Friday, February 10, 2023

HAPUSKAN CAJ RM1 TRANSAKSI ATM - KOSMO - 10/02/2023

 


PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) akan mengemukakan surat rayuan kepada kerajaan supaya memansuhkan caj RM1 yang dikenakan bagi transaksi pengeluaran antara bank menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, sebelum ini pihaknya telah menghantar surat berhubung isu sama kepada pihak kerajaan supaya mengkaji semula caj RM1 itu, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas.

“Kami akan menghantar sekali lagi surat ini kepada Pejabat Perdana Menteri dalam masa terdekat. Kami berharap PM baharu (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan meneliti cadangan kami demi membela nasib rakyat bawahan,” katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula mendakwa, pihak bank telah banyak membuat keuntungan ke atas wang deposit pelanggan sebelum ini.

Katanya, tindakan pihak bank mengenakan pelbagai caj perlu ditangani segera supaya pelanggan dan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan mereka tidak terus terbeban dengan caj yang tidak masuk akal.

“Tidak akan miskin bank di Malaysia kalau mansuhkan caj RM1, sudah-sudahlah kaut untung, selama ini bank-bank di Malaysia adalah syarikat yang tidak pernah rugi.

“Dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), saya yakin pihak bank akan terus menjana keuntungan. Caj RM1 itu hapuskanlah walaupun nilainya nampak kecil, tetapi bagi sesetengah orang, ia besar maknanya,” kata beliau.

Beliau berkata, PPIM juga akan mendesak kerajaan dan Bank Negara Malaysia supaya campur tangan dalam isu itu supaya caj RM1 tidak akan dikenakan lagi.


Artikel oleh: Kosmo

HAPUSKAN CAJ RM1 TRANSAKSI ATM

https://www.kosmo.com.my/2023/02/10/persatuan-pengguna-rayu-kerajaan-tangani-isu-caj-rm1/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...