Tuesday, February 21, 2023

BENARKAN RAKYAT KELUAR KWSP - UTUSAN MALAYSIA - 21/02/2023

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan patut membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarum membantu diri sendiri ketika kerajaan belum mempunyai alternatif untuk membantu rakyat yang sedang terdesak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu mendengar rintihan penca­rum dan bukannya berkeras untuk tidak membenarkan pengeluaran terutamanya secara bersasar itu.

Menurut beliau, ini kerana mereka yang merayu sudah pasti sedang terdesak untuk meneruskan kehidupan dan mungkin tidak mampu me­nunggu sehingga mencecah umur persaraan.

TERUK

“Kita faham duit itu adalah simpanan untuk masa akan datang, tetapi masalahnya keadaan mereka sekarang pun terlalu teruk, takut tak sampai sehingga hari persaraan.

“Kalau mereka tidak boleh menyambung kehidupan pada masa kini, takut tak tersambung pula nanti. Tunggu alternatif kerajaan bantu belum lagi nampak.

“Jadi mereka ini minta duit dia, terutamanya suri rumah yang tidak bekerja…bagi lah dia ambil duit…takkan mahu tunggu umur 50, sekarang pun sudah tak cukup makan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini mela­porkan, puluhan ribu mangsa rugi ditipu sindiket pinjaman wang dan angka tersebut dikhuatiri akan bertambah apabila kerajaan menyekat pengeluaran KWSP ketika kos sara hidup terus melonjak.

Kebimbangan itu berdasarkan kepada aduan dilaporkan terdapat lima hingga 15 mang­sa sehari yang menghubungi Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) meluahkan mereka kerugian ditipu sindiket tawaran pinjaman wang.

Mangsa-mangsa mendakwa mereka terperdaya dengan tawaran pinjaman kerana sindiket terutamanya ah long kini menyelitkan unsur pinjaman kononnya patuh syariah selain menawarkan kadar faedah rendah dan cepat lulus.

ALTERNATIF

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai pula berpendapat, orang ramai perlu memberi ruang kepada kerajaan bagi mencari alternatif lain selain pengeluaran KWSP.

Katanya, sekiranya ia berterusan dibenarkan keluar, caruman itu tidak lagi menjadi tabung persaraan, tetapi sama seperti simpanan di bank.

“Soalnya kalau semua terdesak, kita ini ada lebih tujuh juta penyimpan bakinya RM5,000, kalau boleh keluar, tentu mereka akan ambil keluar semua, dan tabung persaraan sudah tak berfungsi.

“Oleh itu, kerajaan perlu mencari jalan lain bagaimana mahu tolong isi rumah rakyat dan cara paling mudah adalah beri bantuan. Kalau bantuan tak cukup, boleh memikirkan pinjaman cara mudah yang boleh dilakukan melalui KWSP.

“Misalnya bagi pinjaman kepada penyimpan, tetapi kena bayar balik dalam tempoh tertentu supaya baki yang dikeluarkan itu tetap ada,” katanya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

BENARKAN RAKYAT KELUAR KWSP

https://www.utusan.com.my/berita/2023/02/benarkan-rakyat-keluar-kwsp/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL