Monday, January 20, 2014

1119) BERITA HARIAN 18/1/2014 IBU TUNGGAL DAPAT RM2,800, HUTANG CETI HARAM RM22,000




Headline: Ibu tunggal dapat RM2,800, hutang ceti haram RM22,000
Publication: BH
Date of publication: Jan 18, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 020


Kuala Lumpur: Sudahlah ditinggalkan suami, seorang ibu tujuh anak terpaksa pula menanggung hutang ceti haram mencecah RM22,000 selepas mulanya hanya menerima RM2,800.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 37, dan menjual minyak wangi secara kecil-kecilan untuk menyara hidupnya bersama anak, memohon pinjaman RM5,800 daripada syarikat pemberi pinjaman, tetapi hanya menerima RM2,800 selepas ditolak faedah dengan bayaran balik ditetapkan RM650 setiap hari.

Gagal buat bayaran

Bagaimanapun, katanya, dia gagal membuat bayaran selama dua hari, lalu dikenakan faedah RM500 dengan nilai keseluruhan perlu dibayar ketika itu RM1,800, tetapi turut gagal dibayar sebelum ditawarkan pula pinjaman daripada ceti haram lain bagi melunaskan hutang asal.

"Saya mengalami situasi sama dengan along kedua sehingga terpaksa membuat pinjaman daripada dua lagi along dengan jumlah keseluruhan hutang berjumlah RM22,000," katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.

Buntu memikirkan masalah itu, Nur berkata, dia memohon bantuan kewangan daripada Baitulmal Kuala Lumpur kerana menganggap dirinya sebagai asnaf, namun mendapat maklum balas mengecewakan.

"Saya harap Baitulmal Kuala Lumpur dapat mempertimbangkan semula permohonan itu kerana saya terpaksa menanggung tujuh anak termasuk seorang kurang upaya secara bersendirian selepas ditinggalkan suami beberapa bulan lalu," katanya.

Jumlah faedah melampau

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya yang menerima aduan mangsa, akan merujuk kes terbabit kepada Baitulmal selain berbincang dengan syarikat pemberi pinjaman terbabit kerana jumlah faedah yang dikenakan dalam sebulan dilihat melampau.


"Kami juga mencadangkan Baitulmal mewujudkan skim menyelesaikan kes bebanan hutang dalam kategori asnaf berikutan kos sara hidup yang tinggi kini. Kami percaya banyak kes seumpama ini kerana di PPIM sahaja, kami menerima purata kira-kira 10 kes seperti ini sehari di seluruh negara," katanya.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...