Kuala Lumpur: "Tuan mahu beli barang ini, jika mahu sila tekan ya." Begitu bunyi mesej menerusi satu aplikasi yang memperdaya ratusan pengguna apabila data di dalam telefon bimbit mereka 'disedut' bagi tujuan penipuan.
Ia adalah modus operandi ceti haram atau along yang tidak lagi menjerat mangsa secara bersemuka, sebaliknya menerusi pelbagai aplikasi yang dicipta khusus untuk memperdaya orang ramai.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan pinjaman menerusi aplikasi itu hampir setiap hari dan sudah membawa isu berkenaan untuk diteliti Bank Negara Malaysia.
Katanya, hanya kerana menekan pautan tertentu, mangsa akan diganggu along yang mengugut mahu menyebarkan gambar serta maklumat peribadi yang ada di dalam telefon mereka.
"Nombor mereka ini digunakan untuk menghantar mesej meminjam wang daripada senarai kenalan.
"Dengan kata lain, telefon mereka sudah dikawal pihak ketiga dan semua aktiviti perbankan dalam talian juga dipantau pihak lain.
"Lebih malang, butiran mereka digunakan untuk mengeluarkan wang sehingga ada yang saya difahamkan, sampai tidak berbaki langsung," katanya ketika menerima kunjungan aktivis masyarakat, Azman Kang Abdullah, semalam.
Beliau mengulas laporan Harian Metro sebelum ini mengenai lambakan aplikasi yang digunakan untuk memberikan tekanan dan ugutan kepada mangsa termasuk kenalan rapat sehingga ada yang sanggup membunuh diri.
Katanya, dengan aplikasi berkenaan, along dapat mengakses segala data peribadi di dalam peranti mangsa termasuk kamera hadapan, video, gambar, nombor telefon, lokasi dan e-mel yang dijadikan modal untuk mengugut mangsa.
"Segala data berkenaan akan disunting sebelum disebarkan kepada keluarga, majikan dan rakan-rakan untuk tujuan mengaib, memeras dan memalukan mangsa.
"Jika tidak mahu dimalukan, mereka perlu membayar kepada along ini dengan kadar faedah yang sangat tinggi.
"Jadi pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu bertindak segera demi memastikan keselamatan data peribadi dan aktiviti di dunia siber negara kita," katanya.
Sementara itu, Azman berkata, antara isu lain yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuklah pembanterasan lambakan along dari Singapura yang mencetuskan kebimbangan kebelakangan ini.
Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pembabitan ceti haram tempatan yang menjadikan along negara jiran sebagai alasan untuk menakut-nakutkan mangsa.
"Bagaimana along dari luar begitu berani menyerang mangsa di negara kita. Sudah tentu ada maklumat dari dalam tempatan.
"Menerusi kerjasama ini nanti, kita akan melihat beberapa faktor yang mungkin ada kaitan dan akan menyalurkannya kepada pihak berkuasa," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
JERAT ALONG MELALUI APLIKASI TELEFON BIMBIT
No comments:
Post a Comment