Showing posts with label PENGELUARAN KWSP. Show all posts
Showing posts with label PENGELUARAN KWSP. Show all posts

Wednesday, April 19, 2023

PPIM TIDAK SETUJU UMUR PENGELUARAN KWSP DIKAJI SEMULA KEPADA 60 TAHUN, UMUR PERSARAAN - THE MERDEKA TIMES - 17/04/2023

  • Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak bersetuju dengan cadangan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang meminta syarat pengeluaran KWSP dikaji semula mengikut umur persaraan.
  • Ketika ini, pengeluaran penuh caruman KWSP boleh dilakukan pada usia 55 tahun ketika timbul cadangan supaya perkara itu dikaji semula mengikut umur persaraan semasa iaitu 60 tahun atau umur persaraan baharu.
  • “Tidak setujulah…orang nak mati kena tunggu dia mati dulu ke? Tak bolehlah…kita bila dalam keadaan terdesak, emergency dalam keadaan hidup dan mati dia kena beri pertimbangan lain juga. Jadi jangan sama ratakan masalah orang”. – Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.
  • Mengulas isu sama, Perunding Kewangan, Afyan Mat Rawi yang juga lebih cenderung untuk tidak bersama MEF berpandangan syarat pengeluaran KWSP sedia ada sudah cukup ketat.
  • “Dia sebenarnya membantu KWSP supaya tabungan KWSP semakin banyak walhal yang sedia ada ini pun dah cukup okey. Tiada keperluan untuk menghalang rakyat keluarkan KWSP sekiranya berlaku event-event yang sudah ada sekarang ini,” katanya.

KUALA LUMPUR — Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak bersetuju dengan cadangan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang meminta syarat pengeluaran KWSP dikaji semula mengikut umur persaraan.

Ketika ini, pengeluaran penuh caruman KWSP boleh dilakukan pada usia 55 tahun ketika timbul cadangan supaya perkara itu dikaji semula mengikut umur persaraan semasa iaitu 60 tahun atau umur persaraan baharu.

Terdapat pihak mencadangkan supaya umur persaraan semasa dinaikkan kepada 65 tahun.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata cadangan sedemikian tidak wajar dilakukan kerana ia melibatkan soal hidup dan mati seseorang individu.

Katanya, ia juga bagi mengelakkan cadangan seumpama itu tersasar dari matlamat asal sebagaimana berlaku sebelum ini.

“Tidak setujulah…orang nak mati kena tunggu dia mati dulu ke? Tak bolehlah…kita bila dalam keadaan terdesak, emergency dalam keadaan hidup dan mati dia kena beri pertimbangan lain juga.

“Jadi jangan sama ratakan masalah orang,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Beliau menyarankan kaedah tapisan khas dibuat di mana hanya individu mempunyai justifikasi mendesak dibenarkan membuat pengeluaran supaya tidak berlaku salah sasaran.

Ini berikutan sebelum ini sesiapa sahaja dibenarkan untuk mengeluarkan EPF sehingga individu yang tiada masalah juga dapat menikmatinya.

“Kalau duit itu tidak boleh diberi dia kena bagi pilihan lain contohnya minta duit kepada baitulmal, masjid ke,” katanya.

Mengulas isu sama, Perunding Kewangan, Afyan Mat Rawi yang juga lebih cenderung untuk tidak bersama MEF berpandangan syarat pengeluaran KWSP sedia ada sudah cukup ketat.

“Jadi cadangan itu bagi saya…saya banyak ke arah tidak setuju ikutkan sebabnya ia tidak membantu rakyat.

“Dia sebenarnya membantu KWSP supaya tabungan KWSP semakin banyak walhal yang sedia ada ini pun dah cukup okey. Tiada keperluan untuk menghalang rakyat keluarkan KWSP sekiranya berlaku event-event yang sudah ada sekarang ini,” katanya.

Afyan mencadangkan KWSP untuk lebih proaktif dengan melaburkan wang sedia ada bagi mendapatkan pulangan lebih tinggi selepas prestasi dividen KWSP yang dilihat semakin berkurangan dari tahun ke tahun.

Katanya, Kerajaan juga disarankan untuk memberi fokus kepada dua perkara dalam usaha memulihkan ekonomi antaranya menyediakan langkah bagi meningkatkan pendapatan rakyat serta mengenakan polisi mengawal kenaikan harga barangan agar tidak terlalu melambung.

Beliau juga mengingatkan masyarakat untuk tidak terlalu mengharapkan bantuan kerajaan selain mempertingkatkan ilmu literasi kewangan mereka untuk bertahan hidup dalam situasi menekan.

Artikel oleh: The Merdeka Times 

PPIM TIDAK SETUJU UMUR PENGELUARAN KWSP DIKAJI SEMULA KEPADA 60 TAHUN, UMUR PERSARAAN

https://themerdekatimes.com/news/2023/04/ppim-tidak-setuju-umur-pengeluaran-kwsp-dikaji-semula-kepada-60-tahun-umur-persaraan/

Tuesday, April 4, 2023

MISI KWSP: NORAZLAN TIBA DI KL SELEPAS 5 HARI JALAN KAKI - HARIAN METRO - 03/04/2023

 

Kuala Lumpur: Pemandu teksi, Norazlan Ismail selamat tiba ke ibu negara malam semalam selepas lima hari berjalan kaki dari Tol Skudai, Johor Bahru, Johor menuju Istana Negara di sini dalam membawa misi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Norazlan,49, berkata desakan hidup dan kesempitan wang membuatkan dia nekad berjalan sejauh 312 kilometer (km) bagi membuka mata pemimpin berkenaan keperitan hidup yang terpaksa ditempuh rakyat marhaen sepertinya.

"Saya nampak cara ini satu jalan bagi orang bawahan macam saya yang tersangat memerlukan pengeluaran caruman KWSP secara bersasar untuk menyelesaikan hutang.

"Saya bersyukur sepanjang perjalanan ramai yang ingin membantu, ada yang nak bagi duit, nak bagi tumpang, tapi saya tolak sebab itu bukan motif saya berjalan ini.

"Kalau saya tumpang orang baik saya naik bas saja. Saya nak supaya benda ini pemimpin nampak dan syukur saya berjaya sampai malah saya juga dapat cenderahati dari Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) bermaksud walaupun tidak berjumpa tapi Baginda tahu saya di sini," katanya.

Norazlan berkata demikian ketika ditemui di Pintu 3, Istana Negara di sini bersama Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan bersama dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Berkongsi cerita, Norazlan berkata, berbekalkan tekad yang tinggi dia berjaya menempuh pelbagai cabaran lebih-lebih lagi apabila terpaksa berjalan dalam kesejukan akibat hujan yang sering melanda ketika ini.

"Ada sekali itu hujan waktu malam agak lebat dan terlalu sejuk tetapi tak ada jambatan berdekatan untuk saya berteduh tapi dengan semangat berkobar walaupun penat saya gagahkan diri, saya jalan juga.

"Ada yang pertikai kesihatan fizikal dan mental saya tapi jangan bimbang semangat saya bawa dengan izin anak-anak dan ibu bapa dari Johor," katanya.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, dia yang hadir bersama wakil tiga NGO tidak merancang bertemu Norazlan sebaliknya telah memohon tarikh untuk menyerahkan memorandum berhubung pengeluaran KWSP sejak pertengahan Mac.

"Tiga NGO iaitu Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIRM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Global Human Right Federation berjumpa saya sebulan lebih dan minta bantu proses sembah maklum hari ini.

"Saya mohon menyembah maklum pada pertengahan Mac dan kebetulan Norazlan mula berjalan pada 28 Mac dan kita bertemu hari ini. Saya khuatir jika dia terus berjalan tiba-tiba jadi perhimpunan tanpa permit jadi saya minta dia ikut sekali dengan kita," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Norazlan memulakan perjalanan sejauh 312 km dari Tol Skudai ke Istana Negara membawa misi pengeluaran caruman KWSP supaya kepayahannya disedari pihak atasan kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Norazlan memulakan misi perjalanan solonya jam 10 malam, 28 Mac lalu dan menganggap 'misi gila' itu satu-satunya cara supaya kerajaan memahami betapa terdesak individu sepertinya mahukan pengeluaran caruman bersasar.

Artikel oleh: Harian Metro

MISI KWSP: NORAZLAN TIBA DI KL SELEPAS 5 HARI JALAN KAKI

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/04/952721/misi-kwsp-norazlan-tiba-di-kl-selepas-5-hari-jalan-kaki

Monday, April 3, 2023

JANGAN SAMPAI PENCARUM TERKESAN BUNUH DIRI - UTUSAN MALAYSIA - 03/04/2023

 

PETALING JAYA: Kerajaan diminta untuk terus tidak membiarkan rakyat terutamanya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terkesan untuk meneruskan kelangsungan hidup mengambil tindakan bunuh diri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana tekanan emosi dan masalah yang dihadapi boleh mengakibatkan seseorang itu mengambil tindakan di luar jangkaan.

“Kami ini terima aduan pelbagai, sesetengah itu sudah dalam keadaan terlalu teruk di mana terkesan dengan kehidupan melibatkan cerai berai dan pergaduhan.

“Pihak bank menekan, sewa rumah, keperluan persekolahan anak-anak, jadi terlalu banyak masalah yang dihadapi rakyat.

“Oleh itu, kita bukan mahu paksa keluarkan caruman KWSP, tetapi merayu kepada pihak kerajaan supaya badan baitulmal, masjid atau surau boleh wujudkan tabung untuk bantu dan perlu ada jawatankuasa menilai masalah rakyat yang perlu ditangani, tak akan mahu tunggu sampai ada yang bunuh diri?” Soalnya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang pencarum dilaporkan sanggup berjalan kaki dari Tol Skudai menuju ke Istana Negara bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP.

Menurut pemandu teksi, Norazlan Ismail, 49, misi itu dilaksanakan supaya kepayahannya disedari pihak atasan kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pengeluaran itu mungkin boleh selamatkan rumah tangga dan keluarganya.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, jawatankuasa bertindak khas bagi menilai dan menangani masalah yang dihadapi itu perlu serius untuk melihat kaedah dan membantu masalah yang dihadapi mereka.

Katanya, langkah yang diteliti jawatankuasa itu juga perlu disegerakan supaya dapat memberi impak atau sekurang-kurangnya harapan kepada mereka yang terkesan.

“Masalah kos sara hidup memang ada, tetapi yang kaya tetap kaya juga. Bukan mahu merungut, tetapi itu perlunya susun atur berkesan supaya manfaat itu sampai.

“Contohnya, mungkin kerajaan boleh hentikan import beberapa senarai barang seperti halia, serai dan kunyit. Jadi jawatankuasa itu boleh jadi satu pusat permudahkan mereka terjejas tanam tanaman itu dengan bantu apa yang patut.

“Semua ini kena ada kesungguhan bersungguh-sungguh untuk melepaskan orang kita dalam masalah dihadapi.

“Kalau sebelum ini kita bercerita tentang pesawat MAS, MH370…hari-hari ada perkembangan, jadi masalah ini melibatkan satu negara dan bukan satu pesawat sahaja. Maka, perlu serius diambil secara tegas dan dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

JANGAN SAMPAI PENCARUM TERKESAN BUNUH DIRI

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/04/jangan-sampai-pencarum-kwsp-terkesan-bunuh-diri/

Tuesday, February 21, 2023

BENARKAN RAKYAT KELUAR KWSP - UTUSAN MALAYSIA - 21/02/2023

 

Artikel oleh: Utusan Malaysia

BENARKAN RAKYAT KELUAR KWSP

BENARKAN RAKYAT KELUAR KWSP - UTUSAN MALAYSIA - 21/02/2023

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan patut membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarum membantu diri sendiri ketika kerajaan belum mempunyai alternatif untuk membantu rakyat yang sedang terdesak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu mendengar rintihan penca­rum dan bukannya berkeras untuk tidak membenarkan pengeluaran terutamanya secara bersasar itu.

Menurut beliau, ini kerana mereka yang merayu sudah pasti sedang terdesak untuk meneruskan kehidupan dan mungkin tidak mampu me­nunggu sehingga mencecah umur persaraan.

TERUK

“Kita faham duit itu adalah simpanan untuk masa akan datang, tetapi masalahnya keadaan mereka sekarang pun terlalu teruk, takut tak sampai sehingga hari persaraan.

“Kalau mereka tidak boleh menyambung kehidupan pada masa kini, takut tak tersambung pula nanti. Tunggu alternatif kerajaan bantu belum lagi nampak.

“Jadi mereka ini minta duit dia, terutamanya suri rumah yang tidak bekerja…bagi lah dia ambil duit…takkan mahu tunggu umur 50, sekarang pun sudah tak cukup makan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini mela­porkan, puluhan ribu mangsa rugi ditipu sindiket pinjaman wang dan angka tersebut dikhuatiri akan bertambah apabila kerajaan menyekat pengeluaran KWSP ketika kos sara hidup terus melonjak.

Kebimbangan itu berdasarkan kepada aduan dilaporkan terdapat lima hingga 15 mang­sa sehari yang menghubungi Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) meluahkan mereka kerugian ditipu sindiket tawaran pinjaman wang.

Mangsa-mangsa mendakwa mereka terperdaya dengan tawaran pinjaman kerana sindiket terutamanya ah long kini menyelitkan unsur pinjaman kononnya patuh syariah selain menawarkan kadar faedah rendah dan cepat lulus.

ALTERNATIF

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai pula berpendapat, orang ramai perlu memberi ruang kepada kerajaan bagi mencari alternatif lain selain pengeluaran KWSP.

Katanya, sekiranya ia berterusan dibenarkan keluar, caruman itu tidak lagi menjadi tabung persaraan, tetapi sama seperti simpanan di bank.

“Soalnya kalau semua terdesak, kita ini ada lebih tujuh juta penyimpan bakinya RM5,000, kalau boleh keluar, tentu mereka akan ambil keluar semua, dan tabung persaraan sudah tak berfungsi.

“Oleh itu, kerajaan perlu mencari jalan lain bagaimana mahu tolong isi rumah rakyat dan cara paling mudah adalah beri bantuan. Kalau bantuan tak cukup, boleh memikirkan pinjaman cara mudah yang boleh dilakukan melalui KWSP.

“Misalnya bagi pinjaman kepada penyimpan, tetapi kena bayar balik dalam tempoh tertentu supaya baki yang dikeluarkan itu tetap ada,” katanya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

BENARKAN RAKYAT KELUAR KWSP

https://www.utusan.com.my/berita/2023/02/benarkan-rakyat-keluar-kwsp/

Tuesday, February 14, 2023

DUIT KWSP UNTUK "HOREY HOREY" ATAU NAK SARA HIDUP? - PPIM - SAMUDERA.MY - 12/02/2023

 

KUALA LUMPUR, 12 Februari 2023 – Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau Toqqi mencadangkan agar pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikaji semula agar ia dapat dilihat pada sisi yang lebih berkemanusiaan.

“Semenjak PKP lepas di mana pengeluaran khas KWSP dibolehkan untuk menampung kehidupan rakyat, ramai rakyat mahu menuntut lagi pengeluaran KWSP dilakukan semula.”

Katanya, terdapat banyak hujah berhubung kehendak rakyat yang mahukan wang KWSP mereka dikeluarkan kerana jika diikutkan undang-undang, wang ini hanya boleh dikeluarkan selepas berumur 55 tahun.

“Jadi benda-benda seperti inilah yang kita kena bincang pasal Kerajaan mungkin ada perancangan Kerajaan sendiri tapi rakyat mungkin menghadapi masalah,”“Mungkin juga kajian perlu dibuat, mungkin survey dibuat supaya Akta KWSP ini dapat dilihat dengan angle yang lebih ada kemanusiaan.”

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat untuk melihat isu ini di atas kepentingan bersama di samping menyarankan agar perkara ini dibawa ke Kabinet bagi menimbang semula kepentingan serta keperluan yang diminta oleh rakyat ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa tiada lagi pengeluaran wang simpanan KWSP bagi menjamin masa depan pencarum.

Beliau turut memberi jaminan untuk mencari alternatif lain bagi membantu rakyat selain daripada pengeluaran wang simpanan ini.

Dalam pada itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beberapa perkara di dalam Belanjawan 2023 akan diumumkan untuk membantu golongan B40 bagi menjana pendapatan tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP.

Artikel oleh: Samudera.my

DUIT KWSP UNTUK "HOREY HOREY" ATAU NAK SARA HIDUP? - PPIM

https://www.samudera.my/duit-kwsp-untuk-horey-horey-atau-nak-sara-hidup-ppim/

Thursday, December 15, 2022

BERI PENGECUALIAN PENGELUARAN KWSP - UTUSAN MALAYSIA - 15/12/2022

 

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan perlu memberi pengecualian pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada golongan yang memerlukannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengecualian itu perlu dipertimbang dengan mengambil kira keadaan semasa yang mendesak pencarum.

“KWSP ini kita faham bahawa dari segi dasarnya memang tidak membenarkan pengeluaran wang caruman, sakit ke apa ke memang tidak bagi.

“Tetapi kita perlu lihat yang perkara sebenarnya dalam keadaan berbeza. Contohnya jika pencarum itu sudah sampai nak diisytihar bankrap, (kalau tak dapat keluarkan caruman KWSP), sudah tentu boleh jadi bankrap.

“Jadi, bagi saya KWSP itu kena lihat keadaan semasa. Kalau ada keperluan, maka kena ada rasa pertimbangan dengan pencarum sebab kita kena tahu yang peraturan apa semua itu boleh diubah, itu bukan al-Quran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan, seramai 320,000 pencarum merayu kerajaan mempertimbang pengeluaran khas caruman KWSP secara bersasar bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam fasa peralihan ke endemik ketika ini.

Gesaan tersebut diterima Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) melalui borang secara dalam talian yang diusahakan persatuan itu sejak 5 Julai lepas.

Sebanyak 15 faktor utama dikenal pasti membelenggu mereka yang menuntut pengeluaran khas itu, yang merangkumi desakan hidup, pendapatan tidak seimbang dan tunggakan hutang pascapandemik Covid-19.

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, pengecualian pengeluaran caruman itu boleh dipertimbang kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, tetapi dalam masa sama mempunyai simpanan besar.

Beliau berkata, ini kerana tuntutan itu sudah tentu sangat memerlukan untuk mereka berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan sebaiknya dapat memperincikan individu mana yang layak menikmati pengeluaran itu dan individu mana sebaliknya.

“Misalnya ia dibenarkan, ia perlu mengambil kira bahawa orang yang mengambil itu sudah cukup simpanan bersara, jika tidak, maka kita hanya memberikan harapan palsu kepada mereka.

“Selain itu, ia perlu mengambil kira juga umur (mereka yang mahu mengeluarkan wang caruman itu. Jika sekarang ini individu itu berusia 35 tahun dan mempunyai baki caruman RM150,000, maka mungkin boleh sempat kumpul RM250,000 untuk bersara.

“Sebab RM250,000 itu merupakan satu sasaran baru yang ditentukan KWSP bagi membolehkan pencarum dapat bersara dengan pencen bulanan RM1,000 sebulan.

“Tetapi, kena fikir juga adakah RM1,000 sebulan itu mencukupi? Hari ini pun (kadar itu) belum mencukupi kerana sekurang-kurangnya memerlukan RM3,000 sebulan bagi menampung kos sara hidup yang dianggarkan mencecah RM2,500 sebulan,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi yang juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob pula berpandangan, pengeluaran caruman KWSP tidak wajar dipertimbang walaupun secara bersasar.

Beliau berkata, ia mengambil kira beberapa pengeluaran yang sudah diluluskan sebelum ini yang sudah tentu menyebabkan baki caruman simpanan mereka berkurangan.

“Kalau benarkan lagi, apa tinggal untuk hari bersara esok? Jadi bila masa mahu tambah semula caruman yang dikeluarkan? Bilakah individu yang keluar itu boleh dapat pendapatan tetap dan boleh bayar semula caruman?

“Kita kena tahu implikasinya iaitu tabungan itu akan menjadi kurang lagi dan memang susah mahu penuhkan semula sampai tahap sebelum ini. Kalau keluar RM10,000 pun ambil masa bertahun untuk (ganti semula), itu pun jika kita konsisten mencarum.

“Tetapi kalau sudah keluar selepas itu tidak diisi semula, hanya mengharapkan dividen tahunan KWSP, maka sampai bila mahu bertambah. Umur meningkat, tetapi kenaikan caruman perlahan.

“Oleh itu, bukan saya tidak simpati, tetapi kena fikir jangka masa panjang terutama mereka yang masih berkeluarga,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan mereka yang menuntut pengeluaran caruman itu dapat meneliti semula perbelanjaaan dan komitmen harian mereka agar sesuai dengan kos sara hidup pada masa ini.

Malah katanya, golongan itu juga perlu mencari pendapatan sampingan lain terutama menceburkan diri dalam gig ekonomi selain boleh mempelajari kemahiran lain untuk menambah pendapatan. – UTUSAN


Artikel oleh: Utusan Malaysia

BERI PENGECUALIAN PENGELUARAN KWSP

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/12/beri-pengecualian-pengeluaran-kwsp/

Wednesday, June 1, 2022

BERHENTI KERJA DAPAT WANG KWSP - SINAR HARIAN - 18/05/2022

 

MELAKA - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) belum menerima sebarang aduan berhubung penipuan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan kerajaan pada bulan lalu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, bagaimanapun beliau dimaklumkan ada yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk pergi bercuti selepas menerima wang berkenaan.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi semasa dengan kejatuhan ringgit seharusnya orang ramai terutama pengguna bertindak bijak dengan memastikan ada wang simpanan sebagai persediaan berdepan cabaran ekonomi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Ada sebuah syarikat keselamatan kira-kira 10 peratus daripada 500 pekerja berhenti selepas keluarnya wang KWSP.

"Dapat RM10,000 nak pergi bercuti, itu yang kita takut," katanya selepas pelancaran Pertubuhan Industri Fesyen, Ksesihatan dan Kecantikan (Perfinas) di sini malam Rabu.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi Perfinas berkata, pertubuhan itu akan menjadi platform untuk usahawan tempatan menyalurkan masalah termasuk isu produk tiruan yang bukan sahaja menjejaskan golongan itu malah memberi impak tidak baik kepada pengguna.

Menurutnya, mereka turut memberi khidmat nasihat dan bertukar fikiran di antara satu sama lain supaya usahawan dalam bidang berkenaan terus berdaya saing dan maju.

"Kita nak produk yang dikeluarkan mematuhi undang-undang selain dapat mewujudkan platform kemudahan seperti promosi dan sebagainya.

"Melalui kerjasama ini diharap usahawan dalam bidang tersebut dapat mengelakkan budaya sendiri-sendiri kerana kesepakatan akan lebih menjimatkan kos," katanya


Artikel oleh: Sinar Harian

BERHENTI KERJA DAPAT WANG KWSP

https://www.sinarharian.com.my/article/202799/BERITA/Nasional/Berhenti-kerja-dapat-wang-KWSP

Friday, April 22, 2022

MACAU SCAM INTAI WANG 5.3 JUTA AHLI KWSP - KOSMO - 18/04/2022

 

PETALING JAYA – Polis mengesan sindiket Macau Scam ketika ini sedang ligat menyasarkan banyak pihak terutama 5.3 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bakal menerima wang RM40.1 bilion ke­seluruhan mulai 20 April ini untuk diperdaya.

Ia ekoran tular di laman sosial memaparkan orang ramai berkongsi mesej penipuan yang diterima kononnya akaun kewa­ngan pencarum dibekukan dan menyukarkan pengeluaran KWSP.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sindiket akan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan kod percuma iaitu 63839 kepada mangsa secara rambang.

Katanya, SMS itu mengatakan mangsa perlu menjelaskan tunggakan pembiayaan atau pinjaman daripada institusi kewangan jika tidak mahu proses pengeluaran KWSP menjadi sulit.

“Mangsa akan diberi beberapa nombor untuk dihubungi kononnya bagi menyelesaikan masalah tersebut. Jika dihubungi, mangsa akan disambungkan kepada balai polis, mahkamah atau Lembaga Hasil Dalam Negeri palsu.

“Mangsa yang terpedaya akan menyerahkan butiran peribadi perbankan kepada sindiket sebelum menyedari telah ditipu apabila mendapati duit di dalam akaun bank lesap,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

MOHD. KAMARUDIN

Menurut Kamarudin, polis atau pihak berkuasa lain tidak akan meminta butiran perbankan mana-mana pihak dan orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati supaya tidak tertipu.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai sindiket tersebut sejak awal bulan ini.

“Peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding daripada bulan-bulan lain.

“Ini menunjukkan sindiket begitu peka dengan perkembangan semasa dan akan terus memperdaya mereka yang tidak ambil tahu mengenai amaran dan pe­ringatan pihak berkuasa mengenai modus operandi sedemikian,” katanya.

Menurut Nadzim, sindiket berkenaan turut menggunakan pelbagai cara sama ada dalam bentuk tawaran, saman dan tunggakan pinjaman bagi mendapatkan perhatian mangsa.

“Kebiasaannya, mereka akan menggunakan taktik seperti tawaran pelaburan, kerja, tunggakan pinjaman dan saman.

“Jadi orang ramai perlu berhati-hati dan tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi terutama akaun bank dan alamat rumah supaya tidak terpalit de­ngan kes penipuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nadzim menasihatkan orang ramai untuk memaklumkan kepada PPIM sebelum membuat sebarang komitmen.

“Kita tahu ada banyak jenis tawaran. Ada juga yang tawar sebagai ejen dan pengedar produk. Bagaimanapun, sebelum membuat komitmen, mereka boleh maklumkan kepada kami. Sekurang-kurang kami tahu dan pengguna juga tidak rugi,” jelas­nya.


Artikel oleh: Kosmo

MACAU SCAM INTAI WANG 5.3 JUTA AHLI KWSP

https://www.kosmo.com.my/2022/04/18/macau-scam-intai-wang-5-3-juta-ahli-kwsp/

Thursday, April 21, 2022

PENGELUARAN KHAS KWSP: PPIM MULA TERIMA ADUAN PENCARUM DIGANGGU SINDIKET PENIPUAN - ASTRO AWANI - 17/04/2022

 

KUALA LUMPUR : Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan pihaknya mula menerima aduan daripada pencarum yang diganggu sindiket penipuan melibatkan permohonan Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Meskipun tiada data secara spesifik, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, berdasarkan laporan awal, sindiket itu dipercayai mencari mangsa secara dalam talian.

Justeru, beliau menasihati pencarum supaya lebih berwaspada dan tidak sesekali terjerat dengan sindiket itu.

"Dah dengar, mereka ini sebenarnya daripada dahulu lagi apabila ada berita berunsur duit nak turun, mulalah.

"Jadi kita harap mereka yang dapat bantuan khas KWSP ini agar berhati-hati. Jika perlu menyemak status dengan pihak kami, semaklah.

"Ini kerana terlalu ramai di luar sana yang macam nak menerkam sahaja. Sentiasalah berhati-hati," katanya pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Bingkisan Aidilfitri di Wisma Perkeso pada Sabtu.

Pada majlis itu, seramai 650 bekas atlet kebangsaan menerima bantuan menerusi Program Bingkisan Aidilfitri anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Artikel oleh: Astro Awani

PENGELUARAN KHAS KWSP: PPIM MULA TERIMA ADUAN PENCARUM DIGANGGU SINDIKET PENIPUAN

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pengeluaran-khas-kwsp-ppim-mula-terima-aduan-pencarum-diganggu-sindiket-penipuan-357157

PENGELUARAN KHAS KWSP | PPIM MULA TERIMA ADUAN - ASTRO AWANI - 16/04/2022

 

Susulan keputusan kerajaan membenarkan Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan pihaknya mula menerima aduan daripada pencarum yang diganggu sindiket penipuan.

Meskipun tiada data spesifik, Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata berdasarkan laporan awal, sindiket itu dipercayai mencari mangsa secara dalam talian.


Sumber: Astro Awani

PENGELUARAN KHAS KWSP | PPIM MULA TERIMA ADUAN

https://www.youtube.com/watch?v=84YO_moPDoU

Thursday, April 14, 2022

PENGELUARAN KHAS KWSP RM10,000 ALASAN NAIK HARGA - UTUSAN MALAYSIA - 14/04/2022

 

Artikel oleh: Utusan Malaysia

PENGELUARAN KHAS KWSP RM10,000 ALASAN NAIK HARGA

PENGELUARAN KHAS KWSP JADI ALASAN NAIKKAN HARGA - UTUSAN MALAYSIA - 14/04/2022

 

PETALING JAYA: Kenaikan harga barang keperluan menjelang Aidilfitri akan sampai kepada satu angka tidak munasabah kerana dibayangi dengan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP KL), Samsudi Mohd Fauzi berkata, pengeluaran tersebut menyebabkan ada pihak peniaga akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan kerana mengetahui rakyat ketika itu mempunyai duit.

Menurut beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu bertindak lebih serius iaitu dengan mengenal pasti peniaga-peniaga yang menaikan harga sesuka hati sebagai ‘sabotaj makanan’.

“Melalui pemantauan kami terutama pada Ramadan ini, peniaga di bazar datangnya bermusim iaitu hanya datang apabila bulan puasa dan ada segelintir mereka tidak bertanggungjawab menaikan harga dengan sesuka hati dengan hasrat mahu jadi ‘jutawan sebulan’.

“Ada kuih-muih yang dijual pada harga tidak munasabah, lepas habis Ramadan mereka pergi tetapi meninggalkan kesan dengan harga mahal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengakui harga barangan keperluan bakal naik disebabkan beberapa faktor, antaranya masalah Covid-19, pengangkutan, penukaran mata wang asing, perang Ukraine-Rusia dan banjir.

Perkara itu turut diakui Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang menegaskan, kementerian perlu mengambil tindakan kepada individu yang monopoli pasaran harga.

“Ini setiap kali puasa harga melambung-lambung walaupun barangan berkenaan tidak sepatutnya naik harga. Contohnya anak ayam, tiga empat bulan dulu harga berapa sen sahaja tetapi hari ini seekor hingga RM3 ke RM4.

“Kerajaan perlu mengikut rentetan itu, cari siapa yang naikkan harga supaya tindakan boleh diambil, jika tidak sesuka mereka sahaja menaikkan harga setiap kali bulan puasa dan raya untuk mengambil keuntungan melampau yang saya fikir ia tidak masuk akal,” jelasnya.

Tambahnya, rakyat juga perlu sedar dan menggunakan hak mereka sebagai pengguna bukan tetap beli walaupun diasak dengan kenaikan harga drastik.

Dalam pada itu, kenaikan harga barangan keperluan harian meningkat sebanyak lima hingga 10 peratus, walau bagaimanapun ia masih dianggap sebagai satu kenaikan yang munasabah atas beberapa faktor.

Menerusi tinjauan Utusan Malaysia di aplikasi Price Catcher naungan KPDNHEP mendapati harga ayam bersih adalah RM9.50 sekilogram dan daging pula pada masa kini boleh didapati dengan RM69.90 untuk sekilogram. – UTUSAN


Artikel oleh: Utusan Malaysia

PENGELUARAN KHAS KWSP JADI ALASAN NAIKKAN HARGA

https://www.utusan.com.my/berita/2022/04/pengeluaran-khas-kwsp-jadi-alasan-naikkan-harga/

Tuesday, March 15, 2022

WAKIL PENCARUM SERAH MEMORANDUM TUNTUT PENGELUARAN TERAKHIR RM10,000 KWSP - SUMBERKINI - 14/03/2022

 

KUALA LUMPUR: Kumpulan wakil pencarum yang menuntut pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 secara one-off atau sekali bayar menyerahkan memorandum itu di Parlimen pada Isnin.

Menurut wakilnya, Mohammad Farhan Jailani, memorandum sepatutnya diserahkan kepada tiga pemimpin iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagaimanapun, jelas Mohamad Farhan, hanya wakil Tengku Zafrul sahaja hadir menerima memorandum terbabit, lapor Astro Awani.

“Berdirinya kami di sini rakan-rakan pencarum untuk menyerahkan memorandum tuntutan pengeluaran kali terakhir KWSP sebanyak RM10,000 secara one-off kepada tiga wakil.

“Kedua, kami menuntut sokongan semua Ahli Parlimen untuk suara rakyat didengari, disampaikan dan dibahaskan di Parlimen Malaysia.

“Ketiga, kami mendesak Perdana Menteri Malaysia meluluskan tuntutan pengeluaran kami ini,” jelas Mohamad Farhan ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan Parlimen.

Tegasnya, pencarum mempunyai hak untuk menuntut pengeluaran wang simpanan itu mengikut Akta KWSP 1991.

“Kami dengan tegasnya sebagai pencarum KWSP yang terkesan ingin menuntut hak kami menurut Akta KWSP 1991 Seksyen 54.

“Kami sekali lagi menegaskan kami tidak akan sesekali berhenti sehinggalah wang tersebut berada dalam akaun kami.

“Kami juga mengingatkan semua Ahli Parlimen yang dilantik menerusi proses undang-undang yang sah, dan juga sedang berada di dalam dewan ini supaya berkhidmat untuk rakyat.

“Dengar keluhan rakyat yang telah mengundi mereka di pilihan raya.

“Kami juga telah menghantar emel kepada semua Ahli Parlimen yang berada di dalam Dewan Rakyat termasuk Perdana Menteri sebagai Ahli Parlimen Bera, dan Tan Sri Muhyiddin sebagai Ahli Parlimen Pagoh,” katanya lagi.

Dalam pada itu, wakil Persatuan Pengguna Islam malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi pula kecewa apabila sambutan diberikan sesetengah Ahli Parlimen dilihat hambar.

Jelasnya, isu pengeluaran wang KWSP itu seharusnya diberikan perhatian, kerana ia dituntut oleh rakyat yang amat memerlukan sumber kewangan.

“Saya kecewa, kami nak hantar memorandum kepada PM dan Tan Sri Muhyiddin, tiada wakil datang mengambil. Kami dapat maklumat mereka ada urusan.

“Saya mengharap sangat mereka peka perkara ini kerana mereka naik pun kerana rakyat,” katanya.

Sehingga kini, 18 Ahli Parlimen telah menyatakan sokongan terhadap tuntutan kumpulan tersebut.

Antaranya, Ahli Parlimen Pasir Mas, Bagan, Port Dickson, Baling, Hulu Langat, Jempol, Tuaran, Kinabatangan, Machang, Kapar, Gopeng, Kuala Langat, Padang Serai, Parit, Lanang, Setiu, Bagan Datok dan Pontian.


Artikel oleh: Sumberkini

WAKIL PENCARUM SERAH MEMORANDUM TUNTUT PENGELUARAN TERAKHIR RM10,000 KWSP

https://sumberkini.my/wakil-pencarum-serah-memorandum-tuntut-pengeluaran-terakhir-rm10000-kwsp/

MGNEWS: TEKAD DESAK KERAJAAN LULUSKAN PENGELUARAN CARUMAN KWSP RM10,000 - MALAYSIA GAZETTE TV - 14/03/2022

Sekumpulan pencarum mengadakan bantahan bagi mendesak kerajaan meluluskan pengeluaran ‘one off’ daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

#malaysiagazette #mgtv


Sumber: Malaysia Gazette TV

MGNEWS: TEKAD DESAK KERAJAAN LULUSKAN PENGELUARAN CARUMAN KWSP RM10,000

https://www.youtube.com/watch?v=xrEUfspEnUA

Wednesday, February 23, 2022

PENGELUARAN KWSP: KERAJAAN MUNGKIN ADA HALANGAN - WAN SAIFUL - SUMBERKINI - 19/02/2022

 

PETALING JAYA: Kerajaan hari ini masih tidak membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan wang simpanan mereka mungkin disebabkan ada pertimbangan yang menghalang kerajaan daripada membenarkan pengeluaran tersebut.

Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan menerusi sidang media di laman Facebook memaklumkan beliau menerima petisyen yang ditandatangani 108,000 orang secara dalam talian bagi menuntut supaya mereka dibenar untuk mengeluarkan wang caruman KWSP mereka.

“Petisyen ini diusahakan oleh Encik Azmi Mohd Tahir dengan bantuan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Tetapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah dua kali benarkan dana KWSP dikeluarkan melalui inisiatif i-Citra dan i-Sinar,” katanya.

Wan Saiful menambah, PN tidak berlakon seolah-olah cakna akan nasib rakyat seperti beberapa orang dalam UMNO dan kerajaan PN terus melakukannya demi keprihatinan terhadap rakyat.

“Sebab itulah saya berjanji kepada Encik Azmi bahawa saya akan bawakan suara beliau dan 108,000 rakyat yang menandatangani petisyen kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lain-lain menteri Kabinet yang mewakili PN untuk dipertimbangkan sebagai salah satu inisiatif untuk diangkat kepada kerajaan,” katanya.


Artikel oleh: Sumberkini

PENGELUARAN KWSP: KERAJAAN MUNGKIN ADA HALANGAN - WAN SAIFUL

https://sumberkini.my/pengeluaran-kwsp-kerajaan-mungkin-ada-halangan-wan-saiful/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL