Tuesday, February 28, 2023

ISU INSOLVENSI MASIH BELUM SELESAI - KENYATAAN MEDIA PPIM - 28/08/2023

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman membebaskan kes bankrapsi berjumlah RM50,000 ke bawah.

Usaha berterusan Menteri Hal Ehwal Undang-Undang Datuk Seri Azalina Othman juga harus dipuji kerana hasil kerja yang konsisten dari beliau, kerajaan berhasrat untuk meminda Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] dengan membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan secara automatik agar bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh yang singkat.

Menerusi kenyataan beliau semalam, sementara menunggu pindaan tersebut, Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membantu rakyat yang bankrap dengan jumlah hutang berskala kecil dilepaskan daripada kebankrapan bermula 1 Mac 2023.

Pelepasan bankrap akan dilaksanakan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia melalui pengeluaran Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi di bawah seksyen 33A Akta 360.

Walau bagaimanapun, masih banyak isu berkaitan insolvensi dan bankrapsi yang perlu diperjelaskan termasuk langkah yang perlu diambil oleh pengguna jika berdepan masalah kewangan melibatkan bankrapsi.

Antara isu yang masih membelenggu rakyat adalah mereka yang tersenarai sebagai bankrap melebihi RM50,000 atas pelbagai faktor.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata antara faktor utama ialah mereka menjadi mangsa penipuan atau fraud.

"Ada aduan kami terima tandatangan mangsa digunakan membuat pinjaman bernilai jutaan ringgit sedangkan mangsa pada ketika itu hanya seorang kerani dengan gaji bulanan tidak sampai RM2,000," katanya.

PPIM dalam proses membantu mangsa itu mendapat pembelaan di Mahkamah.

Selain itu, Nadzim mempersoalkan adakah nilai borang bukti hutang keseluruhan RM50,000 ke bawah sahaja yang dibebaskan daripada kebankrapan?

Adakah mereka yang ditadbir insolvensi dan membayar ansuran bulanan kepada Jabatan Insolvensi sahaja yang boleh dibebaskan?

Bagaimana pula dengan mereka yang bankrap dengan nilai hutang tidak sampai RM50,000 tetapi tidak pernah ditadbir oleh Jabatan Insolvensi?

PPIM berpendapat masih jauh perjalanan Malaysia untuk mencapai tahap negara maju jika kerajaan gagal menangani masalah kebankrapan rakyatnya khususnya yang mahu mencari penyelesaian tetapi tidak ada kerjasama dari pihak pemiutang.

PPIM menggesa kerajaan bekerjasama dengan NGO yang banyak membantu rakyat Malaysia berdepan isu kebankrapan bagi mendapat maklumat dan data yang tepat dan tidak bergantung seratus peratus kepada Jabatan Insolvensi kerana tidak semua rakyat berurusan dengan jabatan itu.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...