Thursday, February 2, 2023

REKOD 48,791 KES MUFLIS - HARIAN METRO - 01/02/2023

 

Kuala Lumpur: Sebanyak 48,791 kes muflis membabitkan rakyat negara ini direkodkan bagi tempoh lima tahun sehingga November tahun lalu.

Berdasarkan data Jabatan Insolvensi Malaysia, Selangor mencatatkan angka tertinggi muflis iaitu 11,936 kes diikuti Wilayah Persekutuan (5,403 kes) dan Johor Bahru (4,457 kes) sejak 2018.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sebanyak 18,296 kes atau 37.5 peratus membabitkan individu berusia 35 hingga 44 tahun. Menurutnya, sebanyak 12,656 kes muflis atau 25.94 peratus pula berusia 45 hingga 54 tahun diikuti 10,262 kes atau 21.03 peratus berusia 25 hingga 34 tahun dan 7,110 kes membabitkan individu berusia 55 tahun ke atas.

"PPIM menerima banyak aduan daripada individu berstatus muflis sejak kebelakangan ini dengan kebanyakannya membabitkan kes urus tadbir lama berpanjangan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

"Status individu terbabit yang masih muflis sehingga kini menyebabkan mereka tersepit dan buntu kerana dibelenggu hutang.

"Justeru, PPIM berharap golongan itu dibantu bagi membebaskan mereka daripada status muflis menerusi semakan semula serta pindaan Akta Insolvensi 1967," katanya pada sidang media di pejabat PPIM di sini, semalam.

Hadir sama, peguam Rizal Abdullah dan penulis buku Bankrap Bukan Muflis, Mohd Zaki Abd Latif.

Nadzim berkata, pindaan terakhir Akta Insolvensi 1967 adalah pada 2017 yang dilakukan sebelum pandemik Covid-19.

"Jadi, sudah sampai masa untuk tengok balik akta lama secara progresif bagi memudahkan mereka yang muflis selepas 2017.

"Ini kerana ada aduan daripada mereka yang muflis mengatakan tidak dibantu dan lebih buruk lagi apabila penjamin turut menerima nasib sama (muflis)," katanya.

Menurut Nadzim, sebanyak 10,711 kes pelepasan dan pembatalan melalui mahkamah direkodkan dari 2018 hingga November lalu.

Katanya, ia terbahagi kepada dua kategori dengan 10,007 kes direkodkan di bawah kategori pembatalan manakala 704 kes lagi pelepasan.

Manakala, 87,275 kes diberi sijil pelepasan dan pembatalan melalui mahkamah dalam tempoh sama iaitu dari 2018 hingga November tahun lalu.

"Kebelakangan ini tiada bergerak (penurunan jumlah individu muflis), malah daripada 100 yang memohon (pelepasan), tiga saja yang lepas.

"Tak nampak sebab tak lepas (status muflis) dan mereka itu patut diberi peluang. Apa untungnya seorang dibankrapkan kerana setiap seorang rakyat itu adalah aset penting buat negara," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

REKOD 48,791 KES MUFLIS

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...