuh bulan lalu
selepas kali terakhir menerimanya pada 1999.
Bukan itu saja, dia juga tidak sabar untuk menyambut hari raya dengan
penuh bermakna selepas melalui detik suram selama ini.
Semuanya gara-gara dia terjebak dengan along ketika masih dalam pantang
kerana mengalami masalah kewangan yang sama sekali merubah kehidupannya.
Dia yang juga seorang guru berkata, gajinya kira-kira RM6,000 sebulan
'hangus' untuk membayar hutang dengan kad ATM dipegang beberapa along
sehinggalah pada bayaran terakhir bulan lalu.
"Selama 23 tahun, saya hanya menerima baki selepas ditolak pinjaman
sebanyak RM100 hingga RM400.
"Rakan-rakan lain mengambil gaji di bank, tetapi saya mengambilnya
di pejabat along. Selama 23 tahun itu jugalah saya hidup tidak seperti orang
lain. Ada kerjaya yang bagus, tapi ibarat mengemis dengan along," katanya
ketika membuat aduan kepada Aktivis Kanan PPIM Muhammad Zharif Johor.
Zuraidah berkata, pada peringkat awal, dia meminjam RM15,000 untuk
membantu suaminya dan sebagai syarat, kad ATM miliknya perlu diserahkan.
Katanya, selepas beberapa tahun, along berkenaan tidak menyatakan berapa
baki pinjaman dan hanya menjawab 'belum selesai', setiap kali diajukan soalan
mengenainya.
"Wang baki di dalam akaun itulah yang saya gunakan untuk kehidupan
diri saya dan keluarga. Saya mempunyai 3 orang anak. Memang tidak cukup nak
sara hidup.
"Pernah satu ketika, saya tidak diberikan langsung wang gaji
sendiri oleh along. Lebih kurang enam bulan juga saya tidak menerima apa-apa
bayaran gaji kerana semua gaji saya diambil along itu. Pernah saya nekad pergi
ke bank dan membuat kad bank baharu untuk saya terima gaji dan keluarkan wang
secara tunai di mesin ATM," katanya.
Menurutnya, kerana tindakannya itu dia diburu tiga lelaki ala samseng
yang turut mencarinya di sekolah tempat dia mengajar.
"Kemudian mereka meminta kad bank saya yang baru. Sejak itu saya
jadi trauma dan tidak mahu mencari masalah sehinggalah bulan lalu, tanpa saya
sedar sudah 23 tahun berlalu," katanya.
Zuraidah berkata, kini dia merasakan seolah-olah mendapat kehidupannya
semua dan berterima kasih kepada PPIM di atas bantuan yang diberikan untuk
menyelesaikan kes itu.
"Saya nasihatkan kepada orang ramai, janganlah sesekali meminjam
daripada along. Kalau susah sekali pun, usahakanlah cara lain kerana jika
tidak, hidup akan menderita seperti apa yang sudah saya lalui selama ini,"
katanya.
Sementara itu Muhammad Zharif berkata, semakan PPIM mendapati, jumlah
keseluruhan yang dibayar Zuraidah berjumlah lebih RM138,000 dan ia jauh lebih
banyak daripada kadar pinjaman asalnya.
Katanya, ini adalah kes pertama seumpamanya membabitkan kad ATM peminjam
yang dipegang untuk tempoh melebihi 20 tahun.
"Kita dapati, pengadu juga bimbang dengan keselamatan keluarganya
jika cuba mengambil wang dari dalam akaunnya. Itu menyebabkan dia terus
'dibayar' along setiap bulan.
"Along juga didapati mengambil kesempatan ke atas pengadu yang
mempunyai gaji yang agak lumayan dan tetap. Justeru saya ingin menasihatkan
agar masyarakat lebih berhati-hati dan elakkan meminjam dengan along,"
katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
23 TAHUN TAK RASA NIKMAT GAJI
https://www.hmetro.com.my/utama/2023/01/921027/23-tahun-tak-rasa-nikmat-gaji
No comments:
Post a Comment