Friday, February 3, 2023

PPIM SOKONG GESAAN UNTUK KERAJAAN TANGGUH SURCAJ TARIF ELEKTRIK - KENYATAAN MEDIA PPIM - 03/02/2023

KUALA LUMPUR -- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong badan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan semakan surcaj tarif elektrik bagi pengguna industri voltan sederhana (MV) dan voltan tinggi (HV) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata langkah itu bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup semakin tinggi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini.

"Rakan NGO PPIM, Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) mencadangkan kerajaan menangguhkan semakan surcaj itu kerana memikirkan nasib pengguna khususnya golongan berpendapatan sederhana atau M40," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun semakan itu dikatakan khusus untuk pengguna industri dan bukan persendirian, Nadzim berpendapat apabila peniaga terpaksa menanggung kenaikan kos, pengguna akhir yang akan terkesan kerana peniaga akan menaikkan harga.

Rabu lalu, Presiden Huazong, Tan Sri T.C Goh berkata Huazong telah menerima banyak aduan daripada pengeluar tempatan yang mengadu semakan tarif surcaj itu menyebabkan kadar bayaran naik terlalu drastik dan tidak tertanggung oleh mereka.

Goh memberi contoh seorang pengilang di Selangor mengadu susulan semakan semula tarif kuasa sebanyak 20 sen/kWj oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB), bil elektriknya untuk bulan lepas (untuk 308,586 kWj) adalah RM61,717; di bawah tarif kuasa sebelum ini sebanyak 3.7 sen/kWj, beliau hanya perlu membayar RM 11,417.68 untuk jumlah penggunaan yang sama.

“Dalam erti kata lain, dia kini terpaksa membayar tambahan sebanyak RM 50,299.52 atau bersamaan lima kali ganda," katanya.

Tambah Goh lagi banyak pengilang tempatan mengeluh bahawa kenaikan drastik dalam tarif tenaga sudah pasti akan memberi "impak yang mendalam" kepada setiap industri, tanpa mengira saiz.

Huazong berharap kerajaan akan lebih prihatin terhadap nasib mereka dan menangguhkan sementara pelaksanaan semakan semula tarif elektrik bagi pengguna industri voltan sederhana (MV) dan voltan tinggi (HV).

Pertubuhan itu juga menggesa kerajaan untuk melibatkan diri dengan wakil pengeluar dan perniagaan tempatan, untuk memahami dengan lebih baik nasib mereka berhubung tarif kuasa yang disemak semula, dan untuk mencari penyelesaian 'menang-menang' untuk semua pihak yang berkenaan.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...