Showing posts with label MEDIA VARIASI. Show all posts
Showing posts with label MEDIA VARIASI. Show all posts

Saturday, January 28, 2023

DUNIA GERUN KEHEBATAN PEMANAH MELAYU - MEDIA VARIASI - 26/01/2023

 

KUALA LUMPUR: Ramai yang tidak tahu bahawa dunia kini amat mengagumi pemanah tradisional dari Malaysia yang memiliki kehandalan luar biasa dalam sukan ini.

Rasa kagum itu hadir apabila melihat penyertaan pemanah Melayu di pentas antarabangsa memecah rekod dimonopoli Hungary yang sekian lama mengungguli kejohanan HDH-IAA World Historical Traditional Archery, itu sejak dua dekad lalu. 

Lebih manis lagi, ada pertandingan itu dianjurkan di Turkiye, Hungary, Macau, Thailand, pemanah Melayu lengkap bertanjak mahupun peserta wanita tidak pulang dengan tangan kosong tetapi pasti bersama gangsa, perak ataupun emas kerana diketahui datang untuk menang.

Kekuatan mereka hanya bersandarkan mata hati, bersama akal dan jasad menjadikan pemanah lebih yakin dan tenang memegang busur dan melepaskan anak panah tepat pada sasaran.

Malangnya, meskipun berjaya menempa nama di mata dunia sejak lapan tahun lalu, tetapi pasukan di bawah Pemanah Tradisional Malaysia (TAAM) ini seperti dianaktirikan di mata kerajaan tanpa tahu punca.

Membawa pulang pelbagai pingat dan plak berprestij dunia seolah-olah tidak mampu ‘menambat’ perhatian kerajaan untuk diiktiraf di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pengasas Pusat Latihan Memanah Berkuda Percuma, Darul Jariyah, Jalijah Awang Kenit, berkata, sukan memanah tradisional sudah bertapak lama dalam negara, tetapi anehnya kurang diberi perhatian oleh pihak berkaitan berbanding di luar negara.Katanya, pemanah yang berjaya selama ini bertungkus lumus mencari dana sendiri melalui perniagaan sendiri, yang sudi menghulurkan bantuan, selain membantu satu sama lain malah ada yang sanggup menggadaikan barang peribadi.

“Mereka bukan setakat juara kampung tetapi hebat di mata dunia, ada pelapis baharu tempatan pun boleh mengalahkan juara dunia.“Cuma… kalau ada agensi korporat yang nampak kami (TAAM), bantulah kami dari segi tajaan kewangan dan sukan memanah tradisional kita.

“Apa sahaja agensi yang sudi beri tajaan, boleh menaikkan lagi semangat mereka, mengadakan pertandingan lebih kerap, dan melahirkan pelapis lebih hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Pertandingan Cabaran Bukit Uhud bagi merebut Piala PPIM di Pusat Pertubuhan Kebajikan Darul Jariyah, Bukit Beruntung, yang dijadualkan pada 28 Januari ini.

Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; wakil Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan, Mejar Bersekutu (PA) Zamri Mohd Zaman Khan serta barisan pemanah tradisional TAAM.Jalijah turut mendedahkan beberapa senarai pemanah tradisional yang pernah bergelar juara dunia dan meningkat naik di peringkat antarabangsa dan tempatan.

Mohd Saharuddin Hassan, pemegang Juara HDH-IAA World Historical Archery Championship 2022, kelompok pemanah tradisional lapan terbaik dunia, pemegang pingat perak World Nomad Games di Iznik, Bursa di Turkiye.Muhammad Mustaqqim Rosman, pemegang pingat emas Kejohanan Pemilihan ke Islamic Solidarity Game di Konya, Turkiye; pingat emas di Festival Pemanah Dannok Thailand 2023, dan pingat gangsa di Pateh Laga 2, Malang Indonesia 2022.

Muhammad Zarul Shafiq Zahar, pemegang pingat gangsa Festival Pemanah Dannok Thailand 2023, pingat emas Festival Memanah Tradisional Sepang 2022, dan emas Liga Memanah Selangor 2022.

Said Hawa Mohd Salleh, pemegang pingat perak di Macau 2018, pingat perak berkumpulan World Nomad Games Iznik, Bursa di Turkiye 2022, pingat emas Liga Memanah Tradisional Kebangsaan 2022, pingat emas jemputan Bintulu.

Ahmad Zulqarnain Murad, pemegang emas berkumpulan International Traditional Archery Festival 2018, emas berkumpulan ke Islamic Solidarity Game di Konya, Turkiye; perak di Dannok Archery Festival 2023.


Artikel oleh: Media Variasi

DUNIA GERUN KEHEBATAN PEMANAH MELAYU

https://mediavariasi.com/2023/01/dunia-gerun-kehebatan-pemanah-melayu/

ISU BAKAR AL-QURAN: KEMBALIKAN KEADILAN ISLAM, BOIKOT IKEA - PPIM - MEDIA VARIASI - 26/01/2023

 

KUALA LUMPUR: Universiti Birmingham menempatkan dua lembaran naskah al-Quran terawal berusia 1,378 yang ditemui pada 2015 bertarikh antara tahun 568M dan tahun 645M, menjadikannya antara naskhah al-Quran tertua setakat ini.

Hasil ujian analisis radiokarbon yang dilakukan di Universiti Oxford mencadangkan manuskrip berkenaan ditulis kurang 20 tahun selepas Nabi Muhammad SAW wafat.

Penemuan berharga ini memberi makna yang besar dalam sejarah Ketamadunan Islam di dunia kerana ia manuskrip asli yang diyakini tidak diubah.

Ia dikatakan wujud tidak lama selepas diwahyukan kepada Nabi Muhammad antara 610 hingga 632 Masihi, di mana dipercayai penulisnya masih hidup era berkenaan.

Begitulah kebesaran Tuhan yang memelihara naskah asli berkenaan agar generasi baharu mengkaji sejarahnya, asal kejadian dan hikmah daripadanya, namun ia mustahil berlaku jika naskah itu tidak dipelihara atau dibakar.

Malaysia baru-baru ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom, Sweden.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau dikenali Toqqi turut menyeru rakyat agar memboikot produk dari Sweden sebagai satu isyarat kepada negara itu bahawa tindakan mereka adalah satu jenayah yang tidak boleh dikompromi.

“Kembalikan keadilan untuk Islam, perlu protes dan bangkit boikot produk Sweden seperti IKEA, tak makan meat ball pun tak mati.

“Perbuatan (bakar al-Quran) telah merosakkan hubungan, jadi kita harus sokong kebaikan dan menentang amalan budaya yang tidak baik.

“Kita tidak nampak orang Malaysia bakar kitab mana-mana agama pun, tak semestinya kita bercerita pasal al-Quran.

“Kita bercerita mengenai membudayakan sesuatu yang elok tetapi perbuatan berkenaan adalah keji, hina dan tidak boleh diterima,” katanya selepas sidang media.

Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Pertandingan Cabaran Bukit Uhud bagi merebut Piala PPIM di Pusat Pertubuhan Kebajikan Darul Jariyah, Bukit Beruntung, yang dijadualkan pada 28 Januari ini.

Turut hadir wakil Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan, Mejar Bersekutu (PA) Zamri Mohd Zaman Khan serta barisan pemanah tradisional TAAM.

Tambahnya lagi, Duta Sweden di Malaysia dan Duta Malaysia di Sweden perlu bersama menjelaskan kepada kedutaan masing-masing untuk mengambil tindakan yang wajar.

“Jika tidak dihentikan, perbuatan ini akan diulang tayang oleh generasi lain pula, jadi isu keadilan tidak akan dapat sampai bila-bila,” katanya.

Artikel oleh: Media Variasi

ISU BAKAR AL-QURAN: KEMBALIKAN KEADILAN ISLAM, BOIKOT IKEA - PPIM

Thursday, December 1, 2022

ISU UEC: DAP JANGAN BIADAB - TOQQI - MEDIA VARIASI - 30/11/2022

 

KUALA LUMPUR: Pemimpin DAP diingatkan jangan bersikap biadab sehingga mencetuskan ketidakharmonian masyarakat di negara berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menempelak sikap pemimpin DAP yang cuba mendesak Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengiktiraf UEC sedangkan kerajaan baharu sahaja ditubuhkan beberapa hari lalu.

Beliau yang mengakui pernah mengikuti pengajian di sekolah jenis kebangsaan Cina berasa hairan apa yang sebenarnya membuatkan pemimpin parti itu begitu mendesak mengubah sistem pendidikan negara yang juga tertakluk sebahagian Perlembagaan.

“Kita baru lagi tubuhkan kerajaan, tetapi (mengugut) tidak mahu masuk kerajaan jika UEC tidak diterima (diiktiraf).

“Saya tidak tahu DAP nak apa sebenarnya. Saya sekolah Cina, jadi saya faham cerita ini. Kalau kita di China, sudah tentu kita pun belajar bahasa Cina tetapi prinsipnya tidak betul, kita belajar tetapi asasnya bukan paksaan.

“Kita belajar 10 bahasa pun boleh faham, jadi kenapa nak gunakan isu ini (UEC) nak memporakperandakan hubungan,” katanya.

Beliau juga memberi amaran kepada pemimpin DAP supaya tidak menimbulkan kebimbangan awam, dengan ‘berperang’ dengan kaum lain khususnya orang Melayu yang cukup dikenali dengan sifat lemah lembut dan sopan santunnya.

“Saya nak ingatkan pemimpin DAP, tak usah kurang ajar, tidak ada guna berbuat demikian. Cuba buat baik.

“Sebenarnya kamu semua tak ada otak (bodoh). Orang Melayu ni memang lembut hati, mudah diambil hati tetapi kamu semua nak kurang ajar buat apa?” soalnya.

Justeru, beliau mahu semua pihak bersikap saling menghormati sebagai satu keluarga dalam negara, dan sanggup berkorban demi tanah air.

“Jadi, saya harap difikir (DAP) semula kerana kita semua ada had kesabaran.

“Kita seharusnya jadi satu keluarga, hormat menghormati, saling memahami, bertolak ansur. Kita patut ada hala tuju yang jelas,” katanya.


Artikel oleh: Media Variasi

ISU UEC: DAP JANGAN BIADAB - TOQQI

https://mediavariasi.com/2022/11/isu-uec-dap-jangan-biadap-toqqi/

PPIM SIFATKAN CPTPP CUBAAN SABOTAJ EKONOMI RAKYAT - MEDIA VARIASI - 29/11/2022

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang efektif esok sebagai cubaan mensabotaj ekonomi tempatan negara.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan hak kepenggunaan, hairan kerana Ahli Parlimen (MP) tidak membangkitkan isu ini kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang ketika itu sebagai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dalam sidang Parlimen sebelum ini.

Meskipun tidak menolak impak perjanjian membuka peluang besar perniagaan tempatan ke luar negara, namun dakwanya, ia juga boleh untuk merencatkan biodiversiti ekonomi tempatan negara.

“Apabila wujud pasaran terbuka makcik jual kerepek pun ke pasaran luar negara, Amerika.

“Apa yang kita risau, ia boleh membahayakan peniaga tempatan. Ada syarikat antarabangsa datang sini, boleh berniaga sini, ada modal besar, jaringan hubungan besar, mereka boleh gunakan kekuatan mereka di peringkat antarabangsa untuk kuasai kita di sini.

“DS Azmin telah tandatangan perjanjian. Pada kita pelik, kenapa MP tidak ada membincangkan perkara ini, sebab ini penting. Kita nak bangkitkan ekonomi kita, habis kalau kita dah beri (kuasa ekonomi) kepada syarikat antarabangsa, apa cara kita nak lindungi ekonomi negara kita pula?,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Justeru, Nadzim berkata, pihaknya merayu kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menangguhkan pelaksanaan perjanjian berkenaan terlebih dahulu dan meneliti sebelum mengatur perancangan lebih baik.

“Saya merayu, harap kepada Perdana Menteri kita supaya membatal atau tangguh (perjanjian), setelah dikaji dan dilihat kembali supaya tidak mensabotaj ekonomi negara.

“Kita tak mahu keadaan ekonomi jadi lebih teruk. Jika perjanjian perdagangan ini berkuatkuasa, kerajaan pun tak boleh nak halang,” katanya.

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar sebelum ini didesak untuk menarik balik ratifikasi CPTPP, sebelum Selasa.

Desakan itu dibuat oleh 24 pakar ekonomi, 57 badan bukan kerajaan (NGO), 10 kesatuan sekerja dan lebih 50 individu selepas mendapati perjanjian ratifikasi itu bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Pada 5 Oktober lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi kenyataan memaklumkan Kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP.

MITI berkata selaras dengan itu, kerajaan telah menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September lalu.

Penyerahan IOR menyaksikan Malaysia menjadi negara kesembilan telah meratifikasikan CPTPP, perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai pada 8 Mac 2018.

Selain Malaysia, lapan lagi negara iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru telah meratifikasi CPTPP.


Artikel oleh: Media Variasi

PPIM SIFATKAN CPTPP CUBAAN SABOTAJ EKONOMI RAKYAT

https://mediavariasi.com/2022/11/ppim-sifatkan-cptpp-cubaan-sabotaj-ekonomi-rakyat/

Tuesday, November 29, 2022

PPIM GESA TUBUH RCI SALAH GUNA PEMBELIAN VAKSIN - MEDIA VARIASI - 26/11/2022

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) terus memperjuangkan nasib mangsa vaksin COVID-19, dan terbaharu menggesa kerajaan baharu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan dakwaan salah guna pembelian dos berkenaan.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan mendakwa, pihaknya menerima beberapa aduan tidak munasabah berhubung angka perbelanjaan dalam menangani wabak COVID-19, baru-baru ini.

Dakwanya, aduan terbabit disertakan dengan fakta yang perlu dikaji malah disiasat kerana jumlah perbelanjaan yang dikenal pasti sangat besar.

“Negara bukanlah kaya sangat dan rakyat menderita, apa pemimpin buat sehingga ada dakwaan salah laku seperti ini. Kami harap rakyat Malaysia dapat bersama dalam usaha ini,” katanya pada sidang media, di sini.

Nadzim, kerajaan tidak seharusnya ‘tutup mata’ dan perlu memandang perkara itu lebih serius.

“Kerajaan pusat yang baharu haruslah serius mengembalikan kestabilan dan membanteras salah laku pemimpin. Jika tidak, tiada bezanya pemimpin kini dan yang sebelumnya,” katanya.

Pakar Perunding Histopatologi dan Ahli Statistik, Dr Manimalar Selvi Naicker pula berkata, kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu melantik Menteri Kesihatan daripada kalangan pengamal perubatan.

Katanya, ubat merupakan sains kompleks yang tidak mudah difahami oleh mereka yang tiada latar belakang dan ijazah perubatan.

Katanya, Menteri Kesihatan yang baharu perlu mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun dan sekiranya tiada Ahli Parlimen yang layak, kerajaan dicadangkan melantik seorang Senator dalam kalangan pakar perubatan.


Artikel oleh: Media Variasi

PPIM GESA TUBUH RCI SALAH GUNA PEMBELIAN VAKSIN

https://mediavariasi.com/2022/11/ppim-gesa-tubuh-rci-salah-guna-pembelian-vaksin/

Thursday, November 24, 2022

KEMBALI KEPADA POLITIK KEBERSAMAAN, BUKAN PERPECAHAN - MEDIA VARIASI - 23/11/2022

 

KUALA LUMPUR: Semua pemimpin Melayu Islam disaran untuk terus memelihara semangat ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan mereka, tidak kira apa jua jajaran politik dicapai.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius kemelut politik yang seolah-olah tidak akan selesai walaupun rakyat sudah menunaikan tanggungjawab mereka.

Katanya, PPIM melahirkan rasa kecewa jika ini telah menjadikan kemelut politik yang bakal menjejaskan perjalanan pentadbiran dan pembangunan negara dalam segala segi.

“Kemelut ini boleh diselesaikan tanpa ada rasa angkuh, ego atau dendam politik.

“Justeru, apa jua jajaran politik yang dicapai dan dipersetujui, kebebasan institusi kehakiman sebagai satu entiti yang mampu menjamin keadilan serta mengekalkan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang buat semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan serta status individu berkaitan wajib dikekalkan.

“Penubuhan kerajaan dengan mandat yang baharu dengan segera agar rakyat boleh terus diberikan tumpuan dalam mendepani keadaan ekonomi yang merudum, kos sara hidup yang kian meningkat, dan lain-lain cabaran bakal ditempuhi tahun depan,” menurut kenyataan itu.

Dakwa PPIM, rakyat sudah bosan dengan keadaan politik yang terus bergolak sejak 2018 dan setelah bertukar Perdana Menteri sebanyak tiga kali.

“Negara juga telah menjadi bahan gurauan masyarakat antarabangsa dan keadaan ekonomi menjadi semakin buruk ditambah pula dengan pandemik COVID-19.

“Perebutan kuasa dan penentuan Perdana Menteri kini menjadi semakin rumit kerana keadaan ‘Hung Parliament’ yang timbul setelah tiada satu parti pun yang berjaya mendapat sebuah majoriti mudah.

“Walaupun kita menganggap bahawa penggabungan parti-parti politik membolehkan sebuah kerajaan dibentuk, namun ia bukanlah semudah yang kita fikirkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, meskipun tiada kepastian apakah faktor utama yang menyebabkan keadaan demikian, namun kerumitan ini berpunca keegoan pemimpin tertinggi parti duduk berunding untuk mencapai kata sepakat dan dengar suara akar umbi dalam membentuk kerajaan.

Justeru, PPIM mengambil ketetapan untuk mengesyor Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya merangka pelan tindakan yang wajar dalam mendepani cabaran ekonomi lebih rumit, tahun depan.

“Ia sebagai langkah berjaga-jaga kejadian yang tidak diingini, bagi membendung keadaan sedemikian daripada menjadi lebih buruk.

“Ia juga bagi memastikan keadaan ekonomi fiskal negara berada dalam keadaan mapan demi mengelakkan sebarang persepsi negatif di peringkat antarabangsa,” katanya.


Artikel oleh: Media Variasi

KEMBALI KEPADA POLITIK KEBERSAMAAN, BUKAN PERPECAHAN

https://mediavariasi.com/2022/11/kembali-kepada-politik-kebersamaan-bukan-perpecahan/

Thursday, November 10, 2022

NETIZEN BOLEH CADANG PEMIMPIN PILIHAN MEREKA MENERUSI GSR - MEDIA VARIASI - 10/11/2022

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan Gerakan Sukarelawan Rakyat (GSR) yang merupakan satu-satunya rujukan mereka yang memerlukan maklumat dan panduan.

Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau dikenali Toqqi, pertubuhan ini telah dijadikan sebagai tempat mengadu, merujuk dan mendapatkan pandangan serta nasihat mengenai calon pilihan mereka.

Menurut beliau lagi, PPIM yang telah wujud selama 25 tahun mempunyai pengalaman dalam pelbagai isu termasuk isu politik.

“Suasana politik kebelakangan ini menyukarkan rakyat memilih calon yang benar-benar layak untuk mewakili dan mampu memperjuangkan hak mereka.

“Sehubungan dengan itu, PPIM melancarkan pusat rujukan netizen dan rakyat secara on-
line GSR sebagai pusat rujukan maklumat dan panduan pemimpin manakah perlu dipilih.

“Aktivis GSR akan turun padang untuk menyebarkan maklumat yang adil, betul dan tepat,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Tambah Nadzim, melalui pusat ini juga akan membolehkan NGO juga membuat penapisan
setiap wakil rakyat yang bertanding agar mereka dipastikan bebas dari kelakuan yang tidak
bermoral dan terlibat dengan aktiviti yang tidak berakhlak baik.

“Semua ahli-ahli Yang Berhormat dan bakal-bakal ahli Yang Berhormat dan ini termasuklah
Menteri-menteri, Timbalan-timbalan Menteri, malah Perdana Menteri serta Timbalannya sekali tidak akan terkecuali dari dinilai dan mereka tidak bebas dari sebarang teguran serta kritikan rakyat dari pelbagai lapisan.

“Ini juga akan dijadikan sebuah platfom untuk mengemukakan cadangan calon yang layak dan terbaik untuk pengundi www.gsrpru15.com.

“Pihak NGO mengharapkan agar rakyat membuka mata dan tidak membuat kesilapan lagi dalam pemilihan wakil rakyat akan datang,” katanya.


Artikel oleh: Media Variasi

NETIZEN BOLEH CADANG PEMIMPIN PILIHAN MEREKA MENERUSI GSR

https://mediavariasi.com/2022/11/netizen-boleh-cadang-pemimpin-pilihan-mereka-menerusi-gsr/

Thursday, November 3, 2022

TOQQI DITAWARKAN BERTANDING HAMPIR SEMUA PARTI - MEDIA VARIASI - 03/11/2022

 

KUALA LUMPUR: Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengakui ditawarkan bertanding hampir semua parti kecuali PAS.

Namun beliau yang dikenali sebagai Toqqi menolak semua tawaran itu atas dasar prinsipnya berjuang untuk rakyat bukan parti politik.

“Memang tawaran mereka menarik saya tidak nafikan tetapi apabila kita bergerak bukan platform politik sebenarnya lebih mudah dan dekat dengan rakyat.

“Kita orang bawah di lapangan, kerja untuk rakyat. Ikut pengalaman saya apabila timbul isu, rakyat bawa kepada NGO dan media terlebih dahulu, mereka sudah penat bawa ke politik tapi tidak selesai, apabila sampai pada NGO dan media kita cari solusi,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian selepas sidang media pelancaran PPIM sebagai platform netizen dan gabungan NGO bantu negara menjelang PRU15.

KUALA LUMPUR, 3 November 2022. Sidang media PPIM mengenai cara pilih calon PRU15 di Ibu Pejabat PPIM.

Menerusi platform itu PPIM membuka ruang untuk rakyat untuk memberi aduan atau cadangan dan juga pihak calon memberi maklumat mengenai diri mereka kenapa mereka patut jadi wakil rakyat.

Tambah Toqqi, dengan rujukan ini pengundi baru yang tiada pengalaman memilih boleh menilai ciri pemimpin pilihan mereka.

“Kami mungkin akan sediakan platform seperti aplikasi Whatsapp untuk perkongsian maklumat.

“Rakyat boleh rujuk dengan mudah bukan main pilih sebab hensem sahaja, kena nilai semula apa kezaliman mereka buat apa kebaikan mereka buat.

“Kita bukan cari ciri malaikat tetapi tentunya bukan syaitan yang menjahamkan negara.

“Kita mahu perkara ini dibawa bincang dan pemilihan dibuat secara harmoni,” katanya.

Artikel oleh: Media Variasi

TOQQI DITAWARKAN BERTANDING HAMPIR SEMUA PARTI

https://mediavariasi.com/2022/11/toqqi-ditawarkan-bertanding-hampir-semua-parti/

Tuesday, September 6, 2022

PPIM, MAPIM LANCAR TABUNG BANTU PAKISTAN - MEDIA VARIASI - 05/09/2022

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan MAPIM melancarkan tabung bagi membantu rakyat negara itu yang sedang berdepan ancaman banjir terburuk dalam tempoh lebih sedekad.

Puluhan juta penduduk terkesan apabila hujan monsun berterusan sejak Jun lalu mengakibatkan banjir yang menenggelami satu per tiga daripada Pakistan.

Bencana itu telah meragut lebih 1,100 nyawa, memusnahkan banyak tanaman dan merosak atau memusnahkan lebih sejuta kediaman.

Nadzim 

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan menyeru orang ramai agar membantu rakyat Pakistan yang kehilangan segala-galanya selepas tragedi banjir besar tersebut.

“Tidak boleh dibayangkan situasi yang dialami mereka, bagaimana mereka mahu bangkit dari ‘kiamat’ dunia berkenaan.

“Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai untuk menyalurkan bantuan di Sumbangan.com kerjasama antara PPIM dan MAPIM,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan Pakistan telah melancarkan rayuan bantuan kecemasan mencecah AS$160 juta untuk rakyat negara itu.

Teleton, iaitu siaran khas televisyen bertujuan mengutip derma bagi membantu mangsa banjir anjuran bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, semalam, berjaya mengumpulkan lima bilion rupee (kira-kira AS$22.7 juta) dalam tempoh tiga jam.


Artikel oleh: Media Variasi

PPIM, MAPIM LANCAR TABUNG BANTU PAKISTAN

https://mediavariasi.com/2022/09/ppim-mapim-lancar-tabung-bantu-pakistan/

SUMBANGAN DAN BANTUAN KEMANUSIAAN BUAT PENDUDUK PAKISTAN - MEDIA VARIASI - 05/09/2022

 

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan menyeru orang ramai agar membantu rakyat Pakistan yang kehilangan segala-galanya selepas tragedi banjir besar yang menyebabkan kehilangan ribuan nyawa.

Bantuan boleh disumbangkan di Sumbangan.com kerjasama antara PPIM dan MAPIM.

#Toqqi #PPIM #Pakistan


Sumber: Media Variasi

SUMBANGAN DAN BANTUAN KEMANUSIAAN BUAT PENDUDUK PAKISTAN

https://www.youtube.com/watch?v=M47zitli2Z8

Friday, September 2, 2022

MERDEKA ITU BEBAS BUAT KEPUTUSAN SENDIRI - NIK NAZMI - MEDIA VARIASI - 01/09/2022

 

KUALA LUMPUR: “Boleh buat keputusan dan menentukan hala tuju sendiri adalah erti kebebasan sebenar,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, selagi masih mengikut telunjuk orang dan takut membuat keputusan sendiri selagi itu diri masih belum bebas, belum ada pendirian.

“Tak tahu nak pilih yang mana, tak tahu apa hala tuju, tak tahu nak ikut siapa itu menunjukkan diri tiada prinsip dan tidak boleh memimpin diri sendiri jauh sekali orang lain.

“Kena tahu menilai sendiri semua perkara jangan ikut-ikut orang sahaja, kalau majoriti sokong kita pun sokong, itu salah kerana sokong juga boleh bawa rebah,” katanya ketika program tanam pokok sendiri di Kebun Bandar Sungai Bunus di sini sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Turut hadir Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

Program itu adalah salah satu inisiatif keselamatan makanan agar rakyat merdeka daripada kelaparan walau apa jua impak ekonomi terhadap diri dan negara.

Mengulas mengenai semangat cinta negara yang luntur di kalangan generasi baru, Nazmi berkata apabila sudah lama kecapi kemerdekaan orang ramai mula hilang penghayatan.

“Macam orang yang sudah lama kahwin kurang hargai, kurang menyemarakkan kasih sayang tetapi hati sayang tak mahu kehilangan.

“Ramai yang ‘take it for granted’ ambil mudah sama dengan kita, kita tidak lalui zaman penjajahan tidak lalui zaman susah, kita tidak rasa pentingnya mahu menjaga, sebab itu kena hayati semula semangat dan roh perjuangan,” katanya.

Mengulas mengenai erti kemerdekaan, Nadzim berkata sikap berterima kasih dan menghargai orang lain yang membantu dirinya.

“Sikap terima kasih ini wajar dijadikan manifesto wakil terpilih agar membudayakan semangat kekitaan dan menghargai yang lain.

“Kita kurang nampak sikap menghormati generasi muda kepada yang lebih berusia, dan nilai yang hilang ini perlu dikembalikan agar penghayatan kemerdekaan itu lebih jelas dalam sanubari setiap insan,” katanya.


Artikel oleh: Media Variasi

MERDEKA ITU BEBAS BUAT KEPUTUSAN SENDIRI - NIK NAZMI

https://mediavariasi.com/2022/09/merdeka-itu-bebas-buat-keputusan-sendiri-nik-nazmi/

Tuesday, August 30, 2022

RAMAI MISKIN RENTAN TERJERAT SKIM PINJAMAN MUDAH, JADI MANGSA SCAMMER - MEDIA VARIASI - 23/08/2022

 

KUALA LUMPUR: Peningkatan golongan miskin rentan menyebabkan mereka menjadi sasaran mudah ‘scammer’ internet khususnya scam pinjaman mudah online.

Miskin rentan adalah kelompok yang tiba-tiba jatuh miskin kerana pelbagai faktor seperti diberhentikan kerja, hilang pencari nafkah kerana cerai atau kematian akibat pandemik, bencana dan lain-lain.

Mereka sebenarnya terputus wang sara hidup dan hanya memerlukan satu peruntukan tertentu sahaja bagi mengeluarkan mereka daripada masalah itu.

Ada yang memerlukan RM2,000 untuk meneruskan hidup, ada yang perlukan RM5,000 untuk menjelaskan tunggakan hutang, ada yang perlukan RM10,000 untuk mulakan perniagaan.

Kos itu sebenarnya bukanlah besar namun sukar diperolehi dalam situasi mereka hilang sumber untuk membantu.

Tekanan bertambah apabila mereka sukar mendapatkan bantuan daripada pihak zakat untuk menjelaskan tunggakan pinjaman, hutang peribadi dan sebagainya.

Nak meminjam dengan kawan sukar kerana wujud ‘skeptical’ boleh bayar atau tidak?

Jalan mudah bagi mereka adalah meminjam dengan pinjaman mudah di FB atau Instagram, tanpa mereka tahu sudah masuk dalam jerat penipuan internet.

Modus operandi scammer ini adalah menawarkan pinjaman mudah lulus menerusi laman sosial Facebook atau Instagram.

Apabila mangsa menghubungi scammer akan meminta kad ATM serta kata laluan (password) kononnya untuk proses kemasukan wang yang mahu dipinjam.

Biasanya scammer memberi tempoh dua minggu sebelum pinjaman diluluskan, dan tanpa pengetahuan mangsa tempoh itu digunakan untuk semua transaksi wang scam bagi kategori lain pula.

Mangsa tidak menerima wang, scammer pula gagal dihubungi selepas itu.

Nadzim Johan@Toqqi

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, di sini ada dua kategori mangsa scam iaitu keldai akaun dan juga mangsa penipuan yang lain seperti skim cepat kaya, penipuan pesan lain dapat lain atau skim cinta.

“Bagi scammer pula jika 100 daripada 1,000 pengguna internet yang berjaya diperdayakan setiap hari menjadi ia sudah cukup menguntungkan.

“Isunya, mangsa-mangsa scam keldai akaun ini biasanya yang akan diheret ke mahkamah dan pelaku sebenar bebas,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Tambah beliau, mangsa semakin terdesak, masalah mereka tidak selesai, mereka diheret ke mahkamah dan ‘terpaksa mengaku’ salah untuk elak dipenjarakan lebih lama.

“Apa keadilan untuk mangsa-mangsa ini? Sehingga bila putaran ini akan berlaku?

“Kita tidak boleh salahkan sepenuhnya kesalahan kepada mangsa kerana kita tidak berada di tempatnya, orang terdesak sanggup buat apa sahaja untuk teruskan hidup, tetapi sejauh mana kita boleh lindungi mereka daripada diperdayakan oleh scammer ini,” katanya.


Artikel oleh: Media Variasi

RAMAI MISKIN RENTAN TERJERAT SKIM PINJAMAN MUDAH, JADI MANGSA SCAMMER

https://mediavariasi.com/2022/08/ramai-miskin-rentan-terjerat-skim-pinjaman-mudah-jadi-mangsa-scammer/

Wednesday, August 10, 2022

PRESMA GESA LONGGAR SYARAT MOHON PEKERJA ASING - MEDIA VARIASI - 09/08/2022

 

SENTUL: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) merayu kerajaan melonggarkan syarat permohonan pekerja asing yang menyebabkan industri mereka terjejas.

Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata ia berikutan lebih 3,000 restoran mamak ditutup dan lebih 300 kedai runcit ditutup akibat kekurangan tenaga kerja.

Katanya, perlu dilihat dalam aspek praktikaliti untuk perniagaan, walau pun isu ini agak sensitif.

“Namun restoran mamak, runcit dan pemborong tidak ada pilihan kerana kurangnya tenaga kerja tempatan yang mahu bekerja dalam bidang ini.

“Hanya yang melaluinya sahaja yang tahu betapa peritnya untuk meneruskan perniagaan ini, penutupan premis turut memberikan kesan kepada seluruh rangkaian pembekalan makanan seperti bahan mentah, sayur, minyak dan lain-lain yang majoritinya diusahakan adalah rakyat kita.

“Sebelum ini permohonan pekerja asing amat ketat dan jumlah pekerja asing di sektor restoran tidak sampai tiga peratus, kami memerlukan 30,000 pekerja untuk penempatan 12,000 restoran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sidang media itu dibuat bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Pengusaha India Malaysia (PRIMAS) dan Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR).

Dalam pada itu, Jawahar meminta proses permohonan pekerja asing dilanjutkan tempoh daftar pekerja asing yang akan tamat 14 Ogos ini.

“Kami berharap ia dilanjutkan dua bulan lagi iaitu pada Oktober 2022 sebelum pindaan dasar-dasar lain diperkenalkan.

“Ini kerana baharu 30 peratus ahli persatuan terima kelulusan pekerja asing.

“Baki sebanyak 70 peratus permohonan masih berada dalam sistem dan ada setengah ahli ingin membuat permohonan kerana kekurangan dokumen yang diperlukan, ia ambil masa lama untuk menyediakan dokumen berkenaan.

“Sebagai contoh penyata caruman KWSP dan penyata bank memerlukan tiga bulan penyata.

“Sehubungan itu, penangguhan permohonan yang diumumkan pihak kerajaan akan membawa impak besar kerana kekurangan tenaga kerja di semua sektor,” katanya.


Artikel oleh: Media Variasi

PRESMA GESA LONGGAR SYARAT MOHON PEKERJA ASING

https://mediavariasi.com/2022/08/presma-gesa-longgar-syarat-mohon-pekerja-asing/

Friday, August 5, 2022

MENARA 5G PERLU JAUH DARI PENEMPATAN JIKA MUDARAT KESIHATAN - PPIM - MEDIA VARIASI - 04/08/2022

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan pembinaan menara teknologi generasi kelima (5G) jauh dari penempatan dan tidak lebih daripada 28 gigahertz jika benar radiasinya boleh memudaratkan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan @Toqqi berkata, ia sesuai dibina di lebuh raya dan tepi jalan berbanding di tempatkan di atas bumbung bangunan seperti masjid dan sebagainya.

Beliau berkata, masih ada kebimbangan dalam kalangan pengguna kesannya boleh menyebabkan kanser kerana dikatakan kelajuan 5G boleh capai 100 gigahertz namun belum ada kajian khusus di Malaysia.

“Kami bukan menentang teknologi, kami memang galakkan jaringan internet yang lebih laju perlu ada kajian oleh universiti atau kementerian terbabit agar boleh menepis persepsi umum kata ia tidak selamat.

“Doktor Aziz pernah beritahu jika kelajuannya lebih 60 gigahertz, ia spektrum yang bahaya boleh mendedahkan kepada kanser.

“Kami terima banyak pertanyaan tetapi tiada jawapan kerana tiada data sahih di negara ini, yang ada cuma kajian dari luar negara.

“PPIM ada mengemukakan soalan ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) namun mereka tidak beri maklum balas,” katanya pada sidang media di Villa Puteri di sini hari ini.

Turut hadir wakil PPIM, Puan Zaharah Sulaiman dan Zolkifli Hasan.

Menerusi laporan media terdahulu, pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Tharek Abdul Rahman berkata teknologi 5G menggunakan frekuensi radio yang tidak menghasilkan sinaran berbahaya seperti dihasilkan sinar X.

Katanya, orang ramai perlu faham bahawa radiasi ada dua jenis iaitu jenis mengion dan tidak mengion, yang boleh menyebabkan kanser adalah jenis mengion seperti sinar X dan radio aktif.

Sinaran tak mengion dihasilkan 5G hanya akan menyebabkan kesan pemanasan yang tidak cukup untuk memberi kesan jangka panjang kepada tisu-tisu badan.

Menjelas lanjut, Tharek berkata frekuensi radio yang dihasilkan teknologi 5G juga mempunyai tenaga 1,000 kali lebih rendah berbanding tenaga daripada matahari.

Tenaga daripada matahari adalah dalam kategori selamat kerana ia radiasi tidak mengion, 5G pula 1,000 kali lebih rendah menunjukkan ia radiasi selamat.

Berdasarkan laporan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), lebih 25,000 artikel penyelidikan di seluruh dunia yang diterbitkan dalam tempoh 30 tahun menunjukkan pendedahan kepada frekuensi radio berskala rendah atau sinaran tak mengion tidak memberi impak negatif kepada kesihatan manusia.

Perkhidmatan 5G di Malaysia menawarkan kelajuan internet sehingga melebihi 1,000 megabit per saat (Mbps) kepada pengguna berbanding 35 Mbps bagi 4G.

Teknologi 5G ini memiliki kemampuan kelajuan internet pada kadar 10 hingga 100 kali ganda berbanding 4G serta berupaya menghubungkan lebih 1 juta peranti bagi setiap 1 kilometer persegi.

Parlimen Ketereh dipilih sebagai lokasi pertama kawasan luar bandar di negara ini yang akan menikmati perkhidmatan internet 5G berkelajuan tinggi ini.


Artikel oleh: Media Variasi

MENARA 5G PERLU JAUH DARI PENEMPATAN JIKA MUDARAT KESIHATAN - PPIM

https://mediavariasi.com/2022/08/menara-5g-perlu-jauh-dari-penempatan-jika-mudarat-kesihatan-ppim/

Friday, July 29, 2022

HAPUS SUBSIDI BAHAN API ELAK KETIRISAN, LEBIH BAIK SALUR TERUS BANTUAN - PPIM - MEDIA VARIASI - 28/07/2022

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan supaya menghapuskan subsidi bahan api, petroleum dan diesel kerana golongan berkemampuan dan warga asing lebih banyak menikmati kemudahan ini berbanding sasaran.

Ini kerana tiada kawalan subsidi sehingga peruntukkan hampir RM40 billion dihabiskan setahun untuk subsidi petrol dan ini amat membebankan kewangan negara.

“Siapa boleh pantau kereta jenis mewah atau lebih 2.0 cc datang isi petrol bersubsidi? Warga Singapura, Thailand masuk sempadan negara untuk isi minyak sebagainya.

“Kerajaan perlu memperluaskan skim permohonan subsidi bahan api tersebut dengan kaedah yang lain.

“Bayangkan golongan berpendapatan tinggi yang memiliki pelbagai jenis kenderaan boleh dapat subsidi minyak tidak kira berapa banyak pendapatan mereka.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan pada sidang media di sini.

“Lebih baik beri bantuan tunai RM1,000 ke RM5,000 terus kepada rakyat berpendapatan rendah atau mengikut jenis dan kapasiti kenderaan berbanding membiarkan ketirisan, pencabulan yang dahsyat” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Nadzim berkata, PPIM mencadangkan skim subsidi petrol melalui kaedah permohonan secara terus.

“Jika golongan berpendapatan tinggi berasa tidak malu dan mahu mohon, silakanlah mohon tetapi pihak kerajaan harus bijak dalam menangani isu ini.

“Antara kaedah yang dilihat boleh menjadi medium permohonan adalah aplikasi MySejahtera atau dikembarkan bersama sistem cukai jalan negara di mana cukai jalan adalah mengikut keupayaan enjin dan subsidi boleh diberi dengan kaedah sama.


Artikel oleh: Media Variasi

HAPUS SUBSIDI BAHAN API ELAK KETIRISAN, LEBIH BAIK SALUR TERUS BANTUAN - PPIM

https://mediavariasi.com/2022/07/hapus-subsidi-bahan-api-elak-ketirisan-lebih-baik-salur-terus-bantuan-ppim/

PPIM SELAR NGO PERTIKAI PELAKSANAAN TRIS - MEDIA VARIASI - 29/07/2022

 

KUALA LUMPUR: Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian atau Tracking Refugees Information System (TRIS) tidak sepatutnya menjadi isu polemik yang ditimbulkan pihak tertentu.

Ini kerana, TRIS yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini, dipercayai mampu membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguruskan pelarian dengan lebih sistematik berdasarkan ciri keselamatan dan pengesahan identiti berteknologi tinggi.

Pelarian berkenaan di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Justeru, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menempelak pihak yang menentang keputusan kerajaan itu.

Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, pihak Beyond Borders dan Alliance of The Chin Refugees mendakwa pelaksanaan TRIS adalah tidak berperikemanusiaan dan mencerobohi hak pelarian.

“Sebagai sebuah negara berdaulat, kerajaan Malaysia mempunyai segala hak untuk mengetahui pergerakan semua individu selama mereka bertaraf pelarian di negara ini.

“Pertubuhan-pertubuhan ini tidak wajar untuk mempersoalkan tindakan kerajaan yang menjaga kepentingan semua pihak,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Malah katanya, PPIM menyambut baik pelaksanaan TRIS yang membantu pelarian UNCHR bergerak bebas tanpa perlu lagi khuatir diugut atau ditahan atas pelbagai alasan.

Ia berikutan, katanya, sistem berkenaan mempunyai ciri keselamatan dengan kaedah pengecaman wajah dan pengesahan identiti sekali gus mengelak daripada percubaan untuk memperdaya pihak berkuasa.

“Penggunaan sistem ini akan membolehkan kerajaan mengumpul maklumat pengenalan diri, keluarga, kesihatan, kebolehan, kemahiran, tempat tinggal.

“Mereka juga boleh memperolehi lesen menunggang motosikal dan memandu kenderaan dengan selain berpeluang untuk mencari rezeki di sini,” katanya.

Katanya, pelarian UNHCR yang berdaftar juga dapat membuka akaun bank sendiri, menyertai skim insuran dan takaful berdaftar untuk mendapatkan perlindungan yang sewajarnya.

“TRIS juga memudahkan mereka untuk keluar ke negara ketiga atau negara asal apabila keadaan mengizinkan dengan lebih tersusun kerana semua maklumat tentang mereka ada dalam sistem data kerajaan,” katanya.

Kesimpulannya, sistem berkenaan dapat memudahkan lagi negara menyelesaikan beberapa isu yang menekan kini seperti kekurangan tenaga kerja dalam beberapa sektor seperti perladangan, pembuatan dan pembinaan.


Artikel oleh: Media Variasi

PPIM SELAR NGO PERTIKAI PELAKSANAAN TRIS

https://mediavariasi.com/2022/07/ppim-selar-ngo-pertikai-pelaksanaan-tris/

Thursday, July 28, 2022

ISU TANAH 99 SEN: PENEROKA FELDA LEMBAH KLAU MOHON SULTAN PAHANG CAMPUR TANGAN - MEDIA VARIASI - 27/07/2022

 

KUALA LUMPUR: Ratusan peneroka Felda Lembah Klau, di Pahang merayu dan memohon bantuan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, untuk mencemar duli melihat sendiri keperitan rakyat menuntut pembelaan berhubung nilai tanah tidak masuk akal pada harga 99 sen, sejak lebih 10 tahun lalu.

Ini kerana, mereka tiada pilihan lain lagi untuk mendapatkan keadilan selepas beberapa pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk kerajaan, Felda, pegawai daerah dan negeri yang sehingga kini belum menerima maklum balas.

Presiden Persatuan Anti Diskriminasi dan Salah Laku, Datuk Mohd Fakrunizam Ibrahim mewakili peneroka berkata, tiba masanya isu berkenaan sampai ke pengetahuan Sultan Pahang melalui media kerana percaya, baginda tidak dimaklumkan mengenai perkara itu sehingga saat ini.

“Mungkin Tuanku tidak tahu (isu), kadang ada pemimpin di bawah sengaja sorok isu dan nampak elok di mata tetapi hakikatnya, rakyat menderita.

“Kalau boleh patik mohon Tuanku untuk mencemar duli melihat masalah rakyat Pahang di Lembah Klau, sebab kesian untuk mereka dan generasi akan datang.

“Mereka terpaksa buat macam ni (pendedahan media) beritahu satu negara supaya masalah mereka didengari, kerana lebih 10 tahun disekat, diperlekeh dan diperlaku macam itu saja tanpa pembelaan. Jadi mereka datang juga ke sini untuk bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media peneroka Felda Lembah Klau, Raub ditipu, bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, di sini.

Peneroka, Tengku Badri Tengku Jaafar, mendakwa ada wakil rakyat cuba menabur ‘gula-gula’ kepada peneroka dengan menawarkan tanah tiga hingga enam ekar supaya meredakan isu tuntutan mereka, selepas MEDIA VARIASI membongkar pendedahan dan tular di media sosial baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan, tawaran itu berlaku dalam mesyuarat bersama ahli bahagian kawasan.

“Saya difahamkan, ada yang dia tawarkan tiga ekar kepada belia dan enam ekar kepada penduduk, tetapi tiada hitam putih. Akhirnya tiada penyelesaian, cuma ‘gula-gula’kan atas mulut, mungkin nak redakan keadaan kami,” dakwanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, beliau hairan bagaimana penganiayaan secara terbuka terhadap penduduk kawasan tidak mendapat perhatian pihak berwajib.

“Sudah sekian lama, tiga kali pilihan raya sudah berlalu tetapi masalah mereka masih tidak selesai, mana janji-janji ketika pilihan raya dulu.

“Apakah kerana mereka orang kampung dan tidak mendatangkan keuntungan sehingga dibiarkan terus dibelenggu masalah ini selama lebih 10 tahun,” katanya yang akan turut membantu menyediakan pihak guaman supaya dapat membela nasib penduduk.

Beliau turut menyarankan kepada peneroka supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis supaya isu berkenaan diambil berat dan tidak dipandang enteng.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan pembongkaran bersiri tentang penyelewengan pengambilan tanah peneroka Felda di Parlimen Raub itu bahawa harga melampau bagi seekar tanah iaitu 99 sen kaki persegi, dijual bagi projek Pembinaan Empangan Klau pada tahun 2008.

Bantahan 447 peneroka itu sudah berlangsung 14 tahun namun tidak diendahkan, nilai tanah yang amat rendah dibayar berbanding RM3.45 kaki persegi ketika perjanjian asal.

Susulan itu juga, terdapat dakwaan wakil rakyat cuba mendapatkan senarai warga peneroka Felda Lembah Klau yang belum menerima pampasan daripada PPIM.

Wartawan MEDIA VARIASI cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada wakil rakyat berkenaan namun hanya mengunci mulut tanpa sebarang penjelasan.

Artikel oleh: Media Variasi

ISU TANAH 99 SEN: PENEROKA FELDA LEMBAH KLAU MOHON SULTAN PAHANG CAMPUR TANGAN

https://mediavariasi.com/2022/07/isu-tanah-99-sen-peneroka-felda-lembah-klau-mohon-sultan-pahang-campur-tangan/

Wednesday, July 6, 2022

BENARKAH DERMA VAN JENAZAH MASUK KE AKAUN PERIBADI? - PPIM - MEDIA VARIASI - PPIM - MEDIA VARIASI - 05/07/2022

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan adakah kutipan derma untuk van jenazah yang dilakukan seorang aktivis dimasukkan ke akaun peribadi.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan@Toqqi mengulas isu yang tular di media sosial apabila aktivis pengurusan jenazah mendedahkan aktivis terkenal, Uncle Kentang membuat kutipan dana untuk van jenazah bagi kegunaan Institut Kanser Negara (IKN).

“Penderma boleh rujuk kepada IKN untuk mendapatkan kepastian sama ada agensi kerajaan itu ada memohon sumbangan van jenazah dari orang awam.

“Saya dapati banyak kerja amal oleh beliau adalah melalui akaun peribadi, adakah beliau menyediakan penyata akaun yang telus serta sejauh mana kebenaran pihak IKN memohon sumbangan sebuah van jenazah dari orang awam memandangkan IKN merupakan agensi atau entiti kerajaan.

“Jangan terpedaya, bukan sahaja bukan Islam, ramai juga orang Islam yang berselindung di sebalik pangkat ustaz yang menyalahgunakan agama dan mengenakan caj tinggi dalam pengurusan jenazah yang sepatutnya menjadi satu fardhu kifayah dalam kalangan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Nadzim mengingatkan orang ramai agar membuat semakan secara teliti sebelum membuat sumbangan dan mereka juga boleh pergi portal yang lebih telus seperti sumbangan.com yang menunjukkan jumlah diperlukan serta amaun yang telah dikutip secara langsung.

Beliau turut mengingatkan orang awam terdapat banyak NGO Islam yang
menyediakan perkhidmatan urus jenazah secara percuma.

“Saya mengingatkan orang ramai berhati-hati dalam menghulurkan derma kepada mana-mana pihak tidak kira yang terkenal atau tidak.

“Usaha kita untuk bersedekah itu adakah amalan yang mulia dan tidak harus diteruskan jika ada perasaan ragu-ragu,” katanya.

Menurut Nadzim, walaupun tidak ada salah bagi orang bukan Islam membantu dalam kutipan dana van jenazah yang dikhususkan untuk kegunaan orang Islam, namun rakyat perlu berhati-hati dengan ke mana wang itu disalurkan.

“Kita tidak mahu menidakkan kerja amal atau kebajikan yang telah dilakukan oleh individu tersebut, malah kerjasama sesama rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama harus dipuji.

“Namun, jika penderma ada perasaan ragu-ragu, banyak tindakan yang boleh diambil,” katanya.


Artikel oleh: Media Variasi

BENARKAH DERMA VAN JENAZAH MASUK KE AKAUN PERIBADI? - PPIM

https://mediavariasi.com/benarkah-derma-van-jenazah-masuk-ke-akaun-peribadi-soal-toqqi-ppim/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL