Thursday, February 9, 2023

1,000 APM JOHOR DIARAH SIAP SEDIA, BIMBANG BANJIR BERULANG - BULETIN TV3 - 07/02/2023

 

JOHOR BAHRU: Seramai 1,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor masih diarahkan untuk bersiap sedia sekiranya berlaku banjir berulang memandangkan Monsun Timur Laut hanya dijangka berakhir bulan depan.

Pengarah APM Johor, Penolong Pesuruhjaya Kamal Mokhtar berkata, jumlah anggota itu termasuklah anggota tetap, anggota sukarelawan serta pasukan sahabat APM yang terdiri daripada syarikat swasta dan jabatan kerajaan.

Menurut beliau, langkah berkenaan diambil sebagai tanda berjaga-jaga kerana terdapat kemungkinan bencana banjir berulang khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

“Seperti kita tahu, Monsun Timur Laut berlaku antara November tahun lalu hingga penghujung Mac ini dan kita masih lagi menerima hujan, jadi yang kita bimbangkan jika ada lagi episod hujan lebat berterusan, maka kita perlu ambil langkah berjaga-jaga.

“Oleh itu, semua 1,000 personel APM Johor masih dalam keadaan bersedia bukan sahaja sehingga bulan depan tetapi sepanjang tahun untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Alhamdulillah, setakat ini situasi banjir di negeri ini masih terkawal dan ia banyak berlaku di kawasan yang kita jangkakan memang berlaku banjir, jadi penduduk juga sudah faham dan biasa dengan situasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kit Bantuan Banjir yang disumbangkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Ibu Pejabat APM Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden DPMM, Muhammad Farhan Basheer.

Menurut Kamal, setakat ini Segamat dan Batu Pahat adalah dua daerah yang masih terjejas dengan banjir yang mana hasil pemantauan mendapati keadaan banjir di daerah itu kini memasuki fasa banjir termenung.

“Banjir di Segamat itu berlaku kerana paras sungai Muar lebih tinggi berbanding kawasan penempatan penduduk, maka air masih melimpah ke kawasan penduduk, manakala di Batu Pahat pula, sistem saliran air pula lebih tinggi daripada kawasan penempatan.

“Usaha mengepam keluar air di kawasan terjejas di Batu Pahat sedang giat dijalankan dan dijangka akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai Kit Bantuan Banjir, Muhammad Farhan berkata, pihaknya berjaya menyediakan sebanyak 400 kit bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negeri ini.

“DPMM bersama PPIM bekerjasama dengan rakan strategik kami, APM untuk menyampaikan sumbangan ini yang mengandungi bahan keperluan asas seperti mee segera, gula, tepung, minyak, beras, sardin serta bahan bacaan untuk kanak-kanak.

“Insya Allah kita masih meneruskan usaha mengumpulkan dana bagi membolehkan kita terus membantu masyarakat, ditambah pula kita hampir menjelang bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba,” katanya.


Artikel oleh: Buletin TV3

1,000 APM JOHOR DIARAH SIAP SEDIA, BIMBANG BANJIR BERULANG

https://www.buletintv3.my/nasional/1000-apm-johor-diarah-siap-sedia-bimbang-banjir-berulang/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL