Thursday, February 23, 2023

SUKARELAWAN KUMPULAN KEDUA MCM KE SYRIA BANTU MANGSA GEMPA - BULETIN TV3 - 21/02/2023

 

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan, Muslim Care Malaysia (MCM) menghantar kumpulan kedua sukarelawannya bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Ketua misi, Ahmad Safuan Ujar, berkata kumpulan disertai sembilan sukarelawan itu berlepas dari Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke negara terjejas gempa pada jam 11.40 malam ini.

Beliau berkata, misi kedua selama seminggu itu meletakkan sasaran membantu mangsa gempa yang berada di wilayah utara Syria, yang sebelum ini terjejas teruk dan belum mendapat bantuan sewajarnya.

“Lokasi yang akan cuba kita masuk ialah Idlib (Syria) di mana terletaknya dua sekolah milik MCM yang sudah beroperasi selama sembilan tahun sejak dibuka pada 2014,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung MCM berkata, selain sumbangan makanan, selimut dan pakaian kepada mangsa yang terjejas, pihaknya turut menyasarkan bantuan lebih besar iaitu membabitkan pembaikan infrastruktur penempatan dan bangunan awam.

“Mungkin kami akan bina atau membaikpulih rumah golongan asnaf terutama ibu tunggal dan juga sekolah yang musnah kerana difahamkan, itulah keperluan mereka yang paling mendesak pada masa ini,” katanya.

Ahmad Safuan berkata, untuk misi kali kedua, MCM turut bekerjasama dengan tiga NGO serta sebuah agensi kerajaan iaitu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yayasan Integrasi Al Huffaz, Yayasan Amal ASAS (Alumni Sekolah Alam Shah) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sementara itu, Presiden MCM, Zulkifli Wahijan, berkata pihaknya berjaya mengumpul dana RM700,000 setakat ini iaitu menghampiri sasaran RM1 juta bagi membantu mangsa gempa.

“Tabung sumbangan masih dibuka kerana jutaan rakyat Turkiye dan Syria yang terbabit dengan gempa bumi kuat ini masih memerlukan bantuan. Setakat ini lebih 45,000 dilaporkan terkorban,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 564490413882 atas nama Muslim Care Malaysia dan hantarkan slip sumbangan kepada talian hotline MCM: 011-5005 0035 atau Ahmad Safuan: 013-488 6447.

Sebelum ini, kumpulan pertama misi bantuan MCM ke Turkiye membabitkan lima orang termasuk dua wartawan pulang pada 14 Februari lalu selepas berada di negara itu selama enam hari.


Artikel oleh: Buletin TV3

SUKARELAWAN KUMPULAN KEDUA MCM KE SYRIA BANTU MANGSA GEMPA

https://www.buletintv3.my/nasional/sukarelawan-kumpulan-kedua-mcm-ke-syria-bantu-mangsa-gempa/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL