JINDIRES (Syria): Ratusan penduduk keluar beramai-ramai dan gembira menyambut kedatangan sukarelawan MCM serta konvoi 10 lori terbabit yang turut diiringi anggota keselamatan.
Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar yang juga ketua misi berkata Jindires antara kawasan di utara Syria yang teruk terjejas akibat kejadian gempa bumi yang berlaku pada 6 Februari lalu.
Menurutnya, lebih 700 orang terbunuh dan tidak kurang 1,000 rumah kediaman di Jindires musnah akibat tragedi itu.
“Sebanyak 400 keluarga menerima sumbangan ini. Mereka adalah mangsa gempa bumi yang kini sudah tiada rumah serta hanya tinggal di dalam khemah,” katanya.
Beliau berkata, barangan yang diagihkan itu termasuk kotak makanan seberat 40 kilogram mengandungi beras, gula, minyak masak, bijirin, makanan dalam tin dan lain-lain, serta selimut dan juga kayu api.
Menurutnya, kumpulan sukarelawan ke Syria itu adalah pasukan kedua daripada MCM selepas pasukan pertama berada di Turkiye dari 9 hingga 14 Februari lalu.
Turut berkolaborasi dengan MCM dalam menjayakan misi bantuan itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yayasan Integrasi Al-Huffaz, Yayasan ASAS (Alumni Sekolah Alam Shah) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Sementara itu, seorang penerima sumbangan Abdul Khalil, 53, mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana tidak pernah melupakan rakyat Syria yang sering dilanda musibah iaitu peperangan dan bencana alam.
“Semoga Allah merahmati anda semua. Terima kasih. Rakyat Malaysia memang baik,” katanya.
Gempa bumi yang berlaku pada 6 Februari lalu setakat ini mencatatkan jumlah kematian mencecah 50,000 orang dengan lebih 43,000 di Turkiye manakala bakinya di Syria.
No comments:
Post a Comment