Thursday, January 26, 2023

YPNM GESA KERAJAAN LUPUS KEPENTINGAN DALAM SYARIKAT SWEDEN - SINAR HARIAN - 25/01/2023

 

SHAH ALAM - Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) menggesa mana-mana sayap pelaburan kerajaan melupuskan semua saham dan kepentingan dalam syarikat-syarikat multinasional dari Sweden. 

YPNM dalam kenyataan berkata, langkah itu bertujuan bagi menentang tindakan Islamofobik politikus ekstrem sayap kanan Denmark-Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye, Stockholm pada Sabtu. 

Menurut kenyataan tersebut, seluruh umat Islam juga digesa menilai keadaan mereka sendiri, memperkukuhkan ukhuwah mereka serta membina semula kekuatan melalui ketakwaan, penguasaan ilmu dan teknologi. 

“Sebagai langkah membidas tindakan ini, YPNM menggesa setiap rakyat khususnya yang beragama Islam melahirkan semangat patriotik mereka dan memberhentikan pembelian mana-mana barangan dan perkhidmatan dari Sweden.

“Cuma dengan ini sahaja umat Islam dapat menggerunkan pihak musuh dan tidak mencetuskan provokasi-provokasi sebegini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu. 

Pada Sabtu, Rasmus telah membakar senaskhah al-Quran di Stockholm, Sweden di khalayak umum. 

Tambah kenyataan itu, tindakan Rasmus menunjukkan kebiadaban melampau terhadap kitab suci al-Quran dan agama Islam. “Selain dari membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia tindakan tersebut bakal mencetus keadaan huru-hara agama yang tidak akan berkesudahan. 

“Agama Islam mengajar umatnya menghormati agama dan kepercayaan lain dan ini tidak bermakna umatnya hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh jika agama mereka dihina sebegini rupa,” ujarnya. 


Artikel oleh: Sinar Harian

YPNM GESA KERAJAAN LUPUS KEPENTINGAN DALAM SYARIKAT SWEDEN

https://www.sinarharian.com.my/article/242147/berita/nasional/ypnm-gesa-kerajaan-lupus-kepentingan-dalam-syarikat-sweden

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL